Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Indonesia Dicadang “Digugurkan” Dari Program Pembangunan Pesawat KF-21 “Boramae”

Alasan utama cadangan penguguran Indonesia daripada program pembangunan pesawat pejuang KF-21 "Boramae" Korea Selatan itu adalah kerana Jakarta berterusan telah gagal membayar kos pembangunan pesawat itu, sebagaimana dipersetujui di dalam perjanjian awal antara kedua-dua negara itu.

0 1,370

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Ketua kepada sebuah agensi pertahanan utama Korea Selatan dipanggil Defence Acquisition Program Administration (DAPA) dilaporkan telah mencadangkan supaya Indonesia digugurkan daripada program pembangunan pesawat pejuang generasi 4.5 KF-21 “Boramae”.

Alasan utama cadangan penguguran Indonesia daripada program pesawat pejuang Korea Selatan itu adalah kerana Jakarta berterusan gagal membayar kos pembangunan pesawat itu sebagaimana telah dipersetujui di dalam perjanjian awal antara kedua-dua negara itu.

Baru-baru ini, ketua DAPA Eom Dong-Hwan telah terbang ke Jakarta di mana beliau dikatakan telah bertemu dengan Menteri Pertahanan Indonesia Prabowo Subianto, dengan perbincangan tertumpu kepada isu kegagalan negara Asia Tenggara itu membayar kos pembangunan pesawat KF-21 itu.

Pertemuan di antara kedua-dua pihak itu berlangsung pada 6 Oktober yang lalu.

Ditanya oleh media pertahanan antarabangsa, Janes, DAPA berkata ia sedang cuba menormalisasi kerjasama di antara kedua-dua negara dalam isu pembangunan pesawat KF-21 itu dengan rundingan masih berterusan.

KF-21
KF-21 “Boramae”

 

Beliau bagaimanapun enggan memberikan sebarang komen mendalam mengenainya.

Dalam satu lagi kenyataan kepada portal berita berlainan pula, ketua DAPA itu memberikan gambaran bahawa kerjasama antara Korea Selatan  dengan Indonesia itu tidak berjalan dengan baik walaupun terdapat usaha untuk meneruskan kerjasama itu.

Beliau menyatakan Indonesia telah gagal membayar sejumlah 991.1 bilion Won (US$730 juta) kepada program pembangunan pesawat pejuang itu.

Bercakap kepada media Korea Selatan beberapa hari lalu pula, Eom berkata mereka perlu membincangkan secara mendalam tentang kegagalan Indonesia menjelaskan kos pembangunan yang sepatut dibayarnya.

“Jika kita tidak menjelaskan rancangan (pembayaran) untuk tiga tahun akan datang (2023-2025) pada akhir bulan ini, kita tidak mempunyai pilihan selain mengkaji semula (pembabitan Indonesia) daripada mula,” kata ketua DAPA itu.

Sejak mula menyertai program pembangunan itu, Indonesia hanya mampu membayar jumlah yang sedikit daripada apa yang sepatutnya ia bayar mengikut perjanjian awal.

KF-21

Indonesia memiliki 20 peratus pegangan dalam program pembangunan pesawat pejuang KF-21 “Boramae” itu tetapi telah gagal melunaskan bayaran penyertaannya dalam program itu sejak 2017.

Jakarta juga bercadang memperolehi sejumlah 50 buah pesawat pejuang generasi 4.5 itu.

Pada Julai lalu, DAPA mendakwa bahawa Indonesia telah gagal memberitahu Korea Selatan tentang jadual pembayaran baru bagi program pembangunan pesawat pejuang KF-21 “Boramae”.

Indonesia dan Korea Selatan telah menandatangani perjanjian pada 2010 untuk bekerjasama di dalam program pembangunan pesawat pejuang itu, dengan Jakarta dikatakan akan menerima prototaip pesawat KF-21 yang kelima itu.

Sebagai rakan kerjasama bagi program pembangunan pesawat KF-21,Jakarta bersetuju untuk membayar 20 peratus daripada jumlah keseluruhan kos pembangunan pesawat pejuang itu.

Keseluruhan kos pembangunan pesawat pejuang canggih itu dianggarkan berjumlah US$6.67 bilion (RM26.7 bilion) dan bahagian yang perlu ditanggung oleh Indonesia adalah sebanyak 20 peratus.

KF-21
Bendera Indonesia “hilang” pada prototaip pesawat pejuang KF-21.

 

Menurut DAPA,  kali terakhir Indonesia melakukan bayaran bagi penyertaannya dalam program pembangunan pesawat pejuang KF-21 itu adalah pada 2017, iaitu kira-kira lima tahun yang lalu.

Sehingga kini, Indonesia dikatakan telah gagal melunaskan bayaran sebanyak US$671 juta (RM2.7 bilion) daripada US$1.3 bilion (RM5.3 bilion) bayaran keseluruhan sebagai rakan pembangunan program pesawat pejuang itu, menggunakan alasan masalah kewangan negara itu sebagai alasan utamanya. 

Syarikat Korea Aerospace Industries (KAI) telah membangunkan enam buah pesawat prototaip KF-21, yang akan melakukan 2,200 penerbangan ujian sehingga tahun 2026 untuk mengesahkan lagi kemampuan teknikal pesawat itu.

Dilancarkan pada 2015, program pembangunan pesawat KF-21 itu dianggar menelan belanja US$6.67bilion (RM26.7bilion),bertujuan untuk menggantikan pesawat-pesawat pejuang supersonik milik Tentera Udara Korea Selatan (ROKAF) yang telah berusia seperti F-4 Phantom dan F-5.

KAI merancang untuk membekalkan 40 buah pesawat KF-21 Block 1 yang direkabentuk untuk misi udara-ke-udara bermula pada tahun 2026, diikuti oleh 80 buah pesawat Block 2 itu untuk misi udara-ke-darat.

KF-21

Gergasi aeroangkasa Korea Selatan itu juga dilaporkan berhasrat untuk mula mengeksport pesawat pejuang KF-21 “Boramae” kepada pelanggan-pelanggan yang berminat bermula pada tahun 2028.

KAI telah pun mensasarkan beberapa buah negara sebagai pelanggan berpotensi bagi pesawat pejuang KF-21 terutamanya negara-negara yang telah pun menggunakan pesawat pejuang ringan FA-50/T-50 seperti Thailand, Filipina, Iraq dan Poland.

Memandangkan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) juga bakal menggunakan FA-50 Block 20, maka ia juga disasarkan oleh KAI sebagai pelanggan berpotensi bagi pesawat pejuang generasi 4.5 KF-21. — DSA

DEFENCE  SECURITY ASIA APPS

 

To advertise contact admin: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...