(DEFENCE SECURITY ASIA) – Adakah rejim Syiah Iran bakal terjebak dalam peperangan di Nagorno-Karabakh?
Kemungkinan ini tidak boleh ditolak berikutan laporan negara Timur Tengah itu telah mengerahkan kira-kira 200 kereta kebal dan kereta perisai serta peralatan tentera yang lain ke sempadannya dengan Azerbaijan, sebuah lagi negara Syiah.
Sejak beberapa hari lepas, media tempatan di Iran telah menunjukkan rakaman video dan gambar konvoi-konvoi tentera negara itu membawa pelbagai peralatan tentera ke kawasan sempadannya dengan Azerbaijan.
Iran berkongsi kira-kira 780km sempadan dengan Azerbaijan.
Rakaman penghantaran peralatan tentera Iran ke sempadannya dengan Azerbaijan. (Twitter)
Alasan yang diberikan oleh pemerintah Iran adalah, penghantaran lebih banyak anggota tentera dan kelengkapan mereka ke sempadan dengan Azerbaijan adalah untuk menjaga keselamatan penduduk tempatan yang tinggal di kawasan sempadan.
Ini kerana menurut mereka lokasi peperangan antara Armenia dan Azerbaijan adalah terlalu hampir dengan sempadan Iran.
Terdapat laporan sistem pertahanan udara Iran daripada jenis “TOR-M1” telah menembak jatuh pesawat tanpa pemandu (UAV) Azerbaijan di Aslan Duz yang terletak di kawasan sempadan Iran dan Azerbaijan baru-baru ini.
Mereka bimbang kerana terdapat beberapa insiden di mana peluru meriam dan mortar daripada konflik antara Armenia dan Azerbaijan telah jatuh di dalam wilayah Iran.
Bagaimanapun, pemerhati di Iran mengatakan kehadiran ratusan kereta kebal, kereta perisai serta asset tentera Iran di sempadan negara itu dengan Azerbaijan merupakan persediaan awal Teheran untuk membantu Armenia.
Walaupun sama-sama penganut Syiah, tetapi hubungan diplomatik di antara Azerbaijan dengan Teheran adalah tidak rapat.
Malah kedua-dua negara ini memiliki sikap syak-wasangka yang amat tebal di antara satu sama lain.
Teheran memiliki hubungan diplomatik yang erat dengan Armenia, sebuah negara majoriti penganut Kristian Orthodoks.
Sebagaimana yang diketahui, tentera Armenia telah mengalami kekalahan demi kekalahan ditangan tentera Azerbaijan yang banyak menggunakan peralatan tentera yang dibekalkan oleh sekutu mereka, Turki dan Israel di wilayah bergolak Nagorno Karabakh sejak kebelakangan ini.
Hubungan erat Azerbaijan dengan Israel juga membangkitkan keresahan dikalangan pemimpin Iran.
Selain itu Teheran juga bimbang dengan kedudukan masyarakat Azeri di Iran yang jelas menyokong perang di antara Baku dengan Yerevan untuk merebut Nagorno Karabakh serta aspirasi mereka untuk bergabung dengan Azerbaijan bagi membentuk “Greater Azerbaijan.”
Sejak peperangan di Nagorno-Karabakah, Iran enggan menutup sempadannya dengan Nagorno Karabakh yang dikuasai oleh etnik Armenia, membekalkan mereka dengan makanan, minyak dan pelbagai kelengkapan lagi.
Teheran juga didakwa membenarkan pelabuhannya di Laut Kaspia serta pengkalan udara untuk digunakan oleh kapal serta pesawat tentera Russia untuk mengangkut peralatan tentera sebelum dihantar kepada pejuang Armenia di Nagorno Karabakh.
Sehari sebelum peperangan di Nagorno Karabakh tercetus, Russia didakwa menghantarkan bertan-tan kelengkapan tentera kepada pejuang Armenia di Nagorno Karabakh dengan menggunakan ruang udara serta pengkalan tentera Iran.
Comments are closed.