KD Pendekar “Tersasar Dari Laluan, Terlanggar Terumbu Punggai” – Lembaga Siasatan TLDM
"Berdasarkan daripada rekod laluan kapal tersebut, KD PENDEKAR telah tersasar dari laluan yang dirancang dan terlanggar Terumbu Punggai (Stork Reef).” -- Laporan Siasatan TLDM
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Lembaga Siasatan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah mengeluarkan laporan insiden yang menimpa KD PENDEKAR pada 25 Ogos 2024 sehingga telah menyebabkan kapal serang laju itu karam.
Kapal serang laju milik TLDM berusia 45 tahun itu telah tenggelam sepenuhnya di posisi dua batu nautika di Tenggara dari Tanjung Penyusop, Johor pada jam 3.54 petang hari berkenaan.
Insiden berlaku apabila kapal menghadapi gegaran kuat diikuti kebanjiran besar semasa menghampiri pesisir pantai untuk melakukan pemeriksaan teknikal.
Lembaga Siasatan TLDM sebagaimana dinyatakan oleh kenyataan TLDM telah mendapati beberapa faktor yang menyumbang kepada insiden ini:
“(1) Kesilapan Panduarah (Navigational Error). Berdasarkan daripada rekod laluan kapal tersebut, KD PENDEKAR telah tersasar dari laluan yang dirancang dan terlanggar Terumbu Punggai (Stork Reef).”
“(2) Keusangan Kapal. Faktor keusangan kapal yang melebihi Dasar Kasting iaitu berusia 45 tahun telah menyukarkan kawalan kebanjiran berikutan kelemahan struktur badan kapal dan mempercepatkan kebanjiran merebak ke kompartmen-kompartmen lain,” menurut kenyataan itu.

Kapal KD PENDEKAR dengan nombor penant-nya 3513 telah ditauliahkan ke dalam perkhidmatan TLDM pada 21 Ogos 1979.
Ia berkata, usaha menyelamat dan mengapungkan KD PENDEKAR berjaya diselesaikan pada 15 Oktober 2024 oleh sebuah firma tempatan dan kapal kini dalam proses pemeriksaan teknikal.
Sementara itu, mengenai insiden kematian penyelam TLDM Laskar Kelas I PLM Arman San bin Hermansa ketika melaksanakan operasi salvaj, kenyataan berkata punca kematian penyelam penyelam itu adalah akibat lemas.
“Keadaan di kawasan operasi di mana arus yang tidak menentu dan memukul lumpur di dasar laut mengakibatkan jarak penglihatan menjadi sangat terhad (sekitar 1 kaki pada hari kejadian).”
“Keadaan ini meletakkan seseorang penyelam berada pada situasi yang berisiko tinggi dan tekanan kerja yang mencabar. Apabila tali keselamatan yang digunakan oleh penyelam didapati tersangkut pada kapal tersebut, langkah kecemasan (emergency drill) yang dilakukan oleh penyelam malang ini tidak berhasil seterusnya menyebabkan beliau lemas.”

Comments are closed.