Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

(VIDEO) Jerman Tidak Mahu Berikan Peluru Berpandu Kruis Jarak Jauh “Taurus” Pada Ukraine

(VIDEO) Peluru berpandu kruis jarak jauh “Taurus” seberat 1,400kg yang dibangunkan oleh syarikat pertahanan Jerman/Sweden itu mempunyai kemampuan untuk membedil sasaran sejauh 500km dengan tahap ketepatan yang amat tinggi.

4,375

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kerajaan Jerman memutuskan untuk tidak membenarkan penghantaran peluru berpandu kruis jarak jauh “Taurus” kepada Ukraine kerana bimbang sekiranya kebenaran itu diberikan, ia  akan mengheret Jerman dalam peperangan secara terbuka dengan Russia.

“Ia adalah senjata yang memberi kesan mendalam dana apa yang dilakukan oleh Britain dan Perancis (menerusi peluru berpandu kruis Storm Shadow dan SCALP yang dibekalkan kepada Ukraine) tidak boleh dilakukan oleh Jerman.

“Jerman tidak boleh dikaitkan dengan apa yang senjata ini (Taurus) boleh lakukan. Oleh itu penghantaran senjata itu tidak berada di dalam agenda (kerajaan Jerman),” kata Canselor Jerman Olaf Scholz kepada pemberita di Berlin.

Scholz memutuskan untuk tidak tunduk kepada tekanan daripada pelbagai pihak yang mahu Jerman memberi lampu hijau terhadap penghantaran peluru berpandu kruis jarak jauh “Taurus” kepada Ukraine.

Tindakan Jerman itu adalah berlainan dengan langkah yang diambil oleh kerajaan Britain dan Perancis yang membekalkan peluru-peluru berpandu kruis “Storm Shadow” dan “SCALP” untuk membantu tentera Ukraine.

Taurus
“Taurus”

 

Tentera Ukraine mahukan peluru berpandu kruis “Taurus” itu untuk mematahkan kemaraan tentera Russia serta “memutuskan” laluan bekalan (supply route) mereka.

Peluru berpandu kruis jarak jauh “Taurus” yang dibangunkan oleh syarikat pertahanan Jerman/Sweden itu mempunyai kemampuan untuk membedil sasaran sejauh 500km dengan tahap ketepatan yang amat tinggi.

Di antara ketiga-tiga peluru berpandu kruis jarak jauh – “Taurus”, “Storm Shadow” dan “SCALP” – tidak banyak yang membezakan di antara mereka.

Ketiga-tiga peluru berpandu kruis itu memiliki berat keseluruhan diantara 1,300kg hingga 1,400kg dan berkeupayaan membedil sasaran sejauh 500km.

Bagaimanapun peluru berpandu kruis “Taurus” menggunakan fius “Programable Intelligent Multi-Purpose Fuze atau (PIMPF)” manakala peluru berpandu kruis “Storm Shadow/SCALP” menggunakan fius dipanggil Multi-Application Fuze Initiation System (MAFIS).

Menurut penganalisis tentera, penggunaan fius PIMPF  oleh peluru berpandu “Taurus” buatan Jerman itu membolehkan peluru berpandu terbabit membedil sasaran-sasaran seperti jambatan lebih tepat dan lebih berkesan, berbanding fius MAFIS digunakan oleh peluru berpandu kruis “Storm Shadow/SCALP”.

Sekiranya Ukraine dibekalkan dengan peluru berpandu kruis jarak jauh “Taurus” oleh Jerman, maka ia akan memberikan Kiev kemampuan untuk membedil Jambatan Kerch yang menghubungkan Russia dengan Crimea yang diduduki oleh tentera Russia.

Ukraine telah beberapa kali mensasarkan Jambatan Kerch itu yang menjadi nadi perhubungan lojistik tentera Russia di Crimea tetapi sehingga masih gagal untuk memusnahkan jambatan penting itu.

Oleh kerana itulah Jerman enggan membekalkan peluru berpandu kruis jarak jauh “Taurus” kepada Ukraine.

Baru-baru ini, Canselor Scholz memberitahu senario di mana Ukraine menggunakan peluru berpandu buatan Jerman untuk memusnahkan jambatan sebagai gambaran bahawa peperangan di negara Eropah Timur itu telah merebak.

Menurutnya, beliau bertanggungjawab sebagai Canselor untuk memastikan bahawa Jerman tidak menjadi sebahagian daripada peperangan di antara Russia dan Ukraine.

Selain itu, ketiga-tiga peluru berpandu kruis jarak jauh itu juga menggunakan “Terrain Contour Mapping System” yang memerlukan Jerman untuk memasukkan sendiri data-data tersebut ke dalam sistem penjejak sasaran itu.

Jambatan
Jambatan Kerch yang menghubungkan Russia dengan Crimea.

 

Jerman bimbang ia akan menyebabkan anggota-anggota tenteranya akan terlibat secara langsung membantu tentera Ukraine dan sekaligus menjerumuskan negara itu secara langsung dalam peperangan terbuka dengan Russia.

Selain itu, satu lagi faktor mengapa Jerman enggan membekalkan peluru berpandu kruis jarak jauh “Taurus” kepada Ukraine adalah Berlin bimbang peluru berpandu kruis yang canggih itu jatuh ke tangan Russia, sekaligus mendedahkan teknologinya. — DSA

(PELURU BERPANDU KRUIS JARAK JAUH “TAURUS”)

Notis

Comments are closed.