Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Untuk Tangani China, Amerika Bina Kapal Selam Nuklear Untuk Australia

Dibawah pakatan keselamatan di antara Australia,United Kingdom dan Amerika Syarikat (AUKUS), Australia berharap ia dapat memperolehi lapan buah kapal selam berkuasa nuklear untuk tentera lautnya untuk berhadapan dengan peningkatan aktiviti ketenteraan China di Indo-Pasifik.

0 2,564

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Bagi memastikan sekutu utamanya, Australia mempunyai “kekuatan sendiri” untuk berhadapan dengan kapal-kapal selam berkuasa nuklear milik China di Indo-Pasifik, Amerika Syarikat dilaporkan hampir bersetuju untuk membina beberapa buah kapal selam berkuasa nuklear untuk Canberra.

Perbincangan bagi membolehkan Amerika Syarikat membina beberapa kapal selam berkuasa nuklear untuk Tentera Laut Australia sedang berlangsung hebat pada ketika ini, sebagaimana dilaporkan oleh Wall Street Journal yang memetik sumber daripada pegawai-pegawai.

Rancangannya adalah untuk membekalkan beberapa kapal selam berkuasa nuklear kepada Australia bagi membolehkan ia beroperasi pada pertengahan 2030-an.

USS Connecticut
Kapal selam berkuasa nuklear kelas-Seawolf “USS Connecticut” Amerika Syarikat

 

Pada ketika ini, Tentera Laut Australia hanya dilengkapi dengan kapal-kapal selam konvensional berkuasa diesel-elektrik yang mempunyai ketahanan dan kemampuan yang terhad berbanding kapal-kapal selam nuklear yang boleh berada di bawah permukaan air lebih lama.

Pada masa Australia cuba memiliki kapal selam berkuasa nuklear, China pula telah meningkatkan pembinaan kapal-kapal selam berkuasa nuklear bagi tentera lautnya yang berkemampuan membawa “berbelas-belas” peluru berpandu Inter-Continental Ballistic Missile (ICBM).

Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat dalam laporan “China Military Power” yang dikeluarkan pada awal tahun ini menyatakan bahawa China dipercayai mengoperasikan enam buah kapal selam berkuasa nuklear dengan kemampuan peluru berpandu ICBM dan enam buah kapal selam penyerang berkuasa nuklear (nuclear-powered attack submarines).

Disamping kapal-kapal selam berkuasa nuklear, China juga mengoperasikan 45 buah kapal selam berkuasa diesel-elektrik.

Selain kapal-kapal selam, Tentera Laut China juga diperkasa dengan kehadiran kira-kira 355 kapal tentera laut pelbagai jenis dan saiz.

Kapal Selam
Kapal selam berkuasa nuklear China.

 

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Australia yang juga merupakan negara anggota Five Power Defence Arrangement (FPDA) bersama-sama Malaysia, Singapura, Britain dan New Zealand telah meningkatkan peruntukan pertahannya ketika China meningkatkan aktiviti ketenteraannya di Indo-Pasifik.

Pesawat-pesawat pejuang generasi kelima Amerika Syarikat seperti F-35 dan F-22 Raptor juga telah meningkatkan kekerapan “persinggahan” mereka di Australia berikutan peningkatan kerjasama pertahanan di antara dua negara itu.

Dalam satu kenyataan berasingan sempena sambutan ulangtahun pertahanan pakatan keselamatan di antara Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat (AUKUS),  ketiga-tiga pemimpin negara berkenaan komited untuk memastikan Australia memperolehi kemampuan kapal selam berkuasa nuklear.

kapal selam
Krew sebuah kapal selam China.

 

“Kami komited untuk memastikan Australia memperolehi kapal selam berkuasa nuklear secepat mungkin,” menurut kenyataan itu.

AUKUS merupakan pakatan kerjasama keselamatan di antara ketiga-tiga negara bagi menangani ancaman ketenteraan daripada China di Indo-Pasifik termasuk cubaan Beijing untuk menguasai Laut China Selatan.

Dibawah pakatan keselamatan di antara ketiga-tiga negara itu, Australia berharap ia dapat memperolehi lapan buah kapal selam berkuasa nuklear untuk digunakan oleh tentera lautnya.

Memandangkan Britain tidak memiliki program pembinaan kapal selam berkuasa nuklear yang besar, maka Australia mengharapkan kapal selam nuklearnya akan datang daripada limbungan-limbungan kapal Amerika Syarikat.

Australia menaruh harapan yang tinggi untuk memperolehi kapal selam berkuasa nuklear daripada Amerika Syarikat, yang sedang cuba meningkatkan pegangan kapal selam nuklearnya kepada kira-kira 60 buah untuk bersaing dengan China dan Russia.

Kapal Selam
Kapal selam TLDM, KD Tun Razak (paling dekat) dengan kapal selam Tentera Laut Australia, HMAS Collins. (RMN Subs)

 

Bagaimanapun laporan kepada Kongres Amerika Syarikat beberapa bulan yang lepas menyatakan bahawa usaha Washington untuk meningkatkan pegangan kapal selam nuklearnya kepada 60 buah sedang bergelut dengan masalah.

Laporan kepada kongres itu menyatakan bahawa program pembinaan kapal selam Amerika Syarikat sedang bergelut dengan beberapa masalah seperti kekurangan alat ganti, kelewatan penyelenggaran bagi kapal-kapal selam nuklear sedia ada dan kebimbangan tentang kemampuan limbungan kapal negara itu untuk meningkatkan kapasitinya.

Kesemua masalah ini termasuk kelewatan akibat pandemik COVID-19 telah menyukarkan usaha Washington untuk meningkatkan pembinaan kapal-kapal selam nuklear untuk tentera lautnya.

Apps

JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE  SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE

 

Pemerhati pertahanan di Australia mempersoalkan, sekiranya Washington sendiri bergelut untuk memenuhi sasarannya sendiri untuk meningkatkan bilangan kapal selam nuklearnya, bagaimana pula ia mampu membekalkan Australia dengan kapal selam nuklear.

Laporan kepada Kongress itu menyatakan bahawa Tentera Laut Amerika Syarikat akan hanya mempunyai 46 buah kapal selam nuklear pada tahun 2028 dan bukan 60 buah sebagaimana yang disasarkan sebelum ini.

Washington hanya dijangka mampu mencapai sasaran pemilikan 60 buah kapal selam nuklear itu pada pertengahan tahun 2050-an. — DSA

Jom!!!! follow TwitterTelegramFacebook dan download Apps Defence Security Asia di Google Playstore

 

Comments
Loading...