Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Pesawat MiG-31 Russia Bawa Peluru Berpandu Hypersonik Ketika Ronda Laut Hitam

“Ini bukanlah suatu ugutan….Berdasarkan kepada arahan saya, Tentera Udara Russia akan memulakan rondaan di zon neutral di ruang udara Laut Hitam dan pesawat MiG-31 itu akan dilengkapi dengan peluru berpandu hypersonik Kinzhal,” kata Presiden Putin,

0 850

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Presiden Russia Vladimir Putin mengumumkan bahawa pesawat-pesawat pejuang MiG-31 akan dilengkapkan dengan peluru berpandu hypersonik “Kinzhal” ketika melakukan rondaan di Laut Hitam.

Peluru berpandu hypersonik berkelajuan Mach 9 dan jarak operasi sejauh 1,000km itu boleh dilengkapi dengan kepala peledak nuklear dan konvensional.

“Ini bukanlah suatu ugutan….Berdasarkan kepada arahan saya, Tentera Udara Russia akan memulakan rondaan di zon neutral di ruang udara Laut Hitam dan pesawat MiG-31 itu akan dilengkapi dengan peluru berpandu hypersonik Kinzhal,” kata beliau sebagaimana dipetik oleh agensi berita Interfax.

“Saya menekankan bahawa ia bukanlah ugutan tetapi kita akan melaksanakan kawalan visual, kawalan dengan senjata sebagaimana apa yang sedang berlaku di Laut Mediterranean,” kata Presiden Russia itu.

Presiden Russia itu berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya daripada China,Xi Jinping di Beijing.

Kinzhal
Peluru berpandu Hypersonik “Kinzhal”

 

Putin berkata “keadaan semakin panas” dengan apa yang sedang berlaku di Timur Tengah.

Peluru berpandu hypersonik “Kinzhal” merupakan peluru berpandu yang sukar dikesan oleh radar dengan tahap kelincahan yang tinggi dan direka untuk membedil sasaran-sasaran di laut serta di daratan.

Presiden Russia itu menekankan bahawa keputusan itu dibuat ketika Amerika Syarikat mengerahkan dua buah kapal pengangkut pesawat, USS Gerald R.Ford dan USS Dwight E-Eisenhower ke timur Laut Mediterranean ketika konflik di antara Israel dan Hamas serta Hezbollah sedang memuncak.

Selain kedua-dua buah kapal pengangkut pesawat yang mengangkut lebih 200 buah pesawat kombat, ia turut diiringi dengan beberapa kapal-kapal perang yang lain.

Selain itu, Amerika Syarikat turut mengerahkan pesawat-pesawat pejuangnya ke Timur Tengah sebagai usaha untuk mengelak konflik itu daripada merebak melibatkan pihak-pihak lain terutamanya Iran.

Gerald Ford
USS Gerald R.Ford (CVN78)

 

Dalam usahanya untuk membantu Israel, Britain akan menghantar pesawat peninjau dan dua buah kapal bantuan (support ship) RFA Lyme Bay serta RFA Argus berserta 100 orang anggota Royal Marines ke perairan negara itu.

Selain membantu Israel, penghantaran aset tentera British itu juga bertujuan menghalang konflik di antara Hamas dan Tel Aviv itu daripada merebak.

Menurut Presiden Russia itu lagi, beliau dan Xi Jinping turut membincangkan isu terkini di Timur Tengah dan bersetuju bahawa kedua-dua negara berhadapan dengan ancaman yang sama yang memerlukan mereka mengukuhkan lagi kerjasama dan hubungan. — DSA

DEFENCE  SECURITY ASIA APPS

 

To advertise contact admin: haikalhamas73@gmail.com

 

Comments
Loading...