Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

TUDM “Tayang” Peluru Berpandu KH-29T Sukhoi Su-30MKM

Salah satu sistem persenjataan yang dipamerkan pada perbarisan Hari Kemerdekaan negara semalam adalah KH-29T yang merupakan peluru berpandu udara-ke-darat yang digunakan oleh pesawat-pesawat pejuang Sukhoi Su-30MKM milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

13,806

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah menampilkan pelbagai asetnya pada perarakan Hari Kemerdekaan ke-66 yang berlangsung di Dataran Putrajaya semalam, dengan disaksikan oleh kira-kira 100,000 orang yang menghadirinya.

Antara aset yang dipertontonkan pada perarakan semalam adalah deretan peluru-peluru berpandu yang digunakan oleh pesawat-pesawat pejuang milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Salah satu sistem persenjataan yang dipamerkan pada perbarisan Hari Kemerdekaan negara semalam adalah KH-29T yang merupakan peluru berpandu udara-ke-darat yang digunakan oleh pesawat-pesawat pejuang Sukhoi Su-30MKM.

KH-29
KH-29T menggunakan panduan TV.

 

Bagi negara Barat dan NATO, peluru berpandu KH-29 dikenali sebagai “AS-14 Kedge” dan ia dikatakan adalah pesaing kepada peluru berpandu AGM-65 Maverick yang dibangunkan oleh firma pertahanan Amerika Syarikat.

Peluru berpandu udara-ke-darat KH-29 itu dibangunkan oleh Molniya Design Bureau (pada awal rekabentuk) dan juga Vympel Design Bureau (pada akhir rekabentuk).

Secara keseluruhannya, peluru berpandu Russia yang digunakan oleh pesawat pejuang Su-30MKM milik TUDM itu memiliki panjang 3.87 meter dan berat 680kg.

Bagi penganalisis pertahanan, satu ciri menarik peluru berpandu udara-ke-darat KH-29 itu adalah bahan peledak dibawanya iaitu seberat 317kg, yang dikatakan adalah cukup besar dan berkuasa tinggi untuk memusnahkan sasaran-sasaran darat yang besar dengan tepat.

Dengan peledak 317kg itu, peluru berpandu udara-ke-darat KH-29 itu berkemungkinan menyasarkan sasaran-sasaran besar seperti jambatan-jambatan dan kubu-kubu diperkukuhkan (hardened).

KH-29
KH-29L menggunakan panduan laser semi-aktif.

 

Peluru berpandu udara-ke-darat itu mula dibangunkan pada 1970-an dan ditauliahkan pada 1980-an ketika Russia masih lagi dikenali sebagai Kesatuan Soviet untuk menggantikan peluru berpandu KH-23 (AS-7 Kerry).

Terdapat dua varian bagi peluru berpandu KH-29, iaitu KH-29T — sebagaimana dipamerkan oleh TUDM semalam yang merupakan peluru berpandu udara-ke-darat yang menggunakan panduan TV manakala KH-29L pula merupakan varian yang menggunakan panduan laser semi-aktif.

Walaupun dikatakan hanya boleh digunakan pada waktu siang sahaja, varian peluru berpandu KH-29T yang menggunakan panduan TV (Tubus -2) itu memiliki ketepatan yang lebih tinggi berbanding varian yang menggunakan panduan laser semi-aktif.

Bagi KH-29T yang menggunakan panduan TV, Circular Error Probable (CEP) bagi peluru berpandu itu adalah 3 meter manakala CEP bagi varian laser semi-aktif KH-29L pula adalah di antara lima hingga tujuh meter.

CEP digunakan oleh banyak pihak sebagai pengukur kepada ketepatan sesuatu sistem persenjataan.

KH-29
KH-29T
Su-30MKM
Lima buah pesawat pejuang Su-30MKM milik TUDM pada perbarisan Hari Kemerdekaan negara di Dataran Putrajaya semalam,. (kredit ATM)

 

Peluru berpandu KH-29T yang menggunakan panduan TV, ia boleh dilancarkan daripada ketinggian altitud 5km dan boleh membedil sasaran yang terletak di antara 10km hingga 12km dengan tepat.

Manakala bagi varian peluru berpandu udara-ke-darat KH-29L yang menggunakan laser semi-aktif pula, jarak bedilannya adalah di antara lapan hingga 12km bergantung kepada laser designator.

Pada ketika ini, Tentera Udara Russia dan negara-negara yang menggunakan pesawat pejuang Su-27, Su-30 dan juga Su-34 menggunakan peluru berpandu KH-29 (sama ada varian “T” atau “L”) untuk membedil sasaran-sasaran darat yang “bernilai tinggi” (valuable target) dengan tepat.

Tentera Udara Russia turut menggunakan peluru berpandu KH-29 dalam konfliknya dengan Ukraine pada ketika ini. — DSA

Donlod

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: [email protected]

 

 

Comments are closed.