Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Pemimpin Tentera, Politik Iran Kini Dilapor Berlindung di Pangkalan Tentera Bawah Tanah “Eagle 44”

Media antarabangsa berspekulasi bahawa pemimpin politik dan tentera Iran itu meninggalkan Teheran untuk berlindung di sebuah pangkalan tentera bawah tanah yang besar dan canggih dipercayai terletak di tidak jauh daripada Isfahan yang dinamakan “Eagle 44" (Oghab 44).

0 1,842

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pemimpin-pemimpin politik dan tentera Iran dilaporkan mula meninggalkan ibu negara, Teheran menuju ke bandar ketiga terbesar negara itu, Isfahan ketika negara Parsi itu dikatakan sedang melakukan persiapan akhir sebelum melancarkan serangan balas besar-besaran melibatkan penggunaan peluru berpandu ballistik dan dron berani mati terhadap Israel.

Isfahan terletak di selatan Teheran atau kira-kira 440km di selatan ibu negara Iran.

Media antarabangsa berspekulasi bahawa pemimpin politik dan tentera Iran itu meninggalkan Teheran untuk berlindung di sebuah pangkalan tentera bawah tanah yang besar dan canggih dipercayai terletak di tidak jauh daripada Isfahan yang dinamakan “Eagle 44″ (Oghab 44).

Walaupun laporan mengatakan Eagle 44 itu terletak tidak jauh daripada Isfahan, namun terdapat juga laporan risikan mengatakan pangkalan tentera bawah tanah itu terletak di kawasan bergunung-ganang wilayah Hormozgan di selatan Iran.

Mereka dipercayai bertindak demikian sebelum Iran melancarkan serangan besar-besaran terhadap Israel sebagai tindak balas terhadap serangan udara pesawat pejuang negara Yahudi ke atas bangunan kedutaan Iran di Damsyik baru-baru ini.

Iran
Pangkalan udara bawah tanah Iran “Eagle 44”

 

Serangan udara Israel itu mengorbankan tujuh pegawai tentera Iran termasuk tiga orang berpangkat Jeneral.

Tiga Jeneral Iran yang terbunuh dalam serangan udara Israel di Damsyik itu adalah Brigadier Jeneral Mohammad Reza  Zahedi yang memimpin Angkatan Quds (Quds Force) di Syria dan Lubnan, salah satu cabang di bawah kawalan Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC – Iran Revolutionary Guard Corps).

Beliau adalah pegawai tentera paling kanan Iran yang terbunuh dalam konflik di Timur Tengah selepas pembunuhan Panglima Angkatan Quds, Mejar Jeneral Qasem Soleimani oleh Amerika Syarikat di Lapangan Terbang Antarabangsa Baghdad empat tahun lepas.

Mohamad Reza adalah orang yang bertanggungjawab mengatur segala operasi tentera Iran dan kumpulan-kumpulan bersenjata yang bersekutunya dengannya di Syria dan Lubnan.

Jeneral kedua Iran yang disahkan terbunuh dikenalpasti sebagai Brigadier Jeneral Mohammad Mehdi Rahimi yang merupakan rakan rapat kepada Mohammad Reza dan timbalan kepada beliau dalam Angkatan Quds di Syria dan Lubnan.

Selain Mohamad Reza dan Mohammad Mehdi, , seorang lagi jeneral Iran dikenalpasti terbunuh dalam serangan udara Israel itu dikenalpasti sebagai Brigadier Jeneral Hossein Aminollah yang merupakan Ketua Staf Angkatan Quds di Syria dan Lubnan.

Eagle 44
“Eagle 44”.

 

Pangkalan tentera bawah tanah Iran dinamakan “Eagle 44” itu dilaporkan berkemampuan menahan serangan peluru-peluru berpandu ballistik dan bom berkuasa tinggi pihak musuh negara itu, sekaligus menjadikannya lokasi pilihan untuk pemimpin politik dan tentera Iran untuk berlindung.

Pihak berkuasa Iran dikatakan mengambil masa selama sembilan tahun bermula pada tahun 2014 untuk menyiapkan pembinaan pangkalan tentera bawah tanah “Eagle 44”.

“Ia adalah salah satu pangkalan tentera udara Iran yang paling penting, menempatkan pesawat-pesawat pejuang, peluru berpandu kruis jarak jauh dan dibina jauh di dalam perut bumi,” menurut pegawai tentera Iran kepada media negara itu.

Selain menempatkan pesawat-pesawat pejuang, peluru berpandu jarak jauh, pangkalan tentera bawah tanah “Eagle 44” itu turut menempatkan pusat pemerintahan tentera, kemudahan penyelenggaran pesawat dan pelbagai kemudahan lain.

Pada Februari tahun lepas, tentera Iran telah mendedahkan kepada media pangkalan udara bawah tanahnya yang pertama, dikenali dengan nama “Eagle 44” (Oghab 44) yang dibina untuk menempatkan pesawat-pesawat pejuangnya serta dron-dron tercanggih miliknya. 

Iran
Spekluasi kedudukan “Eagle 44”

 

“Apa-apa serangan terhadap Iran daripada musuhnya termasuk Israel, akan menerima respons daripada banyak pangkalan udara tentera udara kami termasuk ‘Eagle 44’ ,” kata Ketua Staf Angkatan Tentera Iran Jeneral Mohamed Bagheri kepada agensi berita negara itu, IRNA.

IRNA menyatakan bahawa “Eagle 44” merupakan antara kemudahan tentera paling penting Iran dan bakal digunakan untuk menempatkan pesawat pejuang yang dilengkapkan dengan peluru berpandu kruis jarak jauh.

 Walaupun kedudukan pangkalan udara bawah tanah Iran amat dirahsiakan, tetapi media-media tempatan menyatakan bahawa lokasinya terletak “beratus-ratus meter di bawah pergunungan dan berkemampuan menahan serangan bom yang pesawat-pesawat pengebom Amerika Syarikat.” — DSA

Iklan

Comments
Loading...