KD Lekiu Laksana Misi Pelayaran Regional Partnership Exercise 2022
KD Lekiu itu bakal menyertai Eks MALINDO JAYA 26/22, Eks KAKADU 2022, Eks KERISMAS 2022 dan Eks MALAPURA 30/22.
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Kapal friget Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), KD Lekiu akan melaksanakan misi pelayaran Regional Partnership Exercise 2022 selama 86 hari serta terlibat dalam empat siri eksesais, menurut kenyataan oleh TLDM.
Empat eksesais yang ia akan terlibat itu meliputi satu eksesais multilateral, dua eksesais bilateral dan satu eksesais TLDM berskala besar bermula daripada 23 Ogos sehingga 17 November 2022.
KD Lekiu itu bakal menyertai Eks MALINDO JAYA 26/22, Eks KAKADU 2022, Eks KERISMAS 2022 dan Eks MALAPURA 30/22.
Majlis Pelepasan Tali KD Lekiu sempena misi pelayaran itu telah disempurnakan oleh Timbalan Panglima Armada Barat, Laksamana Pertama Farizal Myeor di Pangkalan TLDM, Lumut, Perak.
KD Lekiu dijadualkan kembali ke Tambatan Pangkalan Laut, TLDM pada 17 November 2022.
“Penglibatan KD Lekiu dalam empat siri eksesais secara berterusan semasa pelayaran Regional Partnership Exercise 2022 ini membuktikan ketersediaan dan kebolehoperasian aset pertahanan maritim negara serta profesionalisme warga di tahap yang tertinggi selain komitmen TLDM ke arah memperkasakan diplomasi pertahanan di peringkat antarabangsa seiring angkatan laut di peringkat global melalui kerjasama serantau,” menurut kenyataan TLDM itu.
Eksesais pertama yang akan disertai adalah Eks MALINDO JAYA 26/22 di Surabaya, Indonesia yang merupakan eksesais bilateral bagi memperkukuhkan kerjasama serantau Malaysia-Indonesia dalam melaksanakan operasi bersama.
Sebanyak 2 aset utama TLDM yang akan terlibat iaitu KD LEKIU dan KD SRI INDERA SAKTI disamping aset sokongan yang lain.
Eks KAKADU 2022 pula merupakan eksesais multilateral yang melibatkan angkatan laut dari pelbagai negara dengan pembabitan aset yang besar di Darwin, Australia.
Ianya merupakan latihan dwitahunan perdana antarabangsa serantau yang dianjurkan oleh Tentera Laut Diraja Australia.
Eksesais ini menyediakan peluang penglibatan kepada semua negara sahabat untuk melaksanakan aktiviti maritim secara multinasional meliputi operasi dan peperangan tahap tinggi.
Seterusnya KD Lekiu akan meneruskan pelayaran dari Darwin ke perairan Laut China Selatan bagi menyertai Eks KERISMAS 2022 yang mana ianya merupakan eksesais berskala besar TLDM yang dianjurkan secara tahunan.
Eksesais ini akan melibatkan sebanyak 27 aset TLDM bagi membuktikan komitmen TLDM dalam menjaga kedaulatan dan kepentingan maritim negara melalui show of force dengan memperagakan aset-asetnya di Zon Maritim Malaysia.
Turut terlibat semasa eksesais ini adalah Fast Combat Boat, pesawat Super Lynx, Fennec dan Helikopter Operasi Maritim (HOM) TLDM serta 6 pesawat dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebagai aset sokongan.
Pada penghujung pelayaran, KD LEKIU akan menyertai satu lagi eksesais bilateral bersama Tentera Laut Republik Singapura (TLRS) iaitu Eks MALAPURA 30/22 di Changi Naval Base, Singapura.
Eksesais ini bertujuan memperkukuhkan kesefahaman antara TLDM dan TLRS dalam meningkatkan kebolehoperasian bersama disamping memperkasakan kerjasama antara kedua-dua negara melalui interaksi bilateral.
TEKAN UNTUK MUAT-TURUN APLIKASI DEFENCE SECURITY ASIA:
Objektif penglibatan TLDM dalam pelbagai eksesais seperti ini adalah bagi membina kesefahaman dan meningkatkan keupayaan kebolehoperasian bersama angkatan laut sahabat serta memperkuatkan keselamatan dan kapasiti pertahanan negara melalui perkongsian berwibawa dengan kerjasama bilateral dan multilateral bagi memupuk kestabilan serantau.
Selain itu, penglibatan ini dapat mengekalkan imej dan penghormatan TLDM di pentas antarabangsa disamping meningkatkan keyakinan komuniti maritim terhadap kemampuan dan komitmen TLDM.
Sumber : Bahagian Komunikasi Strategik, Markas Pemerintahan Armada Barat
Jom folow Twitter, Telegram, Facebook dan download Apps Google Playstore Defence Security Asia.
Comments are closed.