Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Tentera Amerika, Israel Laksana Latihan “Juniper Oak 2023”, Persediaan Serang Iran?

Walaupun pegawai tentera Amerika Syarikat menafikan bahawa latihan tentera besar-besaran "Juniper Oak 2023" di antara negara itu dengan Israel adalah persediaan melancarkan serangan terhadap kemudahan nuklear Iran, namun “menasihatkan” Teheran supaya memberikan perhatian terhadap “Juniper Oak 2023” itu.

1,886

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sejak beberapa hari lepas, ribuan anggota tentera Amerika Syarikat dan Israel telah memulakan latihan tentera “Juniper Oak 2023” yang dikatakan adalah latihan tentera terbesar pernah dilaksanakan oleh kedua-dua negara.

Menurut pegawai-pegawai kanan tentera Amerika Syarikat, latihan tentera yang diadakan di Israel dan timur Laut Mediterranean itu bertujuan memberikan mesej kepada Iran, Russia serta China.

Mesej yang mahu disampaikan kepada “musuh-musuhnya” adalah Amerika Syarikat berkemampuan untuk mengerah ketumbukan besar anggota tentera serta aset-asetnya ke mana-mana sahaja walaupun ia berhadapan dengan pelbagai isu dunia seperti konflik Russia-Ukraine.

Juniper Oak
“Juniper Oak 2023” (CENTCOM)

 

Terdapat penganalisis yang mendakwa bahawa latihan tentera “Juniper Oak 2023” itu merupakan persediaan tentera Amerika Syarikat dan Israel untuk melancarkan serangan terhadap Iran.

Walaupun pegawai tentera Amerika Syarikat menafikan bahawa latihan tentera besar-besar di antara negara itu dengan Israel adalah persediaan untuk melancarkan serangan terhadap kemudahan nuklear Iran, namun “menasihatkan” Teheran supaya memberikan perhatian terhadap “Juniper Oak 2023” itu.

Latihan tentera “Juniper Oak 2023” itu melibatkan sejumlah 142 buah pesawat tentera daripada kedua-dua negara terdiri daripada pesawat pejuang pelbagai jenis termasuk F-35, pesawat pengebom seperti B-52, helikopter bersenjata, pesawat pengisi minyak dan lain-lain lagi.

Juniper Oak
“Juniper Oak 2023” (CENTCOM)

 

Sejumlah 12 buah kapal perang serta kapal-kapal selam dan aset-aset daratan seperti sistem pelancar roket berganda turut mengambil bahagian dalam latihan ketenteraan itu.

Kapal pengangkut pesawat Amerika Syarikat USS George W.Bush dan beberapa kapal selam berkuasa nuklear negara itu turut terlibat dalam latihan tentera itu.

“Latihan tentera Juniper Oak 2023 adalah latihan tentera pelbagai domain yang memperbaiki aspek interoperability di daratan, udara, lautan, angkasa lepas dana lam siber dengan rakan-rakan, sekaligus meningkatkan kemampuan untuk bertindak balas terhadap kecemasan, selain menekankan lagi komitmen kepada rantau Timur Tengah,” kata komander Central Command (CENTCOM) tentera Amerika Syarikat, Jeneral Michael “Erik” Kurilla dalam satu kenyataan.

Juniper Oak
“Juniper Oak 2023” (CENTCOM)

 

Latihan tentera “Juniper Oak 2023” berlaku ketika Amerika Syarikat dilihat mengalihkan fokusnya daripada Timur Tengah dan Asia Tengah ke kawasan-kawasan lain di dunia.

Strategi Pertahanan Kebangsaan Amerika Syarikat mengenalpasti China sebagai cabaran yang perlu dihadapinya pada masa depan dan berhadapan dengan Russia pada masa yang sama.

Peralihan fokus tentera Amerika Syarikat daripada Timur Tengah dan Asia Tengah sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah menyaksikan kuasa besar itu mengurangkan bilangan tenteranya di rantau terbabit.

Juniper Oak
“Juniper Oak 2023” (CENTCOM)

 

Pada ketika ini, Amerika Syarikat masih mengekalkan kira-kira 35,000 anggota tenteranya di Timur Tengah dan Asia Tengah.

Bilangan itu jauh berkurangan berbanding 200,000 anggota tentera Amerika Syarikat ditempatkan di Iraq dan Afghanistan dan beberapa lokasi lain di rantau terbabit kira-kira 15 tahun yang lalu.

Latihan Juniper Oak 2023 bertujuan menunjukkan kemampuan Amerika Syarikat mengerah sejumlah besar anggota dan aset-aset tenteranya ke rantau-rantau tertentu dalam tempoh yang singkat. — DSA

apps

JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE  SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE

 

 

 

Comments are closed.