Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kapal Selam Jepun Guna Bateri Lithium-Ion, Saingi China di LCS

0 754

(DEFENCE SECURITY ASIA) –  Jepun telah melancarkan kapal selam diesel-elektriknya yang terbaru, yang bakal menghangatkan lagi persaingan dasar laut Laut China Selatan di antara negara Matahari Terbit itu dengan China.

Pelancaran kapal selam diesel-elektrik Jepun itu juga akan meningkatkan bilangan keseluruhan kapal selamnya kepada 22 buah pada tahun 2020.

Kapal selam terbaru Jepun itu dinamakan “Taigei” yang bermaksud “Big Whale” atau “Ikan Paus Besar” mempunyai berat 3,000 tan telah dilancarkan di limbungan milik Mitsubishi Heavy Industries di Kobe dua hari lepas.

Kapal selam
Kapal selam diesel-elektrik “Taigei” tentera laut Jepun yang dilancarkan di limbungan kapal di Kobe pada Rabu. (gambar internet)

Ia direncanakan bakal menggantikan kapal selam “Oyasio”.

Panjang kapal selam diesel-elektrik terbaru Jepun ini  adalah 84 meter dan dilengkapi dengan bateri Lithium-Ion sebagai punca kuasanya (power source).

Jepun telah menjalankan kajian yang terperinci tentang penggunaan bateri Lithium-Ion untuk kapal-kapal selamnya sejak awal tahun 2000.

Negara itu mendapati penggunaan bateri Lithium-Ion itu memerlukan penyelenggaran yang minimal dan mampu bergerak dengan lebih laju serta lebih lama apabila berada di bawah permukaan air.

Ia juga akan menjadikan kapal selam Jepun lebih senyap dibawah permukaan air, menyukarkan lagi untuk dikesan oleh sonar kapal pihak musuh.

Setakat ini hanya Jepun menggunakan bateri Lithium-Ion pada kapal-kapal selamnya.

kapal selam
Kapal selam milik Tentera Laut Jepun. (gambar internet)

Kapal selam “Taigei” itu kini akan menjalani sea trials dan kerja-kerja pemasangan kelengkapan lain (fitting out) sebelum ia diterima masuk dalam perkhidmatan tentera laut Jepun pada 2022.

Kemasukkan kapal selam diesel-elektrik “Taigei” itu akan menjadikan bilangan keseluruhan armada kapal selam Jepun kepada 22 buah.

Negara itu bercadang membina dua buah lagi kapal selam diesel elektrik menggunakan bateri Lithium-Ion.

Tokyo merupakan antara sekutu rapat Amerika Syarikat dan usaha membesarkan angkatan kapal selam oleh Jepun ini sudah semestinya disambut baik oleh Washington, pada ketika China juga sedang aktif meningkatkan keupayaan maritim mereka.

Bagaimanapun Jepun hanya menggunakan kapal selam konvensional dalam tentera lautnya dan tidak mengoperasi sebarang kapal selam berkuasa nuclear.

Tokyo juga sedang membina kapal friget generasi terbarunya.

Pada ketika ini, China mengoperasikan kira-kira enam buah kapal selam berkuasa nuklear dan 50 buah kapal selam konvensional.

Sea Guardian
UAV “Sea Guardian” buatan syarikat General Atomics. (gambar internet)

Sementara itu, laporan media turut menyatakan tentera Jepun sedang menjalankan ujian terhadap terhadap UAV “Sea Guardian” di perairan berhampiran pulau Senkaku yang turut dituntut oleh China.

Penggunaan UAV itu amat tepat bagi memantau pencerobohan pulau Senkaku oleh kapal-kapal perang China.

UAV “Sea Guardian” buatan syarikat pertahanan Amerika Syarikat, General Atomics mampu terbang selama 40 jam tanpa henti dan setinggi 15,000 meter.

— DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...