Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Turkiye Terdesak “Cari Wang” Teruskan Pembangunan Pesawat Pejuang Gen-5 “KAAN”?

Penglibatan beberapa negara dalam program pembangunan pesawat pejuang generasi kelima Turkiye dinamakan, “KAAN” bertujuan meringankan beban kewangan yang terpaksa ditanggung oleh Turkiye untuk membangunkan pesawat pejuang generasi kelima itu.

3,693

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Turkiye dilihat semakin “terdesak” mencari rakan kerjasama untuk sama-sama berkongsi kos membangunkan pesawat pejuang generasi kelimanya, “KAAN’ (dahulu dikenali sebagai TF-X), ketika pertumbuhan ekonomi negara Mediterranean itu semakin perlahan manakala inflasi pula melambung tinggi.

Penganalisis dipetik oleh portal pertahanan antarabangsa, Defense News berkata, masalah ekonomi semakin meruncing Turkiye berpotensi menjadi batu penghalang kepada kejayaan program pembangunan pesawat pejuang gen-5 “KAAN” itu.

Turkish Aerospace Industries (TAI) merupakan kontraktor utama bagi program pembangunan pesawat generasi kelima “KAAN” itu.

KAAN
Pesawat pejuang generasi kelima negara Islam yang pertama “KAAN”?

 

Agensi berita antarabangsa, Reuters pada 31 Ogos lalu menyatakan bahawa ekonomi Turkiye dijangka akan hanya berkembang sebanyak 2.9 peratus sahaja pada tahun ini manakala kadar inflasi pada Julai adalah pada 47 peratus.

Kadar inflasi di Turkiye pada Ogos dijangka terus meningkat kepada 55 peratus manakala hutang luar negara itu mencecah US$476 bilion (RM2.14 trillion) pada Mac lalu.

Seorang penganalisis pertahanan berpangkalan di Ankara, Ozgur Eksi memberitahu Defense News bahawa program pembangunan pesawat pejuang itu dijangka akan berhadapan dengan masalah, selari dengan masalah ekonomi dihadapi Turkiye.

“Tidak dapat dielakkan, program pembangunan pesawat KAAN itu akan berhadapan dengan masalah, selari dengan masalah ekonomi yang sedang dihadapi oleh Turkiye,” kata beliau.

Penglibatan beberapa negara dalam program pembangunan pesawat pejuang generasi kelima “KAAN” bertujuan meringankan beban kewangan ditanggung Turkiye untuk membangunkan pesawat pejuang itu.

Beberapa bulan lepas, Azerbaijan menjadi negara pertama menandatangani perjanjian dengan Turkiye untuk menjadi rakan kerjasama pembangunan pesawat pejuang “KAAN” manakala rundingan juga sedang dijalankan dengan Pakistan untuk tujuan yang sama.

KAAN

Terdapat laporan juga menyatakan bahawa usaha sedang dilakukan untuk menjadikan Arab Saudi sebagai rakan kerjasama dalam program pembangunan pesawat pejuang itu.

Riyadh sememangnya berminat untuk memperolehi pesawat pejuang generasi kelima untuk tentera udaranya selepas percubaannya untuk mendapatkan F-35 yang dibangunkan oleh Amerika Syarikat “tidak dilayan” oleh negara Uncle Sam itu.

Pada tahun lepas, Ketua Pegawai Ekesekutif TAI Prof Temel Kotil turut menawarkan kepada Malaysia untuk terlibat sama dalam program pembangunan pesawat pejuang itu.

Penganalisis pertahanan berpangkalan di Tbilisi, Georgia Eugene Kogan memberitahu Defense News bahawa sudah pasti Azerbaijan yang “mempunyai wang” berkemampuan untuk membantu program itu daripada sudut kewangan.

Sebagai negara pengeksport minyak, Azerbaijan tidak mempunyai masalah untuk menyumbang dana terhadap program pembangunan pesawat pejuang “KAAN” itu.

Bagaimanapun, beliau tidak pasti sama ada Pakistan berkemampuan menyumbang daripada segi kewangan kepada program itu, memandangkan negara Asia Selatan itu sendiri sedang bergelumang dengan masalah ekonomi yang amat serius.

KAAN

Pakistan dilapor sedang berunding dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk mendapatkan pinjaman daripada IMF bagi membolehkannya menangani masalah ekonominya.

“Bagi Pakistan, saya tidak pasti apakah sumbangannya. Sudah tentu bukan wang. Teknologi? Lebih banyak persoalan daripada jawapan,” kata beliau.

“KAAN” dijadual melakukan penerbangan sulungnya pada Disember tahun ini.

Menjelang tahun 2028, TAI dijangka mengeluarkan dua buah pesawat pejuang KAAN setiap bulan, menjana perolehan kira-kira US$2.4 bilion (RM9.6 bilion) setiap tahun.

“KAAN” bakal menggantikan lebih daripada 200 buah pesawat pejuang F-16 milik Tentera Udara Turkiye.

Turkiye mempergiatkan usaha membangunkan pesawat pejuang generasi kelimanya, selepas ia dikeluarkan daripada program F-35 selepas ia bertindak membeli sistem pertahanan udara S-400 buatan Russia.

“KAAN” sebelum ini hanya dikenali sebagai TF-X atau Milli Muharip Ucak (National Combat Aircraft -MMU).

TAI menganggarkan harga pesawat pejuang generasi kelima “KAAN” itu adalah melebihi US$100 juta (RM450 juta) setiap sebuah. — DSA

Donlod

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: [email protected]

 

 

Comments are closed.