Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Ukraine Dakwa Berjaya Tembak Jatuh Peluru Hypersonik “Khinzal” Russia

Peluru berpandu "Khinzal" adalah satu daripada enam sistem persenjataan generasi baru yang didedahkan oleh Presiden Russia Vladimir Putin pada 2018 dan mendakwa peluru berpandu itu tidak boleh ditembak jatuh oleh mana-mana sistem pertahanan udara di dunia.

0 1,433

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Dalam apa yang disifatkan sebagai pencapaian bersejarah, Ukraine mengumumkan sistem pertahanan udaranya telah berjaya menembak jatuh peluru berpandu hypersonik “Khinzal” milik Russia minggu ini.

Pihak tentera Ukraine mendakwa sistem pertahanan udara “Patriot” yang dibekalkan oleh Amerika Syarikat tetapi dioperasi oleh Kiev berjaya menembak jatuh “Khinzal”yang dilancar oleh Russia terhadap terhadap ibu negara “seterunya” itu.

Kejayaan pihak Ukraine menembak jatuh peluru berpandu hypersonik disifatkan suatu berita buruk terhadap kempen ketenteraan Russia yang kini banyak bergantung kepada serangan peluru-peluru berpandu jarak jauh.

Khinzal
Serpihan peluru berpandu hypersonik “Khinzal”

 

“Saya mengucapkan tahniah kepada rakyat Ukraine atas insiden yang bersejarah itu. Ya, kita menembak jatuh peluru berpandu hypersonik Khinzal, “ kata Komander Tentera Udara Ukraine Mykola Oleshchuk menerusi aplikasi Telegram.

Peluru berpandu Khinzal adalah satu daripada enam sistem persenjataan generasi baru yang didedahkan oleh Presiden Russia Vladimir Putin pada 2018 dan mendakwa peluru berpandu itu tidak boleh ditembak jatuh oleh mana-mana sistem pertahanan udara.

Setakat ini, Moscow masih belum memberi sebarang komen tentang dakwaan Ukraine itu tetapi gambar-gambar  didakwa merupakan serpihah peluru berpandu “Khinzal” yang berjaya ditembak jatuh itu telah pun tersebar.

Peluru berpandu hypersonik yang dilancarkan daripada udara itu boleh mencapai kelajuan sehingga Mach 10 atau 12,350km sejam dan berkemampuan membawa kepala peledak konvensional dan nuklear.

“Khinzal” dikatakan mempunyai jarak operasi di antara 1,500km hingga 2,000km.

Khinzal
Peluru berpandu hypersonik Khinzal dibawa oleh pesawat pejuang MiG-31 Russia.

 

Moscow telah menggunakan peluru berpandu hypersonik itu terhadap Ukraine sebelum ini.

Penggunaan pertama “Khinzal” oleh Russia adalah pada 19 Mac tahun lepas apabila Russia didakwa telah melancarkan peluru berpandu itu terhadap pusat menyimpan peluru Ukraine di selatan negara itu.

Amerika Syarikat membekalkan sistem pertahanan udara “Patriot” bulan lepas bagi membantu Ukraine menangani serangan udara Russia yang dipertingkatkan beberapa bulan kebelakangan ini mensasarkan infrastruktur kritikal negara itu.

Tentera Udara Ukraine dilihat tidak berkemampuan menembak jatuh peluru-peluru berpandu balistik, dimana Russia telah mempertingkatkan penggunaannya sejak beberapa bulan kebelakangan ini untuk menyerang kawasan penduduk dan infrastruktur tenaga negara Eropah Timut itu.

Hari ini, ia berkata sistem pertahanan udaranya berjaya menembak jatuh lapan buah dron Shahed buatan Iran yang telah dilancarkan oleh Russia. — DSA

APPPS

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

Comments
Loading...