Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Dron FPV Semakin Mengancam, Russia Lengkapi Kereta Kebalnya Dengan Sistem EW

Berikutan peranan yang dimainkan oleh dron-dron FPV (First Person View) yang semakin mengancam, pihak tentera Russia telah melengkapkan kereta-kereta kebal mereka termasuk T-72 dan T-90 dengan sistem peperangan elektronik (EW) bagi menangani serangan oleh dron FPV ini.

0 9,166

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Dalam konflik Russia dan Ukraine, peranan yang dimainkan oleh dron-dron kecil FPV (First Person View) yang dilengkapi dengan bahan letupan adalah semakin penting sebagai senjata membedil kubu-kubu pertahanan dan aset tentera yang lain termasuk kereta perisai dan kereta kebal.

Berikutan peranan yang dimainkan oleh dron-dron FPV yang semakin mengancam, pihak tentera Russia telah melengkapkan kereta-kereta kebal mereka termasuk T-72 dan T-90 dengan sistem peperangan elektronik (EW) bagi menangani serangan oleh dron FPV ini.

Beberapa hari lalu, saluran-saluran telegram Russia yang rapat dengan tentera negara itu telah mengeluarkan gambar-gambar yang menunjukkan bagaimana kereta kebal T-72 Russia telah menjalani pengubahsuaian yang mendadak bagi membolehkan ia dilengkapi dengan sistem EW.

Kereta kebal itu bukan sahaja dilengkapi dengan “cope cage” bagi melindunginya daripada serangan dron-dron FPV, tetapi ia juga dilengkapi dengan pelbagai antenna dan kelengkapan yang menunjukkan ia memiliki sistem EW yang bersepadu.

Kereta-kereta kebal dilengkapi dengan sistem EW yang bersepadu ini bukan sekadar masih duji oleh pakar-pakar pertahanan Russia tetapi ia telah dikerahkan ke medan peperangan untuk berhadapan dengan ancaman sebenar.

Russia
Sistem EW “Volnorez”

 

Selain kereta kebal T-72, kereta-kereta kebal T-90 Russia juga dilaporkan telah dilengkapi dengan sistem EW yang bersepadu.

Walaupun pada ketika ini tidak dapat dipastikan jenis sistem EW yang digunakan oleh kereta-kereta kebal T-72 dan T-90,namun pemerhati tentera Russia menyatakan bahawa rekabentuk sistem EW itu adalah hampir sama dengan Sistem EW “Triton” yang pernah diuji oleh negara itu tahun lepas.

Jika benar ia adalah Sistem EW “Triton”, maka ujian yang dijalankan pada tahun lepas itu nampak telah berjaya dan kini ia telah dikerahkan ke medan peperangan yang sebenar.

Menurut pemerhati tentera Russia, Sistem EW “Triton” menggunakan empat buah emitter yang setiap sudut penjuru kereta kebal itu, bertujuan melindungi kereta kebal itu daripada serangan FPV daripada setiap sudut.

Ia melindungi kereta kebal menerusi kaedah menganggu frekuensi utama digunakan oleh pengendali FPV tersebut.

Russia
Dron-dron FPV dengan bahan letupan.

Russia

Selain Sistem EW “Triton”, aset-aset tentera Russia juga dikenalpasti telah menggunakan sistem EW “Volnorez”  bagi melindungi aset itu daripada serangan dron-dron FPV yang semakin banyak digunakan oleh kedua-dua tentera Russia dan Ukraine, selain daripada dron berani mati.

Sebagaimana Sistem EW “Triton”, Sistem EW “Volnorez” juga menganggu frekuensi yang dipancar oleh pengendali dron FPV itu sehingga menyebabkan ia kehilangan signal untuk membedil kereta kebal itu.

Bahan letupan yang dibawa oleh dron-dron FPV juga semakin berkuasa dan kini ia sudah boleh membedil dan memusnahkan kereta-kereta kebal utama seperti T-72 dan T-90 sehingga menyebabkan Russia berusaha untuk melengkapkan kereta kebalnya dengan Sistem EW khusus untuk menangani dron FPV.

Pada ketika ini, kebanyakkan FPV yang digunakan oleh Ukraine dan Russia menggunakan peluru PG-7V yang digunakan oleh Rocket Propelled Grenade (RPG) sebagai bahan letupan mereka untuk membedil bahagian atas kereta kebal dan kereta perisai. — DSA

Iklan

 

Comments
Loading...