Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Indonesia Gagal Lunas Bayaran Kos Pembangunan Pesawat KF-21 “Boramae”?

Indonesia dikatakan telah gagal melunaskan pembayaran US$671 juta (RM2.7 bilion) daripada US$1.3 bilion (RM5.3 bilion) bayaran keseluruhan yang dijanjikannya, dengan menjadikan masalah kewangan negara itu sebagai alasan utamanya. 

0 3,892
(DEFENCE SECURITY ASIA) – – Minggu lepas, pesawat pejuang gen 4.5 “KF-21 Boramae” yang dibangunkan oleh syarikat aeroangkasa, Korea Aerospace Industries (KAI) telah melakukan penerbangan sulungnya yang berlangsung selama 40 minit.
Korea Selatan telah membelanjakan kira-kira US$6.71 bilion (RM26 bilion) untuk membangunkan pesawat pejuang itu dengan Jakarta dikatakan bersetuju membayar 20 peratus daripada kos keseluruhan pembangunan pesawat itu sebagai rakan kerjasama. 
Persefahamannya adalah – 80 peratus kos pembangunan pesawat KF-21 itu dibiayai oleh Korea Selatan manakala 20 peratus atau kira-kira US$1.34 bilion (RM5. 3 bilion) dibiayai oleh Jakarta. 
KF-21
Pesawat KF-21 “Boramae” ketika melakukan ground testing baru-baru ini.
Seoul dan Jakarta menandatangani perjanjian pada 2010 dimana Indonesia dikehendaki membiayai 20 peratus daripada kos keseluruhan pembangunan pesawat itu yang dianggarkan sebanyak US$6.71 bilion sebagai pertukaran sejumlah pesawat KF-21 yang akan dipasang di negara Asia Tenggara untuk tentera udaranya selain pemindahan teknologi. 
Bagaimanapun Indonesia dikatakan telah gagal melunaskan pembayaran US$671 juta (RM2.7 bilion) daripada US$1.3 bilion (RM5.3 bilion) bayaran keseluruhan yang dijanjikannya kepada Korea Selatan, dengan menjadikan masalah kewangan negara itu sebagai alasan utamanya. 
Bagaimanapun akhbar Korea Selatan, The Korean Times baru-baru ini menyatakan terdapat harapan bahawa soal pembayaran Indonesia bagi program pembangunan pesawat KF-21 itu akan diselesaikan dengan baik apabila Presiden Indonesia Joko Widodo melakukan lawatan ke Korea Selatan untuk sidang kemuncak dengan rakan sejawatan Presiden Yoon Suk-yeol. 
Akhbar itu bagaimanapun tidak menyatakan tarikh sebenar kunjungan Presiden Jokowi ke Korea Selatan itu. 
Kunjungan Joko Widodo ke Korea Selatan tidak lama lagi ini berlaku selepas pesawat KF-21 itu melakukan penerbangan sulungnya pada 19 Julai. 

Pada 19 Julai, pesawat prototaip KF-21 itu terbang sambil “ditemani” dengan dua bendera, Korea Selatan dan Indonesia diletakkan di badan pesawat bagi melambangkan kerjasama di antara kedua-dua negara. 
“Isu mengenai pembayaran (oleh Indonesia) itu dijangka dibincangkan semasa sidang kemuncak (di antara presiden Indonesia dan Korea Selatan),” menurut seorang pegawai kanan pejabat presiden Korea Selatan sebagai dipetik oleh akhbar The Korea Times itu. 
Pada November tahun lepas, kedua-dua negara telah bersetuju supaya Indonesia  membayar 30 peratus daripada bayaran keseluruhan komitmennya terhadap program pembangunan pesawat KF-21 (sebanyak US$1.3 bilion daripada US$6.7 bilion), namun Jakarta dikatakan telah melanggar persetujuan itu. 
“Kami gagal mengubah kontrak pada akhir suku pertama tahun ini kerana perubahan kerajaan di Korea Selatan. Bagaimanapun Indonesia masih komited kepada KF-X sebagaimana dibuktikan oleh kehadiran 39 juruteranya yang bertugas di Korea Aerospace Industries dan kami percaya isu mengenai pembayaran itu diselesaikan dengan segera, ” menurut kenyataan seorang pegawai dipetik oleh akhbar Korea Selatan itu. 
KF-21
Pesawat KF-21 “Boramae”yang dibangunkan oleh syarikat Korea Aerospace Industries (KAI)
Penyelidik kanan di Korea Defense and Security Forun, Shin Jong-woo dipetik oleh akhbar berkenaan berkata Defense Acquisition Program Administration (DAPA) 
komited tidak akan membabitkan Indonesia dalam program KF-21 selagi negara itu tidak menyelesaikan bayarannya. 
Penerbangan sulung pesawat KF-21 itu dijangka akan memainkan peranan positif dalam menyelesaikan isu pembayaran oleh Indonesia itu, kata akhbar berkenaan.
Menurut seorang penyelidik yang dipetik oleh akhbar itu, terdapat minat yang mendalam terhadap pesawat KF-21 itu di pameran aeroangkasa Farnborough baru-baru ini selepas pesawat itu berjaya melakukan penerbangan sulungnya. 
Pada ketika ini terdapat spekulasi yang hebat mengatakan Indonesia akan menarik diri daripada program pembangunan pesawat KF-21 ini berikutan isu kegagalan negara itu menyumbang bayaran pada program pembangunan itu sebagaimana dijanjikannya serta tindakannya membeli pesawat-pesawat seperti F-15 dan Rafale baru-baru ini.  — DSA
Comments
Loading...