Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Israel Uji Peluru Berpandu Ballistik Jarak Jauh. Persediaan Untuk Bedil Iran?

Ujian pelancaran peluru berpandu Israel itu bukan sahaja persediaaan untuk menyerang Hezbollah, tetapi Israel juga dilaporkan sedang bersiap-sedia untuk menyerang Iran yang merupakan penyokong terkuat kumpulan bersenjata selatan Lubnan itu.

0 3,424

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Israel dilapor telah meningkatkan persediaan untuk menyerang kedudukan Hezbollah di selatan Lubnan, dengan banyak pihak dan negara termasuk Amerika Syarikat meramalkan peperangan di antara kedua-dua pihak itu hampir pasti berlaku bila-bila masa.

Bukan sahaja persediaaan untuk menyerang Hezbollah, tetapi Israel juga bersiap-sedia untuk menyerang Iran yang merupakan penyokong terkuat kumpulan bersenjata selatan Lubnan itu dan telah menyatakan hasratnya untuk terlibat sama dalam peperangan antara Israel dan Hezbollah.

Beberapa hari lalu, Kementerian Pertahanan dilapor telah menguji peluru berpandu yang tidak dirahsiakan jenisnya.

“Israel telah melaksanakan ujian rutin yang telah dirancang melibatkan sistem roket daripada kawasan lapang sasar tepi pantai negara itu. Ujian pelancaran itu telah dilakukan sebagaimana dirancang,” menurut kementerian itu.

Peluru berpandu ballistik yang tidak membawa sebarang peledak itu telah terbang sejauh 1,800km dan dikesan telah jatuh Laut Mediterranean, di timur pulau Malta, sebagaimana dinyatakan oleh saluran Telegram pro-Russia, Rybar.

Rybar yang mempunyai hubungan rapat dengan pihak tentera Russia menyatakan dengan jarak sejauh 1,800km itu, peluru berpandu rahsia Israel itu dengan mudah boleh membedil mana-mana bahagian di dalam Iran.

Israel

Sebab itulah ramai dikalangan penganalisis menyatakan bahawa ujian peluru berpandu rahsia oleh Israel itu adalah suatu “amaran” kepada Iran, yang telah awal-awal menyatakan akan terlibat sama dalam peperangan di antara Israel dan Hezbollah.

Teheran telah pun menyatakan bahawa ia bersedia untuk menghantar tenteranya ke selatan Lubnan untuk membantu pejuang Hezbollah.

“Berlatarbelakangkan ketegangan  dengan Lubnan dan kenyataan daripada Iran tentang kemungkinan pembabitan mereka dalam konflik itu (Israel-Lubnan), ujian peluru berpandu Israel itu adalah suatu simbolik,” menurut Rybar.

Israel memiliki program pembangunan peluru berpandu yang aktif dengan peluru berpandu ballistik jarak sederhana dinamakan “Jericho-3” merupakan program pembangunan peluru berpandu terkini yang boleh membawa peledak konvensional dan nuklear.

Peluru berpandu Jericho-3 itu dilaporkan memiliki jarak bedilan di antara 4,000km hinggalah 6,500km.

Ramai di Israel telah merakamkan asap dihasilkan daripada peluru berpandu itu sebaik sahaja ia dilancarkan.

Israel
“Jericho”

 

Tidak banyak maklumat berkenaan ujian pelancaran sistem roket peluru berpandu itu, yang dilakukan ketika Israel sedang bergelut dengan kempen ketenteeraannya di Semenanjung Gaza.

Rybar mendakwa bahawa ujian pelancaran peluru berpandu itu dilakukan di Pangkalan Tentera Palmachim dan peluru berpandu itu telah jatuh kira-kira 1,800km daripada lokasi pelancarannya.

Pangkalan tentera Palmachim itu merupakan lokasi biasa sekiranya tentera Israel mahu melakukan ujian pelancaran peluru berpandu.

“Kami melihat kepada data dan mendapati beberapa kawasan di perairan timur Pulau Malta telah dihadkan penggunaanya pada tarikh yang sama dengan ujian pelancaran peluru berpandu itu.”

“Mengambilkira jaraknya daripada Israel, penerbangan pesawat pengintip ‘Shavit’ dan kurangnya laporan media berkenaan ujian pelancaran itu, maka sudah pasti Israel sedang menguji sesuatu yang amat serius,” menurut Rybar. — DSA

Comments
Loading...