Dua Kapal Pengangkut Pesawat Amerika Di Pantai Israel Jadi “Sasaran” Russia?
Pemerhati tentera antarabangsa menyatakan bahawa dengan kemampuannya membedil sasaran darat dan laut sejauh 2,000km, pesawat-pesawat MiG-31 dengan peluru berpandu “Kinzhal” itu boleh mengancam “sasaran-sasaran” penting di timur Mediterranean seperti kedua-dua buah kapal pengangkut pesawat Amerika Syarikat itu.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Dalam tindakan yang tidak dijangka, Russia telah dikesan meletakkan empat buah pesawat pejuang altitud tingginya, MiG-31 di pangkalan udara di Belbek yang terletak di wilayah diduduki Crimea.
Walaupun pangkalan udara strategik itu menempatkan pesawat-pesawat pejuang Su-27 dan Su-30, namun apa yang menarik perhatian pemerhati tentera serantau adalah kehadiran pesawat-pesawat MiG-31 itu.
Gambar-gambar satelit menunjukkan Tentera Udara Russia telah mula menempatkan pesawat-pesawat pejuang MiG-31 itu sebelum 15 Okt lalu.
Kehadiran pesawat-pesawat MiG-31 itu membimbangkan Ukraine kerana kemampuan pesawat itu membawa peluru berpandu hypersonik “Kinzhal” yang boleh meluncur selaju Mach 10 selepas ia dilancarkan daripada pesawat itu.
Selain kelajuan hypersonic, “Kinzhal” yang boleh dilengkapkan dengan peledak konvesional dan juga nuklear mampu membedil sasaran sejauh 2,000km.
Pihak tentera Ukraine bimbang terhadap kemungkinan pesawat-pesawat MiG-31 dilengkapi dengan peluru berpandu hypersonik “Kinzhal” akan digunakan untuk membedil pusat-pusat penyimpanan peluru berpandu kruis “Storm Shadow”, “SCALP-EG” dan HIMARS terutamanya yang dilengkapi dengan peluru berpandu taktikal, ATACMS.
Beberapa hari lepas, Presiden Russia Vladimir Putin mengumumkan bahawa pesawat-pesawat pejuang MiG-31 akan dilengkapkan dengan peluru berpandu hypersonik “Kinzhal” ketika melakukan rondaan di Laut Hitam.
“Ini bukanlah suatu ugutan….Berdasarkan kepada arahan saya, Tentera Udara Russia akan memulakan rondaan di zon neutral di ruang udara Laut Hitam dan pesawat MiG-31 itu akan dilengkapi dengan peluru berpandu hypersonik Kinzhal,” kata beliau sebagaimana dipetik oleh agensi berita Interfax.
Beliau berkata demikian semasa menghadiri Forum Belt and Road di China.
Walaupun pesawat-pesawat MiG-31 yang berkemampuan membawa peluru berpandu hypersonik “Kinzhal” itu ditempatkan di Crimea, namun kerahan pesawat pejuang altitud tinggi itu berkemungkinan sebagai tindak balas terhadap apa yang sedang berlaku di Timur Tengah pada ketika ini.
Sebab itulah, Russia mengumumkan tindakannya mengerah pesawat-pesawat MiG-31 ke Laut Hitam pada ketika ketegangan semakin memuncak di Timur Tengah.
Keputusan itu dibuat ketika Amerika Syarikat mengerahkan dua buah kapal pengangkut pesawat, USS Gerald R.Ford dan USS Dwight E-Eisenhower ke timur Laut Mediterranean ketika konflik di antara Israel dan Hamas serta Hezbollah sedang memuncak.
Peluru berpandu hypersonik “Kinzhal” merupakan peluru berpandu yang sukar dikesan oleh radar dengan tahap kelincahan yang tinggi dan direka untuk membedil sasaran-sasaran di laut serta di daratan.
Pemerhati tentera antarabangsa menyatakan bahawa dengan kemampuannya membedil sasaran darat dan laut sejauh 2,000km, pesawat-pesawat MiG-31 dengan peluru berpandu “Kinzhal” itu boleh mengancam “sasaran-sasaran” penting di timur Mediterranean seperti kedua-dua buah kapal pengangkut pesawat Amerika Syarikat itu.
Tindakan Russia itu menurut mereka, merupakan suatu “amaran” tidak langsung kepada Amerika dan sekutunya yang dilihat cuba terlibat secara langsung di dalam konflik di Timur Tengah di antara Hamas dan Israel. — DSA
DEFENCE SECURITY ASIA APPS
To advertise contact admin: [email protected]
Comments are closed.