Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kehadiran Enam Pesawat Pengangkut Xian Y-20 China di Mesir Cetus Spekulasi Tentang Muatan Dibawanya

Disebalik persoalan tentang muatan yang dibawa oleh pesawat-pesawat pengangkut milik PLAAF itu, penerbangan itu turut menunjukkan hubungan ketenteraan yang semakin erat di antara China dan Mesir, yang merupakan sekutu kuat Amerika Syarikat di Timur Tengah.

0 5,706
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Penerbangan sejumlah enam buah pesawat pengangkut gergasi tentera Xian Y-20 daripada China ke Mesir beberapa hari lalu telah menimbulkan pelbagai spekulasi, terutamanya tentang muatan dibawanya yang sehingga kini tidak didedahkan.
Disebalik persoalan tentang muatan yang dibawa oleh pesawat-pesawat pengangkut milik PLAAF itu, penerbangan itu turut menunjukkan hubungan ketenteraan yang semakin erat di antara China dan Mesir, yang merupakan sekutu kuat Amerika Syarikat di Timur Tengah.
Penerbangan pesawat-pesawat pengangkut tentera China itu ke Mesir itu sudah semestinya menimbulkan kegusaran pada Amerika Syarikat.
Pemerhati-pemerhati OSINT (Open Source Intelligence) menggunakan aplikasi penjejak penerbangan seperti Flight Radar untuk menjejaki penerbangan pesawat-pesawat pengangkut gergasi tentera China itu ke Mesir.
Mereka mengesan pesawat-pesawat pengangkut itu terbang daripada China dan melakukan persinggahan di Dubai, sebelum mendarat di Mesir.
Pesawat pengangkut strategik Xian Y-20, yang dibangunkan oleh Xi’an Aircraft Industrial Corporation di bawah Aviation Industry Corporation of China (AVIC), merupakan antara aset terpenting dalam keupayaan mobiliti udara Tentera Udara Tentera Pembebasan Rakyat China (PLAAF) dalam era moden.
Pesawat ini direka untuk melaksanakan pelbagai misi logistik berskala besar termasuk penghantaran pasukan, peralatan berat, kenderaan berperisai, dan bantuan kemanusiaan rentas benua, sekaligus memperkukuh keupayaan operasi luar negara China.
Y-20
Pesawat pengangkut Xian Y-20 buatan China.
Dengan panjang badan sekitar 47 meter, lebar sayap 50 meter dan kemampuan membawa muatan maksimum sehingga 66 tan, Y-20 mampu mengangkut pelbagai jenis platform termasuk kereta kebal ringan, sistem pertahanan udara, serta bekalan kritikal ke medan operasi yang terpencil dan mencabar.
Y-20 juga mempunyai jarak operasi sejauh kira-kira 7,800 kilometer tanpa pengisian semula bahan api, yang membolehkan ia melaksanakan misi jarak jauh merentasi wilayah Asia, Afrika, dan Timur Tengah—memberi kelebihan strategik kepada China dalam konteks geopolitik serantau dan global.
Pesawat ini turut dilengkapi dengan pintu kargo belakang dan sistem winch dalaman yang memudahkan proses pemunggahan dan pemindahan peralatan berat secara pantas, termasuk dalam situasi kecemasan atau bencana alam.
Sejak kebelakangan ini, beberapa varian Y-20 juga telah dibangunkan untuk tujuan khas seperti versi pengisian bahan api udara (Y-20U) dan potensi sebagai pesawat amfibia serta sokongan perubatan, sekaligus memperluas spektrum operasinya dalam peperangan moden berbilang domain.
Secara keseluruhan, kemunculan Y-20 sebagai pesawat pengangkut strategik buatan tempatan membuktikan kemajuan pesat industri aeroangkasa China dan menjadikan PLAAF lebih berdaya saing dalam menyokong operasi luar negara dan memperkukuh pengaruh ketenteraan Beijing di peringkat antarabangsa.
Hubungan ketenteraan antara Mesir dan China telah berkembang pesat dalam dekad kebelakangan ini, mencerminkan usaha bersama kedua-dua negara untuk memperkukuh kerjasama strategik dan memperluas pengaruh geopolitik masing-masing.

Flight Radar

Sejak awal 2025, Mesir dan China telah menamakan apa yang digelar sebagai “dekad emas” dalam hubungan dua hala mereka, yang menyaksikan peningkatan ketara dalam kerjasama pertahanan, termasuk latihan bersama, pemindahan teknologi, dan perolehan persenjataan canggih.
Dalam usaha untuk memodenkan angkatan tenteranya dan mengurangkan kebergantungan kepada pembekal senjata tradisional dari Barat, Mesir telah memperoleh pelbagai sistem persenjataan dari China.
Antara perolehan utama termasuk pesawat pejuang generasi 4.5 Chengdu J-10C, yang dilaporkan telah diterima oleh Tentera Udara Mesir pada awal 2025.
Laporan pada Februari lalu menyatakan bahawa Tentera Udara Mesir berkemungkinan besar telah pun menerima kumpulan pertama pesawat-pesawat pejuang J-10CE buatan China, yang dilengkapi dengan peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh (Beyond Visual Range) PL-15.
Kemungkinan itu dinyatakan oleh seorang pemerhati aeroangkasa China, Hurin menerusi platform media sosial X miliknya yang menunjukkan dua buah pesawat pejuang J-10CE milik Mesir sedang beraksi.
Tentera Udara Mesir dilaporkan bercadang memperolehi sehingga 40 buah pesawat pejuang J-10CE buatan China itu.
J-10CE
J-10CE (credit Hurin92)
Pesawat pejuang J-10CE merupakan varian eksport kepada pesawat pejuang J-10C “Vigorous Dragon” yang dibangunkan oleh dibangunkan oleh Chengdu Aircraft Corporation untuk Tentera Udara China.
Pada Sept tahun lepas, Mesir dilaporkan telah memutuskan untuk memperolehi pesawat pejuang J-10C buatan China bagi menggantikan pesawat pejuang F-16 buatan Amerika Syarikat berusia yang kini digunakan oleh tentera udara negara Arab itu.
Walaupun Kementerian Pertahanan Mesir masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenainya, tetapi media-media tempatan dan luar telah pun mengesahkannya.
Laporan tentang kemungkinan Mesir memperolehi pesawat pejuang J-10C itu mula dihidu pada 2023, dengan laporan pegawai-pegawai kanan pertahanan negara Arab itu dan China dikatakan bertemu di Langkawi ketika pameran LIMA 2023 bagi berbincang tentang perolehan pesawat pejuang itu.
Pada LIMA 2023, pasukan aerobatik China “August 1st” yang menggunakan pesawat pejuang J-10C turut menyertai pameran aeroangkasa dan maritim itu di pulau peranginan itu.
Pada Julai 2024, tawaran China kepada Mesir untuk memperolehi pesawat pejuang J-10C itu dikatakan telah dikemukakan ketika Panglima Tentera Udara Mesir Jeneral Mahmud Foaad Abdel Gawaad semasa beliau melawat Beijing dan bertemu dengan rakan sejawatannya Jeneral Chang Dingqiu di Beijing.
J-10C
J-10C
Pertemuan di antara Panglima Tentera Udara Mesir dan China di Beijing itu adalah di atas jemputan Jeneral Chang Dingqiu bagi meningkatkan lagi hubungan strategik di antara kedua-dua negara.
Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Angkatan Tentera Mesir, lawatan oleh Panglima Tentera Udara Mesir ke China itu membuktikan komitmen kuasa Timur Tengah itu untuk meningkatkan lagi hubungan ketenteraan dengan negara sahabat.
Jeneral Mahmoud Foaad itu juga telah melakukan kunjungan terhadap Pangkalan Udara Tangshan di mana beliau dan delegasi pegawai-pegawai kanan Tentera Udara Mesir itu disajikan dengan demonstrasi penerbangan pesawat pejuang J-10C. 
Mesir juga dilaporkan telah memperoleh dan mengoperasikan beberapa sistem pertahanan udara buatan China sebagai sebahagian daripada usaha untuk memodenkan angkatan tenteranya dan mengurangkan kebergantungan kepada pembekal tradisional dari Barat dan Russia.​
Baru-baru ini juga, laporan media mendedahkan bahawa Mesir telah memperoleh sistem pertahanan udara HQ-9B dari China, yang dianggap setara dengan sistem S-400 buatan Rusia.
Sistem pertahanan udara HQ-9B merupakan peluru berpandu permukaan-ke-udara jarak jauh generasi baharu yang dibangunkan oleh China sebagai jawapan kepada keperluan moden dalam menghadapi ancaman pelbagai dimensi dari udara.
HQ-9B
HQ-9B
Dibangunkan oleh China Aerospace Science and Industry Corporation (CASIC), HQ-9B direka untuk memberikan perlindungan berlapis terhadap pelbagai ancaman termasuk pesawat pejuang generasi terkini, peluru berpandu jelajah, peluru berpandu balistik jarak pendek, serta kenderaan udara tanpa pemandu (UAV).
HQ-9B merupakan versi termaju daripada siri HQ-9 dan menawarkan peningkatan ketara dari segi jangkauan, keupayaan pengesanan serta ketepatan pemintasan berbanding versi asalnya.
Sistem ini mampu memintas sasaran sejauh 250 hingga 300 kilometer, bergantung kepada jenis peluru berpandu yang digunakan, serta beroperasi pada ketinggian sehingga 30 kilometer, menjadikannya antara sistem pertahanan udara paling berkeupayaan dalam inventori China dan negara-negara sekutunya.
HQ-9B dilengkapi dengan radar fasa aktif (Active Phased Array Radar) yang mampu mengesan, menjejak, dan menyerang sasaran berganda secara serentak, dengan kebolehan “track-vs-jam” yang membolehkan ia beroperasi dalam persekitaran peperangan elektronik yang kompleks.
Peluru berpandu HQ-9B menggunakan gabungan sistem pemanduan inersia dengan kemas kini pertengahan laluan serta pemanduan radar aktif pada fasa terminal untuk ketepatan tinggi dalam pemintasan sasaran.
Dalam konteks geo-strategik, kehadiran HQ-9B dalam sesuatu angkatan tentera memberi isyarat yang jelas tentang keupayaan sesebuah negara untuk mempertahankan ruang udaranya secara mendalam, menambah keupayaan deteren terhadap sebarang bentuk serangan udara konvensional atau asimetrik.
HQ-9B
HQ-9B
Keseluruhannya, HQ-9B merupakan simbol kepada kemajuan industri pertahanan China dan pencerminan kepada usaha negara-negara seperti Mesir untuk memperkukuh keupayaan pertahanan mereka melalui perolehan sistem buatan China yang kompetitif dan berteknologi tinggi.
 Selain itu, Mesir juga telah mengoperasikan dron tempur tanpa pemandu Wing Loong-1D yang dibangunkan oleh China, yang menawarkan keupayaan serangan dan pengawasan yang setanding dengan MQ-9 Reaper buatan Amerika Syarikat, tetapi pada kos yang lebih rendah.
Kerjasama ini turut merangkumi pembangunan bersama dron ASN-209, yang dihasilkan secara tempatan di Mesir dengan bantuan teknologi dari China.
Kerjasama ketenteraan antara kedua-dua negara juga meliputi latihan bersama dan pertukaran teknologi.
Sebagai contoh, pada tahun 2015, Mesir dan China mengadakan latihan tentera laut bersama yang pertama, menandakan komitmen kedua-dua negara untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang pertahanan.
Secara keseluruhannya, hubungan ketenteraan yang semakin erat antara Mesir dan China mencerminkan perubahan strategik dalam landskap geopolitik Timur Tengah, di mana negara-negara seperti Mesir berusaha untuk mempelbagaikan sumber perolehan pertahanan mereka dan mengukuhkan kedaulatan ketenteraan melalui kerjasama dengan kuasa-kuasa besar seperti China.
— DEFENCE SECURITY ASIA

Leave A Reply

Your email address will not be published.