Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Amerika Pula Kerah Kapal Selam Nuklear “USS Helena” ke Cuba. Pertunjukkan Kekuatan?

Kehadiran kapal selam penyerang berkuasa nuklear Amerika Syarikat itu, USS Helena (SSN-725) ke Guantanamo Bay di Cuba adalah sebagai “pertunjukkan kekuatan” (show of force) terhadap kedatangan empat buah kapal Tentera Laut Russia termasuk kapal figet "Admiral Gorshkov" dan kapal selam kelas-Yasen "Kazan" ke Cuba semalam.

0 5,475

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Keadaan semakin “panas” di kawasan perairan Carribean yang memisahkan Amerika Syarikat dan Cuba apabila Washington pula mengerahkan kapal selam penyerang berkuasa nuklearnya, USS Helena (SSN-725)  ke pangkalan tentera negara itu di Guantanamo Bay yang terletak di selatan Cuba.

Guantanamo Bay terletak di bahagian selatan Cuba tetapi telah “disewakan” kepada Amerika Syarikat sejak 1903 tanpa tarikh penamat.

Ia juga menempatkan Pusat Tahanan Guantanamo Bay yang digunakan oleh Amerika Syarikat untuk menahan tahanan keselamatannya termasuk anggota kumpulan pengganas Al-Qaeda dan Daesh termasuk beberapa rakyat Malaysia.

Kehadiran kapal selam penyerang berkuasa nuklear Amerika Syarikat itu, USS Helena ke Guantanamo Bay adalah sebagai “pertunjukkan kekuatan” (show of force) terhadap kedatangan empat buah kapal Tentera Laut Russia ke Cuba semalam.

Kumpulan empat buah kapal Tentera Laut Russia itu terdiri daripada friget “Admiral Gorshkov”, kapal selam kelas-Yasen “Kazan”, kapal bekalan bahan api “Pashin” dan kapal tunda penyelamat (rescue tug boat) “Chiker”.

Menurut kenyataan daripada U.S Southern Command, tentera Amerika Syarikat, kehadiran kapal selam berkuasa nuklear, USS Helena adalah ke pangkalan tentera Guantanamo Bay di Cuba adalah perkara “rutin” dan bukan sebagai reaksi terhadap kehadiran aset-aset Tentera Laut Russia itu.

Guantanamo
USS Helena

 

“USS Helena berada di Guantanamo Bay di Cuba sebagai sebahagian daripada kunjungan rutin semasa ia transit kawasan kawalan dan tanggunjawab U.S Southern Command semasa melaksanakan misi keselamatan global dan pertahanan kebangsaan.”

Ia adalah sesuatu yang jarang-jarang berlaku dimana pihak pemerintahan Amerika Syarikat mengumumkan lokasi kapal selam berkuasa nuklearnya.

Tindakan U.S Southern Command mengeluarkan kenyataan tentang kehadiran USS Helena di Guantanamo Bay, Cuba berkemungkinan besar untuk memberikan “signal” kepada Cuba dan juga Russia.

Kapal selam penyerang berkuasa nuklear USS Helena (SSN-725) adalah kapal selam kelas-Los Angeles dan telah ditauliahkan ke dalam perkhidmatan Tentera Laut Amerika Syarikat pada tahun 1987.

Memiliki berat lebih daripada 6,000 tan (full displacement), USS Helena memiliki panjang 110 meter.

Kapal selam berkuasa nuklear membawa 12 orang pegawai dan 98 orang anggota dan berkemampuan membawa pelbagai senjata.

Guantanamo
Kedudukan pangkalan tentera Amerika di Guantanamo Bay, Cuba

 

Antara sistem persenjataan yang dibawanya adalah peluru berpandu kruis Tomahawk Block 3 yang berkemampuan membedil sasaran sejauh 3,100km dan peluru berpandu anti-kapal Harpoon yang boleh membedil sasaran sejauh 130km.

Selain itu kapal selam USS Helena juga dilengkapi dengan Mk48 ADCAP torpedo dan periuk-periuk api.

Beberapa hari lalu, kapal-kapal Tentera Laut Russia termasuk sebuah kapal selam berkuasa nuklear sempat melakukan latihan serangan jarak jauh ketika berada tidak jauh daripada kawasan pesisir pantai Amerika Syarikat semasa dalam pelayaran menuju ke Cuba.

Menurut kenyataan daripada Kementerian Pertahanan Russia, kapal-kapal Tentera Laut Russia terbabit melaksanakan simulasi serangan jarak jauh terhadap sasaran tentera laut “musuh” yang terletak kira-kira 600km jauhnya.

Kapal friget “Admiral Gorshkov” dan kapal selam kelas-Yasen “Kazan” dilengkapi dengan peluru berpandu hypersonik “Tsirkon” yang bukan sahaja memiliki kelajuan Mach 10 tetapi juga berkeupayaan membedil sasaran sejauh lebih daripada 1,000km.

Russia
Kapal friget “Admiral Gorshkov”

 

Selain peluru berpandu hypersonik “Tsirkon”, kedua-dua aset moden Russia itu juga dilengkapi dengan peluru berpandu kruis “Kalibr” dan “Oniks” yang boleh membedil sasaran-sasaran jarak jauh.

Kementerian Pertahanan Russia turut mengeluarkan video menunjukkan kapal friget “Admiral Gorshkov” sedang melakukan latihan serangan jarak jauh itu di perairan yang tidak diketahui lokasinya, walaupun ramai pemerhati menyatakan ia tidak jauh daripada kawasan pesisiran pantai Amerika Syarikat.

Kapal-kapal perang Russia itu dikatakan berada hanya dilaporkan berada hanya kira-kira 66 batu (106km) daripada kawasan pesisir pantai Florida, Amerika Syarikat ketika ia dilaporkan sedang belayar ke Cuba.

Pemerhati Open Source Intelligence (OSINT) dan data-data daripada aplikasi penjejakan penerbangan/pelayaran menunjukkan aset-aset laut dan udara Amerika serta Kanada menunjukkan mereka sedang “shadow” dan mengekori aset-aset tentera Russia itu.

Tentera Laut Amerika Syarikat dan Tentera Laut Kanada dilaporkan telah mengerah pesawat-pesawat anti-kapal selam mereka, P-8 Poseidon dan P-3 Orion untuk “shadow” kapal-kapal perang Russia itu terutamanya kapal selam kelas-Yasen “Kazan.”

Russia
Kapal selam kelas- Yasen “Kazan”

 

Turut sama dalam aktiviti “shadow”kapal-kapal perang Russia ketika mereka sedang menuju ke Cuba itu adalah sebuah kapal pengawal pantai Amerika Syarikat CG Stone, dua buah kapal destroyer Tentera Laut Amerika Syarikat USS Truxtun dan USS Donald Cook serta sebuah kapal friget Tentera Laut Kanada HMCS Ville de Quebec.

Terdapat juga laporan mengatakan sebuah kapal friget kelas-La Fayette Tentera Laut Perancis terlibat dalam aktiviti “shadow” kapal-kapal perang Russia itu.

Kehadiran kapal-kapal Tentera Laut Russia berhampiran perairannya telah menyebabkan Washington “mengelabah”, menyebabkan mereka bertindak mengerah kapal-kapal perangnya dan pesawat ASW (Anti Submarine Warfare) untuk memantau pelayaran kapal-kapal perang Russia itu terutamanya kapal friget Admiral Gorshkov dan kapal selam “Kazan.”

Kerajaan Cuba juga menjelaskan bahawa kapal-kapal perang Russia itu akan berada di negara Amerika Tengah yang bersempadan dengan Amerika Syarikat daripada 12 hingga 17 Jun dan tiada satu daripada kapal perang Russia itu akan membawa senjata nuklear.

“Kapal-kapal Russia itu tidak akan memberikan sebarang ancaman kepada rantau,” kata kerajaan Cuba dalam satu kenyataan.

Florida
Amerika Syarikat menghantar aset-asetnya untuk “shadow” kumpulan kapal-kapal tentera laut Russia

 

Walaupun kehadiran kapal-kapal perang Russia di Cuba itu diperakui sebagai suatu perkembangan, tetapi pegawai-pegawai Amerika Syarikat menyatakan bahawa ia tidak mengusarkan mereka daripada segi keselamatan.

Kehadiran kapal-kapal perang Russia di Cuba itu berlaku ketika Presiden Vladimir Putin menyatakan bahawa negaranya akan mengambil langkah-langkah tidak simetri (asymmetrical) di seluruh dunia sebagai tindak balas terhadap langkah Amerika Syarikat membenarkan Ukraine menggunakan senjata-senjata yang dibekalkannya untuk menyerang Russia. — DSA

 

Comments
Loading...