Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kapal-Kapal Perang Malaysia, Jepun Adakan Latihan Bersama di Laut China Selatan

Kenyataan oleh Kementerian Pertahanan Jepun menyatakan bahawa , latihan bersama di antara Japan Maritim Self Defense Force dan Tentera Laut Diraja Malaysia itu  adalah bagi mengukuhkan lagi kerjasama di antara kedua-dua tentera laut untuk merealisasikan Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka. (Free and Open Indo-Pacific)

0 3,439

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kapal-kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Japan Maritime Self Defense Force (JMSDF) telah mengadakan latihan bersama di perairan Laut China Selatan pada 2 hingga 5 April yang lalu.

Latihan yang melibatkan kapal destroyer kelas-Murasame “JS Akebono” milik JMSDF dan kapal-kapal peronda generasi baru TLDM, KD Keris dan KD Selangor yang berpangkalan di Pangkalan Laut Kota Kinabalu.

“Malaysia adalah hab strategik berhadapan dengan Lautan Hindi dan berkongsi cabaran yang sama penggunaan lautan dan adalah rakan utama dalam mencapai #FreeOpenIndoPacific,” menurut kenyataan media sosial JMSDF.

Sementara itu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan Jepun, latihan bersama di antara JMSDF dan TLDM itu  adalah bagi mengukuhkan lagi kerjasama di antara kedua-dua tentera laut untuk merealisasikan Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka. (Free and Open Indo-Pacific)

Slogan Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka kerapkali dilaungkan oleh Amerika Syarikat dan sekutunya untuk membantah tindakan agresif China mendakwa sebahagian besar daripada Laut China Selatan yang amat penting untuk perdagangan dunia itu sebagai miliknya.

Jepun
(JMSDF)

 

Beijing turut menduduki secara haram ciri-ciri maritim termasuk batuan (rocks), atoll dan lain-lain di perairan Laut China Selatan dan mendakwa kepunyaannya serta bertindak menambaknya dan menjadikannya pulau yang lengkap untuk menempatkan aset-aset ketenteraannya.

Dalam kenyataan itu lagi, Kementerian Pertahanan Jepun menyatakan bahawa objektif latihan bersama itu adalah untuk meningkatkan kemampuan taktikal JMSDF dan menguatkan lagi kerjasama dengan TLDM.

Latihan bersama itu terbahagi kepada dua fasa iaitu Fasa Pelabuhan (Harbor Phase) bermula pada 2 hingga 5 dan Fasa Lautan (Sea Phase) pada 5 April.

Lokasi latihan adalah di sekitar Pelabuhan Kota Kinabalu dan kawasan pesisiran pantai Sabah di Laut China Selatan.

Ketika di Fasa Pelabuhan, antara latihan yang dijalankan adalah serbuan dan rampasan manakala pada Fasa Lautan pula antara latihan melibatkan pergerakan taktikal (tactical Maneuvering), latihan komunikasi dan PHOTOEX.

Jepun
(JMSDF)

 

Kapal perang Jepun itu meninggalkan Sabah sebaik sahaja ia selesai menjalani latihan bersama dengan TLDM, dipercayai menuju ke Filipina.

Kapal destroyer kelas-Murasame “JS Akebono” itu telah dibina pada tahun 1999 oleh Ishikawajima-Harima Heavy Industries (IHI) dan ditauliahkan ke dalam JMSDF pada tahun 2022.

Ia berpengkalan di Kure, Hiroshima.

Dengan berat di antara 4,500 tan dan 6,200 tan, kapal perang JS Akebono itu membawa 165 krew kapal.

Ia dilengkapi dengan pelbagai kelengkapan persenjataan termasuk meriam 76mm, meriam 20mm, peluru berpandu anti-kapal SSM-1B, torpedo 324mm, sistem pertahanan udara Evolved Sea Sparrow Missile (ESSM).

JS Akebono juga membawa sebuah helikopter anti-kapal selam SH-60.

Jepun
JS Akebono

 

KD Keris adalah kapal Littoral Mission Ship (LMS) Batch 1 dan adalah salah sebuah daripada empat buah kapal peronda yang dibina secara bersama antara  antara Boustead Naval Shipyard (BNS) dan China Shipbuilding and Offshore Corporation (CSOC) di Wuchang Shipyard di Qidong, China dalam kontrak perolehan yang melebihi RM1 billion.

Ia hanya miliki berat 700 tan dan panjang 70 meter.

Kapal KD Selangor pula adalah salah sebuah daripada enam buah kapal peronda generasi baru daripada kelas-Kedah.

Selain KD Selangor, kapal-kapal lain di dalam kelasnya adalah KD Kedah, KD Pahang, KD Perak, KD Terengganu dan KD Kelantan. — DSA

Iklan

 

Comments
Loading...