Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kapal Selam Kelas-“Taigei” Jepun Kini Mampu Serang Pangkalan Musuh

Dengan 70 orang anak kapal, kapal selam “JS Taigei” yang dibina dengan kos US$690 juta (RM2.76 bilion) sepanjang 84 meter dan seberat 3,000 tan, bakal dilengkapi dengan sistem persenjataan yang bakal menggerunkan musuh-musuhnya seperti China dan Russia yang memiliki pertikaian tentang wilayah dengan Tokyo.

0 3,319

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Laut Jepun (Japan Maritime Self-Defense Force –JMSDF) baru-baru ini telah mentauliahkan kapal selam penyerang berkuasa diesel (SSK) kelas-Taigei pertama miliknya, yang buat julung-julung kalinya bakal dilengkapi dengan kemampuan untuk melakukan serangan terhadap pangkalan-pangkalan musuh.

Kapal selam yang diberikan nama “JS Taigei” (SS513) telah dibina oleh Mitsubishi Heavy Industries (MHI) dan akan beroperasi daripada di Pengkalan Laut Yokosuka serta berkhidmat dengan Escort Division 4 of Escort Flotilla 2.

Dengan 70 orang anak kapal, kapal selam “JS Taigei” yang dibina dengan kos US$690 juta (RM2.76 bilion) sepanjang 84 meter dan seberat 3,000 tan, bakal dilengkapi dengan sistem persenjataan yang bakal menggerunkan musuh-musuhnya seperti China dan Russia yang memiliki pertikaian tentang wilayah dengan Tokyo.

JS Taigei

Kapal selam kelas-Taigei itu akan dijana oleh enjin diesel yang memiliki 6,000 kuasa kuda, tetapi pada masa yang sama turut dilengkapi dengan bateri lithium-ion berbanding lead-asid bagi membolehkan ia berada di dalam lautan dengan lebih lama dan lebih senyap.

Dengan teknologi yang dimilikinya, kapal-kapal selam Jepun memang diakui sebagai di antara kapal selam yang paling senyap di dunia, menyukarkan musuh untuk mengesan kedudukannya. 

Cuma malangnya, akibat dasar yang melarangnya mengeksport sistem persenjataan mengakibatkan Tokyo tidak dapat menawarkan kapal-kapal selamnya yang “ultra senyap” itu kepada dunia luar.

Apa yang menarik tentang kapal selam “JS Taigei” ini adalah kerana Tentera Laut Jepun bercadang melengkapkannya dengan kemampuan untuk melakukan serangan terhadap pangkalan-pangkalan musuh, sesuatu yang dijangkakan berikutan tindakan-tindakan dianggap “provokasi” oleh tentera-tentera China dan Russia di perairan Laut China Timut (East China Sea) baru-baru ini.

Dengan kemampuan untuk melakukan serangan terhadap pangkalan-pangkalan musuh ini, ia secara langsung akan mengubah Tentera Laut Jepun daripada yang angkatan yang bersifat pertahanan sebagaimana termaktub di dalam perlembagaan negara itu kepada berkemampuan untuk melakukan tindakan offensif.

JS Taigei

Ia juga akan menimbulkan persoalan sama ada Jepun akan meninggalkan dasar Pacifist yang diamalkannya sejak kekalahan pada Perang Dunia Kedua kepada sebuah yang bersedia untuk melakukan serangan ketenteraan dalam usahanya untuk mempertahankan kepentingannya.

Sikap agresif tentera China dan Korea Utara merupakan sebab utama disebalik tindakan Jepun meninggalkan dasar Pacifist negara itu dan mula mengorak langkah untuk melengkapkan angkatan tenteranya dengan kemampuan menyerang musuh.

Ia mahu memiliki kemampuan untuk menyerang kedudukan musuhnya yang mengancam keselamatan negara Matahari Terbit itu sendiri.

JS Taigei

Bagi kapal selam “JS Taigei” itu, Jepun bercadang melengkapkannya dengan peluru berpandu anti-kapal UGM-84L Harpoon Block II yang mampu membedil aset-aset daratan pihak musuh atau kapal sejauh 248km.

Terdapat juga laporan yang mengatakan bahawa Jepun boleh melengkapkan kapal-kapal selam terbarunya itu dengan peluru berpandu kruis Tomahawk, yang semestinya akan menghangatkan lagi keadaan di antaranya dengan China dan Russia.

Selain peluru berpandu, kapal selam terbaru Jepun itu juga akan dilengkapi dengan torpedo terbaru dibangunkan oleh Jepun dikenali sebagai “Type 18”.

JS Taigei

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

Buat permulaan melengkapkan kapal selam itu dengan peluru berpandu Harpoon, tetapi di tahun-tahun mendatang apabila Jepun telah meninggalkan dasar Pacifist-nya itu, ia berkemungkinan akan melengkapkannnya dengan senjata-senjata menyerang yang lebih berkuasa dan jauh.

Keseluruhannya, Tokyo akan membina enam buah kapal selam kelas-Taigei dengan kapal selam kedua daripada kelas yang sama, Hakugei dijangka akan ditauliah dalam perkhidmatan pada tahun depan. — DSA

Comments
Loading...