Pesawat Generasi 4.5 “KF-21” Nyalakan Enjin Buat Pertama Kali
KAI merancang untuk membekalkan 40 buah KF-21 Block 1 yang direkabentuk untuk misi udara-ke-udara pada tahun 2028, diikuti oleh 80 buah pesawat Block 2 itu untuk misi udara-ke-darat pada tahun 2032 untuk menggantikan pesawat-pesawat F-5E/F dan F-16 Tentera Udara Korea Selatan.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Enjin pesawat generasi 4.5 buatan Korea Selatan, KF-21 dinyalakan buat pertama kali pada Ahad (27 Jun) dalam ujian daratan (ground test) terbaru sebelum ia melakukan penerbangan sulungnya yang dijangkakan berlaku pada akhir bulan depan.
Pesawat terbabit menggunakan enjin F414 yang dibangunkan oleh firma General Electric. Pesawat KF-21 itu memiliki dua enjin.
Enjin F414 juga digunakan oleh pesawat-pesawat F/A-18 Hornet, Tejas MkII dan Gripen NG.

Sehingga kini media tempatan Korea Selatan melaporkan bahawa pesawat pejuang terbabit telah melaksanakan lebih daripada 90 peratus ujian daratan yang diperlukan sebelum melakukan penerbangan sulungnya.
Ujian terhadap enjin yang merupakan salah satu ujian darat yang paling penting itu adalah untuk memastikan kuasa yang dihasilkan adalah sama seperti didakwa oleh syarikat pembuat enjin.
Syarikat aeroangkasa Korea Selatan, Korea Aerospace Industries (KAI) mengambil masa selama 11 tahun untuk membangunkan pesawat prototaip KF-21 itu.
KAI telah membina empat buah pesawat prototaip satu tempat duduk dan dua pesawat protaip dua tempat duduk KF-21 bagi ujian penerbangannya.
Seorang juruterbang Tentera Udara Korea Selatan berpangkat Mejar telah diberikan kepercayaan untuk melakukan penerbangan sulung pesawat KF-21 pada akhir bulan depan itu.
Selepas melakukan penerbangan sulungnya pada akhir bulan depan itu, pesawat KF-21 akan meneruskan ujian penerbangan sehingga tahun 2026.
KAI merancang untuk membekalkan 40 buah KF-21 Block 1 yang direkabentuk untuk misi udara-ke-udara pada tahun 2028, diikuti oleh 80 buah pesawat Block 2 itu untuk misi udara-ke-darat pada tahun 2032 untuk menggantikan pesawat-pesawat F-5E/F dan F-16 Tentera Udara Korea Selatan.
Comments are closed.