Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Pasukan Aerobatik PLAAF “August 1st” Tiba Di Langkawi Dengan J-10C

Buat pertama kali, pasukan aerobatik China yang ditubuhkan enam dekad yang lalu akan menggunakan varian terkini pesawat pejuang generasi ke-4, J-10C berbanding varian J-10A dan varian dua tempat duduk J-10S yang digunakannya sejak 2009.

2,547

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Pasukan aerobatik Tentera Udara China (PLAAF) “August 1st” telah pun tiba di pulau Langkawi untuk menyertai Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) ke-16 yang akan bermula 23 sehingga 27 Mei ini.

Buat pertama kali, pasukan aerobatik China yang ditubuhkan enam dekad yang lalu akan menggunakan varian terkini pesawat pejuang generasi ke-4, J-10C berbanding varian J-10A dan varian dua tempat duduk J-10S yang digunakannya sejak 2009.

Perkara itu disahkan oleh Kolonel Xie Peng kepada agensi berita negara itu, Xinhua.

J-10C

Beliau mengatakan bahawa Malaysia merupakan destinasi luar negara yang pertama bagi pasukan aerobatik August 1 itu sejak pasukan mereka dilengkapi dengan varian terkini pesawat pejuang itu, J-10C. Turut berada di Lapangan Terbang Langkawi adalah sebuah pesawat pengangkut Xian Y-20.

Kali terakhir pasukan aerobatik August 1st beraksi di pulau lagenda itu adalah pada tahun 2015.

Pasukan aerobatik itu ditubuhkan pada tahun 1962 dan dinamakan sebegitu sempena tarikh penubuhan PLAAF.

Ia telah melakukan demonstrasi di 660 pertunjukkan udara di dalam dan luar China.

Sebagaimana varian terdahulunya didalam keluarga J-10, varian J-10C adalah pesawat pejuang supersonik berkemampuan melaksanakan pelbagai operasi yang telah dibangunkan oleh syarikat pembuat pesawat milik negara,  Aviation Industry Corp of China.

Pesawat pejuang itu berkeupayaan menguasai ruang udara dan membedil sasaran darat serta laut.

J-10C

Pesawat pejuang J-10C mula diperkenalkan kepada orang awam pada Julai 2017 dan mula digunakan untuk tugas-tugas kombat pada 2018.

Varian J-10 dikatakan memiliki radar cross section lebih kecil tetapi berkeupayaan lebih baik berbanding varian J-10A dan J-10B.

“Berbanding varian-varian terdahulu, J-10C adalah lebih ringan dan lebih sukar untuk dikesan serta menggunakan enjin yang lebih berkuasa. Selain itu varian J-10C juga dilengkapkan dengan radar active electronically scanned array (AESA)  bagi membolehkan kemampuan pengesanan (sasaran) yang lebih baik.”

Pemerhati tentera serantau menyatakan PLAAF mengoperasi kira-kira 150 buah pesawat pejuang J-10C dalam pasukannya.

JF-17
Peluru berpandu BVRAAM “PL-15” dan WVRAAM “PL-10” 

 

Pesawat pejuang J-10C juga dikatakan telah dilengkapkan dengan peluru berpandu udara-ke-udara terkini China seperti PL-10 (infra red guided) dan  PL-15 (AESA radar guided)  yang mampu membedil sasaran lebih jauh.

Selain China,  Tentera Udara Pakistan juga menggunakan 12 buah pesawat pejuang J-10C yang diperolehinya daripada China pada tahun lepas.

Selain daripada pasukan aerobatik August 1 daripada PLAAF, pasukan-pasukan aerobatik yang dijadualkan menyertai LIMA 2023 adalah Pasukan Jupiter daripada Indonesia, Black Eagles darpada Korea Selatan, Russian Knights daripada Russia dan Al Fursan daripada Emiriah Arab Bersatu (UAE). — DSA

APPPS

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: [email protected]

Comments are closed.