Korea Utara Mulakan Produksi Besar-Besaran Sistem Pelancar Roket “Paling Berkuasa Dunia” KN-25
“Penempatan sistem roket KN-25 itu dalam jumlah yang besar menunjukkan usaha strategik oleh Pyongyang untuk meningkatkan keupayaan serangan jarak jauhnya serta mencabar keberkesanan sistem pertahanan peluru berpandu ballistik milik Korea Selatan dan Amerika Syarikat.”
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Korea Utara dilaporkan telah memulakan produksi besar-besaran (mass production) sistem pelancar roket, KN-25 yang disifatkan oleh penganalisis ketenteraan antarbangsa sebagai di antara pelancar roket paling berkuasa di dunia.
Baru-baru ini, gambar menunjukkan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un telah melawat pusat kemudahan produksi sistem roket KN-25.
Dilengkapi dengan roket-roket berkaliber 600mm, sistem pelancar roket KN-25 itu berkemampuan membedil sasaran sejauh 380km,menjadikan ia sistem pelancar hybrid di antara pelancar roket berganda dan peluru berpandu ballistik taktikal.
“Penempatan sistem roket KN-25 itu dalam jumlah yang besar menunjukkan usaha strategik oleh Pyongyang untuk meningkatkan keupayaan serangan jarak jauhnya serta mencabar keberkesanan sistem pertahanan peluru berpandu ballistik milik Korea Selatan dan Amerika Syarikat.”
Dengan varian berantai (tracked) dan beroda, sistem pelancar roket itu memberikan Korea Utara kelebihan dalam mobiliti dan fleksibiliti untuk kerahan cepat dan mengubah kedudukan dengan cepat.
Penganalisis ketenteraan berkata, sistem pelancar roket KN-25 itu direkabentuk untuk keadaan bentuk muka bumi yang mencabar dan untuk operasi yang memerlukan kepantasan.
“Saiz dan keupayaan senjata ini yang luar biasa — berkaliber 600mm dan sepanjang kira-kira 8 meter — menjadikannya lebih hampir kepada sistem peluru berpandu ballistik operasi-taktikal berbanding sistem pelancar roket berganda (MLRS) konvensional,” kata seorang penganalisis.

Dengan anggaran berat peluru berpandu mencecah hampir tiga tan, ia merupakan roket terbesar dalam kelasnya di dunia.
Pertama kali didedahkan pada tahun 2019 dan digambarkan oleh media Korea Utara sebagai “sistem pelancar roket berganda berkaliber sangat besar,” KN-25 telah menjalani beberapa siri ujian yang menunjukkan peningkatan ketara dari segi ketepatan, keupayaan tembakan salvo, dan jarak serangan.
Sistem panduannya yang menggunakan teknologi inertial serta berkemungkinan turut disokong oleh satelit dikatakan mampu memberikan ketepatan serangan dalam hanya lingkungan puluhan meter, membolehkan ia melancarkan serangan tepat ke atas infrastruktur ketenteraan penting seperti stesen radar, lapangan terbang dan pusat logistik.
Ujian penerbangan terbaharu oleh Korea Utara menunjukkan keupayaan jarak dan altitud sistem itu, apabila dua roket dilancarkan dari pantai timur negara itu ke arah Laut Jepun, dengan jarak penerbangan kira-kira 380 kilometer dan mencapai ketinggian hampir 100 kilometer.
Walaupun sistem pelancar roket KN-25 ketika ini dilengkapi dengan peledak letupan tinggi dan bukan nuklear, namun Korea Utara pada tahun 2022 mengumumkan bahawa sistem itu berkeupayaan membawa senjata nuklear taktikal.
Terdapat pelbagai petunjuk bahawa sistem ini telah dihasilkan secara besar-besaran dan telah ditempatkan dalam varian yang dilengkapi dengan senjata nuklear serta varian bersenjata konvensional.
Beberapa sumber Barat turut membuat spekulasi bahawa sesetengah varian mungkin berkeupayaan membawa senjata kimia.

Perkhidmatan Penyelidikan Kongres Amerika Syarikat (U.S. Congressional Research Service) melaporkan bahawa sistem pelancar roket ini “mengaburkan garis pemisah antara roket dan peluru berpandu,” kerana ia dilengkapi dengan “avionik canggih, sistem panduan inertial dan satelit, serta struktur aerodinamik.”
Adakah Korea Utara telah mengeksport sistem pelancar roket KN-25 ke Russia?
Walaupun tiada bukti langsung bahawa sistem pelancar roket KN-25 telah dieksport ke Rusia, beberapa penganalisis berpendapat ujian peluru berpandu dan demonstrasi yang dilakukan oleh Korea Utara baru-baru ini mungkin bertujuan untuk mempamerkan keupayaan sistem itu kepada bakal pembeli, termasuk Russia.
Sebagai contoh, pelancaran salvo sekurang-kurangnya 10 peluru berpandu balistik jarak dekat oleh Korea Utara pada Mei 2024 telah ditafsirkan oleh pihak tentera Korea Selatan sebagai satu bentuk demonstrasi kepada pelanggan berpotensi.
Secara keseluruhannya, walaupun Korea Utara telah membekalkan pelbagai sistem senjata kepada Russia dalam konflik berterusan di Ukraine, setakat ini belum ada bukti yang mengesahkan bahawa sistem pelancar roket KN-25 termasuk dalam senjata yang telah dieksport.

Pelancar roket “berkaliber besar” KN-25 milik Korea Utara memiliki beberapa kelebihan ketara yang membezakannya daripada sistem pelancar roket berganda (MLRS) konvensional, malah menghampiri kemampuan peluru berpandu balistik taktikal.
Berikut adalah kelebihan utama sistem ini:
🔹 1. Jarak Tembakan Sejauh Peluru Berpandu Balistik
KN-25 mempunyai jarak tembakan berkesan sekitar 380 kilometer, jauh lebih jauh berbanding sistem MLRS biasa.
Jarak ini membolehkan Korea Utara melancarkan serangan jauh ke dalam wilayah Korea Selatan, termasuk ke atas pangkalan udara, pusat logistik dan markas kawalan, tanpa perlu keluar dari wilayahnya sendiri.
🔹 2. Ketepatan Tinggi Dengan Sistem Panduan
Dilengkapi dengan sistem panduan inersia dan berpandukan satelit, KN-25 dilaporkan mampu mencapai sasaran dengan ketepatan dalam lingkungan puluhan meter.
Tahap ketepatan ini membolehkan serangan tepat ke atas sasaran bernilai tinggi seperti tapak radar dan sistem peluru berpandu, sesuatu yang sukar dicapai oleh roket artileri tanpa panduan.
🔹 3. Kaliber Besar dan Hulu Peledak Berat
Dengan kaliber 600mm dan berat mencecah hampir tiga tan, setiap roket membawa hulu peledak jauh lebih besar daripada roket MLRS standard.
Ini memberikan kuasa pemusnah yang jauh lebih tinggi dalam setiap tembakan, terutama terhadap sasaran yang dilindungi atau diperkuat.

🔹 4. Keupayaan Tembakan Salvo Pantas
KN-25 mampu melancarkan tembakan salvo, iaitu pelancaran beberapa roket secara berturut-turut dalam masa singkat.
Kaedah ini bertujuan mengatasi atau melemahkan sistem pertahanan udara seperti THAAD atau Patriot dengan menenggelami kapasiti tindak balasnya.
🔹 5. Fleksibiliti Membawa Hulu Peledak Nuklear dan Kimia
Walaupun kini dilengkapi hulu peledak letupan tinggi konvensional, Korea Utara secara terbuka menyatakan bahawa KN-25 mampu membawa senjata nuklear.
Penganalisis Barat turut membuat spekulasi bahawa terdapat varian yang mungkin mampu membawa senjata kimia, menjadikannya aset strategik yang lebih berbahaya.
🔹 6. Kaburkan Garis Antara Roket dan Peluru Berpandu
Menurut Laporan Perkhidmatan Penyelidikan Kongres Amerika Syarikat, KN-25 “mengaburkan garis antara roket dan peluru berpandu.”
Sistem ini menggabungkan avionik canggih, sirip aerodinamik dan sistem panduan, yang menjadikannya hampir setanding dengan peluru berpandu balistik jarak dekat (SRBM) dari segi keupayaan operasi.
🔹 7. Pilihan Deterrent Strategik yang Lebih Kos Efisien
Berbanding peluru berpandu balistik konvensional, KN-25 mungkin lebih murah untuk dihasilkan, namun masih menawarkan jangkauan dan ketepatan strategik, menjadikannya pilihan yang lebih menjimatkan untuk pengeluaran dan penempatan secara besar-besaran.
