Kapal Penyelidik Lautan China “Xiang Yang Hong 10” Di Perairan ZEE Malaysia?
Perkara itu dinyatakan oleh penyelidik @duandang yang turut menyertakan paparan tentang kehadiran kapal penyelidik lautan China itu daripada aplikasi Marine Traffic.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kapal penyelidik lautan China, “Xiang Yang Hong 10” kini dikatakan berada di perairan utara Gugusan Terumbu Raja Jarum (North Luconia Shoals) di dalam perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia.
Perkara itu dinyatakan oleh penyelidik @duandang yang turut menyertakan paparan tentang kehadiran kapal penyelidik lautan China itu daripada aplikasi Marine Traffic.
Setakat ini tiada maklumat berkenaan apa tujuan kedatangan kapal penyelidik lautan China ke perairan milik negara itu atau untuk tempoh berapa lama.
Gugusan Terumbu Raja Jarum atau North Luconia Shoals mengandungi Tripp Reef (Terumbu Lintong), Buck Reef (Terumbu Linggir) dan Aitken Reef (Terumbu Dato Landih).
Terumbu lain ialah Hardie Reef (Terumbu Asun), Hayes Reef (Terumbu Lang Ngindang), Moody Reef (Terumbu Permaisuri), Friendship Shoal (Beting Rentap) dan Seahorse Breakers (Hempasan Dang Ajar).
Kehadiran kapal penyelidik “Xiang Yang Hong 10” di perairan ZEE Malaysia itu berlaku tidak lama selepas 16 buah pesawat tentera China menceroboh Zon Maritim Malaysia pada 31 Mei lepas dan pencerobohan berterusan kapal-kapal pengawal pantai China di Beting Patinggi Ali (Luconia Shoals).
Beberapa hari lepas, Asia Maritime Transparency Institute (AMTI) dalam laporannya mendakwa kapal-kapal pengawal pantai China berada di perairan Beting Patinggi Ali untuk mengacau operasi oleh syarikat-syarikat tempatan untuk memasang peralatan di Lapangan Pembangunan Gas “Kasawari.”
Ok berbalik tentang kapal penyelidik China itu, kedatangan “Xiang Yang Hong 10” itu selalunya bukan berseorangan kerana secara rutinnya akan turut diiringi oleh kapal-kapal pengawal pantai China serta bot-bot dinaiki oleh anggota militia maritim negara itu.
Harap-harap kita juga letaklah aset-aset sama ada daripada APMM atau TLDM untuk perhati apa yang mereka lakukan di perairan kita itu.
Namun apa yang pasti kapal penyelidik China ini bukan “orang baru” dalam kerja-kerja penyelidikan laut kerana ia telah terlibat dengan pelbagai operasi penyelidikan di Lautan Hindi,Lautan Pasifik dan pelbagai lautan yang lain.
Pada tahun 2015, kapal “Xiang Yang Hong 10” dengan peralatan dipanggil “bathyscapes” (alatan untuk memeta dasar laut) telah menghabiskan masa selama beberapa bulan untuk melakukan kajian di Lautan Hindi terutamanya berkenaan sumber-sumber mineral di dasar laut.
Pada 2017, kapal itu dilaporkan kembali ke Lautan Hindi untuk melakukan lebih banyak kajian dan penyelidikan tentang mineral dasar laut.
Menurut pengkalan data daripada International Maritime Organisational (IMO), China memiliki 64 kapal penyelidik lautan yang berdaftar berbanding hanya 44 buah kapal oleh Amerika Syarikat dan Jepun sebanyak 23 buah.
Kapal Xiang Yang Hong 10 ini pun bukan “kecik-kecik anak punya kapal” kerana ia memiliki panjang 93 meter, berat 1,200 tan dan mampu membawa 24 anak kapal serta 44 orang saintis.
Comments are closed.