Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Untuk Bantu Ukraine, Amerika Baikpulih FIM-92 Stinger Yang Sebelum Ini “Tidak Boleh Digunakan”

Sistem MANPADS “Stinger” itu dikenali ramai selepas Amerika Syarikat membekalkan sistem itu kepada pejuang-pejuang Mujahidin Afghanistan bagi menembak jatuh helikopter dan pesawat kombat digunakan oleh tentera Kesatuan Soviet yang menceroboh negara itu bermula pada tahun 1979 hingga 1989.

0 2,845

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Amerika Syarikat terpaksa membaikpulih, menaiktaraf dan memanjangkan hayat kira-kira 1,900 buah peluru berpandu bagi sistem pertahanan udara MANPADS (man-portable air defence system) “FIM-92 Stinger”, yang sebelum ini dikategorikan “tidak lagi boleh digunakan.”

Tindakan itu terpaksa diambil kerana tentera Amerika mengalami kekurangan sistem MANPADS itu yang kini dibekalkan kepada tentera Ukraine untuk digunakan bagi menangani ancaman oleh pesawat, helikopter dan dron-dron tentera Russia.

“Peluru-peluru berpandu Stinger yang telah selesai dibaikpulih akan dimasukkan kembali ke dalam inventori Tentera Darat Amerika Syarikat dan boleh digunakna untuk tujuan latihan atau peperangan.”

“Menerusi program baikpulih itu, Tentera Darat Amerika Syarikat berjaya menjimatkan US$50,000 (RM225,000) bagi setiap peluru berpandu Stinger itu. Pada hari ini, kos bagi satu peluru berpandu yang digunakan oleh “Stinger” adalah di antara US$120,000 hingga US$150,000 (RM540,000 hingga RM675,000),” menurut kenyataan oleh Tentera Darat Amerika Syarikat menerusi akaun FB miliknya baru-baru ini.

Ia berkata, peningkatan kos bagi peluru berpandu itu adalah disebabkan penggunaan teknologi terkini dan komponen yang lebih mahal serta penurunan pengeluaran sistem pertahanan udara lancaran bahu itu.

Stinger

Usaha-usaha untuk membaikpulih dan memodenkan peluru berpandu “Stinger” itu bermula pada tahun 2017 sebagai sebahagian daripada program Service Life Extension Program (SLEP) tetapi diperhebatkan selepas Russia menceroboh Ukraine pada Februari 2022.

Peluru berpandu “Stinger” itu dibangunkan oleh firma pertahanan terkenal Amerika Syarikat, RTX (dahulu dikenali sebagai Raytheon).

Sistem peluru berpandu FIM-92 “Stinger” adalah peluru berpandu MANPADS jarak dekat yang direka sebagai sistem pertahanan udara oleh tentera Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya.

Ia mula memasuki perkhidmatan tentera Amerika Syarikat pada tahun 1978 selepas dibangunkan selama 10 tahun untuk menggantikan sistem MANPADS FIM-43 Redeye.

Sistem MANPADS “Stinger” itu dikenali ramai selepas Amerika Syarikat membekalkan sistem itu kepada pejuang-pejuang Mujahidin Afghanistan bagi menembak jatuh helikopter dan pesawat kombat digunakan oleh tentera Kesatuan Soviet yang menceroboh negara itu bermula pada tahun 1979 hingga 1989.

Disebabkan populariti sistem “Stinger” itu dikalangan tentera Ukraine ketika ini, syarikat RTX dilaporkan terpaksa memanggil jurutera-juruteranya yang telah lama bersara untuk memulakan kembali pembuatan sistem peluru berpandu “Stinger” yang telah lama ditamatkan.

Stinger

Syarikat pertahanan Amerika Syarikat itu terpaksa menggunakan blueprint pembangunan sistem peluru berpandu MANPADS (Man-Portable Air Defence System) yang wujud pada zaman pemerintahan Presiden Jimmy Carter pada 1977.

“Peluru berpandu Stinger tidak dibina sejak 20 tahun yang lalu tetapi di dalam tempoh 48 jam selepas tercetusnya konflik di Ukraine, peluru berpandu itu telah menjadi “bintang” dan tiba-tiba semua pihak di Ukraine mahu memiliki peluru berpandu itu,” kata presiden salah satu divisyen dalam RTX,Wes Kremer tahun lepas.

“Kita terpaksa memanggil kembali pekerja yang kini usianya telah mencecah 70-an untuk mengajar pekerja-pekerja baru tentang bagaimana untuk membina peluru berpandu Stinger. Kita terpaksa menggunakan kembali peralatan-peralatan lama daripada gudang yang mempunyai banyak sarang labah-labah,” katanya.

Pihak pentadbiran Amerika Syarikat sehingga kini telah mengirimkan lebih daripada 2,000 sistem peluru berpandu “Stinger” kepada Ukraine untuk menembak jatuh pesawat pejuang, helikopter dan juga dron-dron milik Russia.

Stinger

Kesemua sistem peluru berpandu lancaran bahu itu didapati daripada stok-stok tentera Amerika Syarikat.

Presiden Amerika Syarikat Jo Biden menyatakan ia akan mengirimkan lebih banyak “Stinger” kepada Ukraine, memaksa syarikat Raytheon membangunkan lagi kembali produksi yang sudah dua dekad ditutup. — DSA

To contact email: lulwabyadah@gmail.com 

Comments
Loading...