Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Jambatan Darat Thailand Bakal “Bunuh” Pelabuhan Malaysia Dan Singapura?

Hasrat Thailand untuk membina jambatan darat di selatan negara itu bukan sahaja akan “membunuh” pelabuhan-pelabuhan di Malaysia tetapi juga akan mengancam masa depan Pelabuhan Singapura.

5,366

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Apakah pelabuhan-pelabuhan di Malaysia seperti Pelabuhan Klang, Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Pelabuhan Pulau Pinang bakal berhadapan dengan “masa depan yang gelap” sekiranya Thailand meneruskan hasratnya untuk membina “jambatan darat” (landbridge) menghubungkan Laut Andaman dengan Teluk Siam?

Hasrat Thailand itu bukan sahaja akan “membunuh” pelabuhan-pelabuhan di Malaysia tetapi juga akan mengancam masa depan Pelabuhan Singapura, yang merupakan di antara pelabuhan tersibuk di dunia.

Pada ketika ini, Bangkok sedang menimbangkan dengan serius cadangan untuk membina “jambatan darat” itu, yang diharap dapat merangsang kembali ekonominya yang terjejas teruk kesan daripada pandemik COVID-19.

Jambatan darat itu menghubungkan Laut Andaman dengan Teluk Siam di Thailand itu, sekiranya dibina, sudah pastinya menggembirakan pengusaha kapal-kapal dagang kerana ia bermakna mereka tidak lagi perlu belayar di Selat Melaka.

Banyak penjimatan kos dapat dilakukan sekiranya kapal-kapal dagang tidak lagi perlu melalui Selat Melaka, selain mengurangkan risiko terhadap ancaman rompakan laut dan aktiviti pelanunan  di selat yang sempit itu.

Pelabuhan
Pelabuhan Singapura

 

Sekiranya Thailand membina “jambatan darat” yang menghubungkan Ranong dan Chumphon di selatan negara itu, ia akan memberikan saingan kepada satu satu lagi “jambatan darat” yang sedang dibina oleh Malaysia iaitu ECRL (East Coast Rail Link) bernilai RM44 bilion sepanjang kira-kira 700km menghubungkan Pelabuhan Klang dengan Pelabuhan Kuantan.

Jambatan darat Thailand yang menghubungkan Ranong dan Chumphon yang dianggarkan hanya sepanjang 130km serta bernilai US$1.8 bilion untuk dibina bukan sekadar menyediakan laluan kereta api sahaja, tetapi terdapat juga cadangan untuk membina paip minyak menghubungkan kedua-dua kawasan itu, menjadikan projek infrastruktur itu menjadi lebih menarik daripada segi ekonominya.

Sekiranya jambatan darat selatan Thailand itu dibina, pelabuhan-pelabuhan di Ranong dan Chumphon yang dinaiktaraf manakala zon-zon industri diwujudkan bagi menjana lagi ekonomi tempatan.

Menyedari potensi ekonomi “jambatan darat itu” Perdana Menteri Thailand Prayut Chan-o-cha mengarahkan kajian feasibiliti (kebolehlaksanaan) mengenai cadangan pembinaan jambatan darat itu.

Cadangan untuk membina jambatan barat menghubungkan Laut Andaman dan Teluk Siam itu mendapat nafas baru selepas cadangan untuk membina Terusan Kra, di Segenting Kra, selatan Thailand yang diimpikan sejak berdekad lama tidak dapat direalisasikan di atas beberapa sebab.

Antara sebab utama yang menghalang pembinaan Terusan Kra itu adalah kosnya yang terlalu tinggi selain terdapat juga kebimbangan daripada segi impak politik dan keselamatan kepada Thailand.

Pihak keselamatan Thailand bimbang sekiranya Terusan Kra dibina, ia akan “memutuskan” negara itu  kepada dua bahagian iaitu selatan dan utara, sekaligus memarakkan lagi konflik bersenjata yang sedang berlangsung di selatan negara itu.

Pihak keselamatan Thailand secara “di belakang tabir” menyuarakan kebimbangan mereka bahawa pembinaan Terusan Kra itu akan memarakkan lagi semangat kemerdekaan dikalangan pihak-pihak yang menyokong puak bersenjata di selatan Thailand.

Pihak keselamatan Thailand bimbang akan kehilangan selatan Thailand sekiranya Terusan Kra itu dibina.

Selain itu, dalam keadaan pandemik ini, tidak ada pihak sama ada swasta atau kerajaan yang mahu membelanjakan US$30 bilion hingga US$50 bilion untuk membina terusan.

Oleh kerana itulah, pembinaan jambatan darat merupakan pilihan yang disukai ramai kerana kos pembinaannya adalah jauh lebih murah berbanding membina terusan di selatan Thailand itu.

Jambatan
Jambatan darat di selatan Thailand yang akan menghubungkan Ranong dan Chumphon.

 

Walaupun cadangan membina jambatan darat itu menerima sokongan ramai pada ketika ini, tetapi pada masa yang sama kumpulan-kumpulan pelobi Terusan Kra yang disokong oleh bekas-bekas pegawai kanan tentera Thailand akan terus berusaha mempengengaruhi kerajaan tentera Thailand.

Kumpulan-kumpulan pelobi Terusan Kra di Thailand dikatakan mendapat sokongan daripada China yang mahu melihat pembinaan terusan itu direalisasikan untuk memenuhi impian ekonomi dan strategiknya.

Dengan adanya Terusan Kra, kapal-kapal tentera mahupun kapal komersial China membawa minyak dan gas yang amat penting untuk ekonominya tidak lagi perlu melalui Selat Melaka.

Ia sekaligus melenyapkan kebimbangan Beijing bahawa Amerika Syarikat dan sekutunya akan bertindak menyekat laluan perkapalan di Selat Melaka itu sekiranya konflik ketenteraan di antara dua kuasa besar dunia itu meletus.

China sememangnya mahu melihat Terusan Kra itu dibina kerana ia akan memenuhi kepentingan strategic negara itu.

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments are closed.