Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Pasukan Aerobatik ROKAF, “Black Eagles” Bakal Terbang Pada LIMA’23?

Kehadiran pasukan aerobatik ROKAF, “Black Eagles” pada LIMA ’23 itu disifatkan seolah-olah seperti “meraikan” kejayaannya memenangi persaingan untuk membekalkan pesawat pejuang ringan di Malaysia, menewaskan beberapa pesaing terdekatnya termasuk Tejas yang dibangunkan oleh Hindustan Aeronautics Ltd (HAL) dan Hurjet daripada Turkish Aerospace Ltd (TAI).

0 2,395

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pasukan aerobatik  terkenal “Black Eagles” Tentera Udara Korea Selatan (ROKAF) yang berpangkalan di Wongju, Gangwon Province dikatakan akan membuat penampilan khas pada Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA ’23) yang dijadualkan berlangsung bermula 23 hingga 27 Mei depan.

Defence Security Asia dimaklumkan mengenai penyertaan pasukan aerobatik ROKAF pada LIMA’23 itu oleh sumber-sumber yang rapat dengan pasukan itu hari ini.

Pengumuman rasmi akan dilakukan oleh Kementerian Pertahanan dan penganjur kepada pameran yang dianjurkan dua tahun sekali itu.

Kali terakhir pasukan aerobatik “Black Eagles” ROKAF itu menyertai LIMA adalah pada 2017 menerusi penyertaan lapan buah pesawat latihan T-50B Golden Eagle yang dibangunkan oleh syarikat Korea Aerospace Industries (KAI).

Pesawat latihan T-50 merupakan asas kepada pesawat pejuang ringan FA-50 Block 20 yang menjadi pilihan kepada Kementerian Pertahanan dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Black Eagles

Kehadiran pasukan aerobatik ROKAF, “Black Eagles” pada LIMA ’23 itu disifatkan seolah-olah seperti “meraikan” kejayaannya memenangi persaingan untuk membekalkan pesawat pejuang ringan di Malaysia, menewaskan beberapa pesaing terdekatnya termasuk Tejas yang dibangunkan oleh Hindustan Aeronautics Ltd (HAL) dan Hurjet daripada Turkish Aerospace Ltd (TAI).

Bulan lepas, Kementerian Pertahanan telah bersetuju untuk memperolehi 18 buah pesawat pejuang ringan FA-50 Block 20 yang merupakan varian terkini dan paling berkemampuan pesawat itu untuk TUDM.

Malaysia dijangka membelanjakan lebih daripada RM4 bilion untuk memperolehi pesawat pejuang ringan itu bagi menggantikan beberapa pesawat pejuangnya yang telah berusia seperti Hawk 100 dan Hawk 200, MiG-29N serta Aermacchi MB-339.

Negara juga dijangka memperolehi 18 buah lagi pesawat FA-50 dibawah fasa kedua perolehan, membawa keseluruhan pesawat itu yang bakal dimilikinya kepada 36 buah.

Empat buah pesawat FA-50 Block 20 TUDM yang pertama dijangka diterima negara pada akhir 2026 manakala keseluruhan 18 pesawat itu diterima pada 2028.

Black Eagles

Pesawat-pesawat “Black Eagles” yang dicat dengan warna hitam, putih dan kuning merupakan pesawat T-50 yang telah diubahsuai untuk perkhidmatan dengan ROKAF.

Pergerakan utama pasukan aerobatik ROKAF itu dipanggil “Taegeuk”, dimana pasukan itu mencipta bendera Korea Selatan menerusi penerbangan menakjubkan dan penggunaan asap yang dilepaskan daripada pesawat-pesawat terbabit.

Bulan ini, pasukan aerobatik “Black Eagles” turut menyertai pameran udara Australia di Lapangan Terbang Avalon pada 3 hingga 5 Mac. — DSA

apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...