Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Istanbul Shipyard Tawar Multi Role Support Ship (MRSS) Untuk Tentera Laut Diraja Malaysia

Menurut laman web pertahanan Turkiye, Turdef.com, perolehan MRSS TLDM itu termasuk tiga buah kapal untuk operasi amfibia.

0 7,827
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Istanbul Shipyard telah menawarkan kapal Multi Role Support Ship (MRSS) untuk memenuhi keperluan kapal-kapal MRSS Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Menurut laman web pertahanan Turkiye, Turdef.com, perolehan MRSS TLDM itu termasuk tiga buah kapal untuk operasi amfibia.
“Istanbul Shipyard telah menampilkan kapal Multirole Support Ship (MRSS) kepada program perolehan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), yang merangkumi tiga kapal untuk operasi amfibi.”
“Perolehan MRSS oleh TLDM adalah sebahagian daripada usaha penyeragaman (oleh TLDM) bertujuan memperoleh kapal perang baru dan mengurangkan kepelbagaian dalam inventori,” menurut laman web pertahanan Turkiye itu.
Cadangan daripada Istanbul Shipyard itu menampilkan dua pelantar helikopter dan sebuah hangar bawah yang boleh dinaiki air untuk kenderaan amfibi/kapal pendarat.
Perolehan MRSS akan dirancang dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) yang akan bermula pada 2026 hingga 2030.
CSOC
Model kapal MRSS yang dicadangkan oleh syarikat CSOC.
Menurut laman web pertahanan Turkiye itu, kerjasama pertahanan di antara Turkiye dan Malaysia dalam platform tentera laut telah mencapai kemajuan penting dengan kontrak perolehan yang dimeterai tiga buah kapal Littoral Mission Ship Batch II (LMS Batch II) yang berdasarkan kepada rekabentuk kapal korvet kelas MİLGEM Ada.
Kapal-kapal LMS Batch II terbabit akan dilengkapi dengan peralatan Turkiye seperti radar AESA CENK 400-N, peluru berpandu anti-kapal ATMACA, dan sistem pertahanan jarak dekat (CIWS) GÖKDENİZ 35 mm.
STM akan bertindak sebagai kontraktor utama.
Pada Okt lalu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin berkata di bawah Angkatan Masa Hadapan (AMH), setiap perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia mempunyai pelan pemodenan dan kesiagaan aset tersendiri.
“Pertama, di bawah Pelan Transformasi 15to5, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) merancang untuk perolehan aset baharu seperti kapal Littoral Combat Ship (LCS), kapal Littoral Mission Ship Batch II – LMSBII dan kapal sokongan pelbagai guna (MRSS).”
Terdapat keperluan yang mendesak untuk TLDM memperolehi kapal MRSS memandangkan usia kapal MRSS sedia ada sudah berusia hampir 40 tahun. 
MRSS
Kapal MRSS oleh syarikat Damen Schelde daripada Belanda
Sejak beberapa tahun yang lepas, beberapa syarikat tempatan dan luar negara telah tampil kehadapan untuk menawarkan kapal-kapal MRSS rekabentuk mereka kepada TLDM.
Antara syarikat-syarikat yang menawarkan kapal MRSS mereka adalah Hyundai Heavy Industries (HHI), Mitsui daripada Jepun, PT PAL dari Indonesia dan Damen Schelde serta CSOC daripada China.
Bagi memantapkan lagi pengoperasiannya, TLDM memerlukan sekurang-kurangnya empat MRSS dengan dua buah daripada kapal itu beroperasi di Armada Barat (Lumut) manakala dua buah kapal selebihnya beroperasi di Armada Timur (Sabah). 
Kapal MRSS yang ditawarkan oleh syarikat Mitsui Jepun itu adalah seberat 13,000 tan dan berkeupayaan untuk membawa sehingga 500-800 anggota tentera berkekuatan satu batalion.
Selain itu kapal MRSS yang ditawarkan oleh syarikat Mitsui E&S itu juga berkemampuan membawa sehingga 16 buah kereta kebal (main battle tanks), enam buat kereta perisai dan sebuah kenderaan ambulan.
Kapal MRSS oleh syarikat Mitsui ini juga dilengkapi dengan dua sistem Phalanx CIWS.
Syarikat Hyundai Heavy Industries (HHI) daripada Korea Selatan pula memperkenalkan rekabentuk kapal MRSS HDL-13000 yang dicadangkan untuk memenuhi keperluan TLDM.
Kapal MRSS HDL-1300 oleh HHI itu mempunyai panjang 160 meter dan berat mencecah 13,000 tan.
Fungsi utama kapal MRSS buatan syarikat Korea Selatan ini adalah bantuan lojistik dan operasi Humanitarian and Disaster Relief (HADR) atau kemanusian, selain melaksanakan misi-misi amfibia.
MRSS
Kapal MRSS HDL-13000 yang dicadangkan oleh Hyundai Heavy Industries kepada TLDM.
Untuk melaksanakan misi-misi amfibia, kapal MRSS rekaan HHI ini berkemampuan membawa sehingga 16 buah kereta kebal utama, enam buah kereta perisai pelbagai guna serta ratusan anggota tentera yang lengkap bersenjata.
Manakala di dek penerbangan kapal MRSS itu pula, ia boleh menempatkan tiga buah helikopter H225M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk menyokong operasi kapal terbabit. 
 Pada 19 April tahun lalu, Panglima TLDM pada ketika itu Laksamana Tan Sri Abdul Rahman bin Ayob telah melawat ke PT PAL di Surabaya, Indonesia, yang merupakan sebuah syarikat pembuatan kapal milik negara jiran itu.
PT PAL Indonesia merupakan antara syarikat pembuatan kapal tempatan yang terbesar di republik tersebut yang menghasilkan pelbagai jenis kapal termasuk kapal MRSS KRI BANJARMASIN milik TNI-AL dan Landing Platform Dock BRP TARLAC milik Tentera Laut Filipina. — DSA

 

Leave A Reply

Your email address will not be published.