Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

K’jaan Suntik RM152.6 Juta Siapkan Kapal OPV APMM Yang Pertama

Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan meluluskan suntikan pinjaman RM152.6 juta bagi membolehkan pembinaan kapal peronda luar pesisir pertama (OPV 1) dapat disiapkan dan diserahkan kepada APMM di dalam tempoh setahun.

0 2,707

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Kerajaan terpaksa mengambilalih projek pembinaan kapal peronda untuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) daripada syarikat THHE-Destini Sdn Bhd selepas menemui beberapa “isu besar” berkenaan dengan projek terbabit.

Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan meluluskan suntikan pinjaman RM152.6 juta bagi membolehkan pembinaan kapal peronda luar pesisir pertama (OPV 1) dapat disiapkan dan diserahkan kepada APMM di dalam tempoh setahun.

 Langkah itu terpaksa dilakukan bagi menyiapkan projek berkenaan.

“Terpaksa kita berikan satu lagi bentuk suntikan tuntutan pinjaman untuk projek ini siap dan RM152.6 juta pinjaman terpaksa disediakan.

“Dari tinjauan kita, projek ini boleh disiapkan iaitu OPV pertama dalam tahun ini,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet hari ini.

APMM
Lakaran grafik kapal OPV milik APMM apabila ia siap kelak.

 

Anwar turut berkata, projek OPV diambil alih Kementerian Kewangan daripada syarikat Tabung Haji iaitu Destini Sdn Bhd selepas ia dikesan menghadapi masalah besar.

“Perkara perolehan sama ada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pertahanan yang sangat penting untuk keselamatan tidak diambil kesempatan hingga menyebabkan kerugian disebabkan pelaksanaan lemah.

“Tindakan pertama mesti selamatkan dan OPV itu disiapkan mengikut jadual dan keduanya tidak lepaskan siapa yang salah guna kuasa kaut kekayaan tanpa siasatan,” katanya.

Syarikat THHE Destini memperolehi kontrak sebanyak RM738.9 juta daripada kerajaan pada Januari 2017 untuk membekal, menguji dan mentauliah tiga buah kapal OPV untuk APMM di dalam tempoh 42 bulan.

THHE-Destini dimiliki 51 peratus oleh Destini Berhad manakala 49 peratus dimiliki oleh TH Heavy Engineering Bhd.  

APMM

Bagaimanapun pada akhir 2021, TH Heavy membeli 51 peratus saham yang dimiliki oleh Destini.

Kapal OPV 1 milik APMM yang dinamakan Tun Fatimah itu sepatutnya dilancarkan pada 13 Sept,  sebelum tarikh pelancarannya dilanjutkan kepada 10 Oktober.

Kapal Maritim Tun Fatimah itu dijangka akan beroperasi di kawasan perairan sekitar Beting Patinggi Ali di perairan Sarawak yang kerap dicerobohi oleh kapal-kapal peronda China.

“Kapal OPV 1 yang sepatutnya dilancarkan ke air pada hari ini iaitu 13 September 2022, masih gagal dilakukan kerana kapal masih tidak berjaya dibawa ke lokasi pelancaran.

“Berikutan itu syarikat berkenaan akan mengubah cara pelancaran iaitu daripada Launching Cradle kepada sistem pelancaran Air Balloon dan ia dijangka direalisasikan pada 10 Oktober ini,” kata Ketua Pengarah Maritim Malaysia Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som dalam kenyataan pada September tahun lepas.

APMM
Kapal APMM “shadow” sebuah kapal pengawal pantai China di Beting Patinggi Ali. 

 

Beliau berkata sekiranya semua berjalan dengan lancar dengan pelancaran itu dapat direalisasikan pada tarikh berkenaan (10 Okt), maka besar kemungkinan kapal OPV 1 itu dapat diserahkan kepada pihak APMM pada awal 2023.

Ketiga-tiga buah kapal peronda pesisir panta itu berukuran 83 meter panjang dengan 13.7 meter lebar dan berkemampuan melakukan pengawasan jarak jauh sehingga ke kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) serta kawasan di luar jangkauan kapal-kapal kecil. 

Kapal OPV yang direkabentuk mengikut rekabentuk kapal Damen 1800 itu berkeupayaan melaksanakan operasi di laut dalam tempoh maksimum 21 hari tanpa ulang bekal. — DSA

Apps

JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE  SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Comments
Loading...