Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

MALBATT Sumbang Bantuan Makanan, Ringan Beban Ditanggung Anggota Tentera Lubnan

Tidak terkecuali menerima kesan buruk akibat kegawatan ekonomi dan kewangan yang melanda Lubnan adalah anggota Angkatan Tentera Lubnan (Lebanese Armed Forces -LAF) dan kontinjen tentera negara yang berkhidmat di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di negara itu turut berusaha untuk meringankan beban yang kini ditanggung oleh rakan sejawatnya daripada LAF yang bergelut dengan masalah ekonomi negara itu.

0 1,236

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Masalah kegawatan ekonomi dan kewangan yang melanda Lubnan sejak beberapa tahun yang lepas telah meninggalkan kesan yang buruk terhadap kehidupan lebih enam juta rakyat negara Mediterranean yang bergolak itu.

Tidak terkecuali menerima kesan buruk akibat kegawatan ekonomi dan kewangan yang melanda Lubnan adalah anggota Angkatan Tentera Lubnan (Lebanese Armed Forces -LAF).

Kontinjen tentera negara yang berkhidmat di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di negara itu turut serta dalam usaha untuk meringankan beban yang kini ditanggung oleh rakan sejawatnya daripada LAF, berikutan daripada masalah ekonomi negara itu.

MALBATT
(kredit MALBATT 850-10)

 

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh akaun media sosial MALBATT 850-10, anggota battalion 850-10 turut menghulur bantuan kepada anggota tentera Lubnan itu.

Kenyataan media sosial itu menyatakan babawah Komander MALBATT 850-10, Kolonel Mohd Rizman bin Hj Ramli telah menyempurnakan program sumbangan kepada Lebanese Armed Forces (LAF) di South Litani Sector (SLS) Headquarters, Benoit Bracket Tyro Barracks.

Ketibaan Komander telah disambut mesra oleh wakil SLS iaitu Kolonel Toufic sebelum dibawa ke pejabat bagi sesi kunjungan hormat.

Kemudian acara disusuli dengan penyerahan sumbangan MALBATT kepada LAF.

 Antara yang disumbangkan adalah barang makanan asas seperti gula, minyak, tepung gandum dan susu tepung.

MALBATT
(kredit MALBATT 850-10)

 

“MALBATT 850-10 berharap semua sumbangan ini dapat membantu dalam menangani krisis ekonomi di negara Lubnan pada waktu kini.”

Program seperti ini sejajar dengan Teras Kelima Perintah Ulung Komander MALBATT 850-10 iaitu Pengukuhan Hubungan Bersama Tentera Bersekutu yang memfokuskan kepada pengukuhan bersama Lateral Engagement.

Kegawatan ekonomi dan kewangan yang mencengkam Lubnan turut memberikan kesan yang mendalam terhadap angkatan tenteranya, sehingga memaksa anggotanya menggunakan kreativiti tersendiri untuk memastikan mereka “terus hidup.”

Antaranya adalah dengan menawarkan penerbangan helikopter kepada pelancong-pelancong yang berminat untuk melihat negara itu daripada udara, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh angkatan tentera Lubnan tidak lama dahulu.

Lubnan sedang berhadapan dengan masalah ekonomi dan kewangan yang paling buruk disaksikan oleh dunia di dalam tempoh 150 tahun, sebagaimana yang dikatakan oleh Bank Dunia.

MALBATT
(kredit MALBATT 850-10)

 

Matawang Pound Lubnan kehilangan hampir 90 peratus daripada nilainya sejak kegawatan ekonomi dan kewangan melanda negara Mediterranean itu.

Keadaan itu bukan sahaja dirasakan oleh rakyat tempatannya tetapi juga oleh angkatan tentera serta anggotanya yang menyaksikan gaji mereka merudum daripada $1,000 Pound sebulan kepada hanya $85 pound sebulan, disamping masalah inflasi tinggi serta penarikan-balik subsidi yang sebelum ini dinikmati oleh rakyat.

Menurut jurucakap tentera Lubnan Kolonel Elias Saad yang bercakap kepada Arab News,  mereka telah menerima beberapa tempahan bagi penerbangan helikopter itu daripada pelancong.

“Untuk penerbangan helikopter selama 15 minit, kami mengenakan bayaran sebanyak $150 tunai,” kata beliau dan menambah, penerbangan akan menggunakan helikopter Robinson R44 dan terbuka kepada mereka yang berumur tiga tahun dan ke atas.

Hanya tiga orang dibenarkan dalam satu-satu penerbangan helikopter itu dan mereka perlu menyatakan tempat mana mereka mahu dibawa.

MALBATT
Anggota tentera Lubnan membawa pelancong.

 

Kegawatan ekonomi dan kewangan yang buruk di Lubnan memaksa negara itu memotong belanjawan untuk pertahanan/angkatan tenteranya dan ia turut menjejaskan usahanya menyelenggaran sistem persenjataannya dan lain-lain.

Tahun lepas, angkatan tentera Lubnan terpaksa membatalkan menu daging daripada senarai makanan untuk anggota tenteranya disebabkan harga makanan yang melambung tinggi.

Laporan media sebelum in juga menyatakan bahawa negara Teluk, Qatar telah menerbangkan kira-kira 70 tan bekalan makanan ke Lubnan sebagai usahanya membantu angkatan tentera negara itu.

Negara Teluk itu berjanji akan memberikan 70 tan bekalan makanan setiap bulan kepada angkatan Lubnan bagi membantu negara itu menangani masalah ekonomi dan kewangan yang amat meruncing. — DSA

APPPS

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...