Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kapal-Kapal Perang Russia Berkunjung Ke Cuba Lagi, Bakal Cetuskan Ketegangan Dengan Amerika

Kapal-kapal Armada Baltik Tentera Laut Russia itu terdiri daripada friget “Neustrashimiy” (Fearless), kapal latihan “Smolniy” dan juga kapal bekalan bahan api “Yelnya” akan berada di ibu negara Cuba, Havana yang terletak 160km daripada Key West, Florida, yang menempatkan pangkalan kepada U.S Naval Air Station.

0 7,168

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kira-kira sebulan selepas kapal-kapal perang Russia termasuk kapal selam nuklearnya berkunjung ke Cuba yang mencetuskan ketegangan dengan Amerika Syarikat, beberapa buah kapal perang daripada Russia akan berada di negara Carribean itu sekali lagi pada hujung minggu ini.

Menurut laporan media, kapal friget Tentera Laut Russia “Neustrashimiy” (Fearless), kapal latihan “Smolniy” dan juga kapal bekalan minyak “Yelnya” akan berada di ibu negara Cuba, Havana bermula daripada esok sehingga 30 Julai.

Ketiga-tiga kapal Tentera Laut Russia itu bernaung di bawah Armada Baltik Tentera Laut Russia.

Ibu negara Cuba itu hanya terletak kira-kira 160km daripada Key West, Florida, yang merupakan pangkalan kepada U.S Naval Air Station.

Sudah pasti kunjungan sekumpulan kapal perang Tentera Laut Russia ke Cuba itu akan dipantau dengan rapi oleh Tentera Laut Amerika Syarikat, sebagaimana yang berlaku pada bulan lepas dimana Washington telah mengerahkan kapal-kapal perang, pesawat peronda maritim serta kapal selam nuklear miliknya untuk menjejaki (shadow) kapal-kapal perang Russia itu apabila ia belayar berhampiran dengan perairannya.

Kapal friget ““Neustrashimiy” Tentera Laut Russia itu memiliki berat 4,400 tan (penuh) dan dilengkapi dengan pelbagai jenis sistem persenjataan termasuk peluru berpandu anti-kapal, anti-pesawat serta torpedo anti-kapal selam.

Russia
Kapal friget Tentera Laut Russia “Neustrashimiy” (Fearless).

 

Pada pertengahan bulan lepas, kumpulan empat buah kapal Tentera Laut Russia itu terdiri daripada friget “Admiral Gorshkov”, kapal selam nuklear kelas-Yasen “Kazan”, kapal bekalan bahan api “Pashin” dan kapal tunda penyelamat (rescue tug boat) “Chiker” telah berkunjung ke Cuba.

Kunjungan kapal-kapal perang Russia itu telah menyebabkan ketegangan dengan Amerika Syarikat.

Kehadiran kapal-kapal Tentera Laut Russia berhampiran perairan Amerika Syarikat pada bulan lepas itu telah menyebabkan Washington “mengelabah”, menyebabkan Washington bertindak mengerah kapal-kapal perangnya dan pesawat ASW (Anti Submarine Warfare) untuk memantau pelayaran kapal-kapal perang Russia itu terutamanya kapal friget Admiral Gorshkov dan kapal selam “Kazan.”

Kapal-kapal perang Tentera Laut Russia termasuk sebuah kapal selam berkuasa nuklear itu sempat melakukan latihan serangan jarak jauh ketika berada tidak jauh daripada kawasan pesisir pantai Amerika Syarikat semasa dalam pelayaran menuju ke Cuba.

Kapal-kapal perang Russia itu dilaporkan hanya berada kira-kira 66 batu (106km) sahaja daripada kawasan pesisir pantai Florida, Amerika Syarikat ketika sedang belayar ke  Cuba.

Russia
Kapal latihan “Smolniy”

 

Ketika dalam pelayaran ke Cuba, kapal-kapal Tentera Laut Russia itu melaksanakan simulasi serangan jarak jauh terhadap sasaran tentera laut “musuh” yang terletak kira-kira 600km jauhnya.

Kapal friget “Admiral Gorshkov” dan kapal selam kelas-Yasen “Kazan” dilengkapi dengan peluru berpandu hypersonik “Tsirkon” yang bukan sahaja memiliki kelajuan Mach 10 tetapi juga berkeupayaan membedil sasaran sejauh lebih daripada 1,000km.

Selain peluru berpandu hypersonik “Tsirkon”, kedua-dua aset moden Russia itu juga dilengkapi dengan peluru berpandu kruis “Kalibr” dan “Oniks” yang boleh membedil sasaran-sasaran jarak jauh.

Pemerhati Open Source Intelligence (OSINT) dan data-data daripada aplikasi penjejakan penerbangan/pelayaran menunjukkan aset-aset laut dan udara Amerika serta Kanada menunjukkan mereka sedang “shadow” dan mengekori aset-aset tentera Russia itu, terutamanya kapal selam kelas-Yasen, “Kazan”.

Tentera Laut Amerika Syarikat dan Tentera Laut Kanada dilaporkan telah mengerah pesawat-pesawat anti-kapal selam mereka, P-8 Poseidon dan P-3 Orion untuk “shadow” kapal-kapal perang Russia itu terutamanya kapal selam kelas-Yasen “Kazan.”

Russia
Kapal friget “Admiral Gorshkov” di Cuba bulan lepas.

 

Turut sama dalam aktiviti “shadow”kapal-kapal perang Russia ketika mereka sedang menuju ke  Cuba itu adalah sebuah kapal pengawal pantai Amerika Syarikat CG Stone, dua buah kapal destroyer Tentera Laut Amerika Syarikat USS Truxtun dan USS Donald Cook serta sebuah kapal friget Tentera Laut Kanada HMCS Ville de Quebec.

“Bimbang” dengan kehadiran kapal-kapal perang Russia itu terutamanya kapal selam nuklear “Kazan”,  Washington turut mengerahkan kapal selam penyerang berkuasa nuklearnya, USS Helena (SSN-725)  ke pangkalan tentera negara itu di Guantanamo Bay yang terletak di selatan Cuba.

Menurut pemerhati, kerahan kapal selam penyerang berkuasa nuklear Amerika Syarikat itu, USS Helena ke Guantanamo Bay adalah sebagai “pertunjukkan kekuatan” (show of force) terhadap kedatangan empat buah kapal Tentera Laut Russia ke Cuba.

Kapal selam penyerang berkuasa nuklear USS Helena (SSN-725) adalah kapal selam kelas-Los Angeles dan telah ditauliahkan ke dalam perkhidmatan Tentera Laut Amerika Syarikat pada tahun 1987.

Yasen
Kapal selam nuklear kelas-Yasen “Kazan” di Cuba bulan lepas.

 

Memiliki berat lebih daripada 6,000 tan (full displacement), USS Helena memiliki panjang 110 meter.

Antara sistem persenjataan yang dibawanya adalah peluru berpandu kruis Tomahawk Block 3 yang berkemampuan membedil sasaran sejauh 3,100km dan peluru berpandu anti-kapal Harpoon yang boleh membedil sasaran sejauh 130km.

Selain itu kapal selam USS Helena juga dilengkapi dengan Mk48 ADCAP torpedo dan periuk-periuk api. — DSA

 

Comments
Loading...