Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

(VIDEO) Jom Saksikan Russia Gugur Bom FAB-3000 Seberat Tiga Tan Buat Pertama Kali

(VIDEO) Beberapa bulan lalu, pihak tentera Russia dilaporkan telah memulakan semula pengeluaran besar-besaran (mass production) bom seberat 3 tan FAB-3000 yang dilengkapi dengan bahan peledak  Trinitrotoluene (TNT) seberat 1.4 tan.

0 23,685

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Buat pertama kali dalam konflik di antara Russia dan Ukraine, pesawat pengebom Russia telah mengugurkan bom seberat tiga tan dipanggil FAB-3000 yang dilengkapi dengan kit panduan UMPK ke atas sasaran di Ukraine.

Media-media sosial Russia telah menyiarkan video bedilan bom seberat tiga tan itu terhadap sasaran di Kharkiv di Ukraine.

Walaupun bom seberat 3 tan yang dilengkapi dengan kit panduan UMPK itu tersasar kira-kira 15 meter daripada sasarannya tetapi ia tetap menyebabkan kemusnahan yang besar terhadap bangunan yang menjadi sasaran itu.

Beberapa bulan lalu, pihak tentera Russia dilaporkan telah memulakan semula pengeluaran besar-besaran (mass production) bom seberat 3 tan FAB-3000 yang dilengkapi dengan bahan peledak  Trinitrotoluene (TNT) seberat 1.4 tan.

Russia atau Kesatuan Soviet mula membina bom-bom FAB-3000 itu pada Perang Dunia Kedua.

Radius letupan daripada bom FAB-3000 adalah kira-kira 900 meter yang boleh menyebabkan kemusnahan besar-besar terhadap sasarannya, sama ada bangunan atau pangkalan-pangkalan tentera.

Walaupun bom-bom daripada keluarga FAB itu diperbuat tanpa sebarang sistem panduan, namun ia dilengkapi dengan kit Universal Module for Planning and Correction (UMPC) atau Unifitsirovannyi Modul Planirovaniya i Korrektsii (UMPK) bagi menjadikannya bom-bom berpanduan atau bom pintar.

Konsep UMPC atau UMPK ini adalah sama dengan kit-kit JDAM buatan pihak tentera Amerika Syarikat yang menukar bom-bom bodoh kepada bom pintar.

Selain meningkatkan lagi “kepandaian” bom-bom bodoh selepas dilengkapkan dengan kit UMPC/UMPK, ia juga meningkatkan jarak bedilannya kerana ia juga dilengkapi dengan “sayap” bagi membolehkan ia meluncur lebih jauh sebaik sahaja digugurkan oleh pesawat.

Bom-bom yang dilengkapi dengan kit UMPC/UMPK beserta sayap/glider boleh membedil sasaran sejauh 80km.

Bom-bom dilengkapi dengan kit UMPC/UMPK disifatkan sebagai kalis sistem pertahanan udara kerana ia tidak menghasilkan sebarang signal elektromagnetik radio atau radar atau haba daripada enjin yang boleh dikesan oleh pengesan Infra Red (IR) sistem pertahanan udara itu.

Pada ketika ini, tentera Russia telah banyak menggunakan bom-bom FAB-500 seberat 500kg dan juga FAB-1500 seberat 1.5 tan untuk membedil kedudukan tentera Ukraine dan hasilnya sebagaimana didakwa oleh  Moscow adalah amat berkesan.

Russia
Bom-bom FAB

 

Mengakui bahawa bom-bom FAB selepas ia dilengkapi dengan kit UMPC/UMPK adalah amat berkesan di medan peperangan di Ukraine, maka pihak tentera Russia kini meningkatkan keberkesanan keluarga bom FAB itu dengan memperkenalkan FAB-3000 seberat 3 tan pula.

Menurut penganalisis tentera Russia, bom-bom FAB-3000 seberat tiga tan yang dilengkapi dengan kit UMPC/UMPK akan digugurkan oleh pesawat pengebom seperti Tu-22M3 dan bukan lagi oleh pesawat pejuang Su-34 seperti sebelum ini.

Bagaimanapun mimpi ngeri Ukraine dengan bom FAB-3000 itu berkemungkinan tidak berakhir setakat itu sahaja kerana terdapat dua lagi ahli keluarganya iaitu bom FAB-5000 seberat 5 tan dan juga FAB-9000 seberat 9 tan.

Setakat ini, pihak Russia tidak lagi memberikan keputusan sama ada ia akan memulakan semula pembuatan bom-bom FAB-5000 dan FAB-9000, tetapi ia berkemungkinan juga bergantung kepada keadaan di medan peperangan di Ukraine. — DSA

 

Comments
Loading...