Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Iran Bakal Terima Enam Buah Su-35 “Super Flanker” Dari Russia Dalam Tempoh Terdekat Ini ??

Keenam-enam pesawat pejuang generasi 4.5 yang diberikan gelaran “Super Sukhoi” itu akan diterbangkan oleh juruterbang Russia ke pangkalan tentera udara Iran itu, sebagaimana maklumat di dalam platform media sosial.

0 5,473
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Iran dilaporkan akan menerima sebanyak enam buah pesawat pejuang Sukhoi Su-35 daripada Russia dalam jangkamasa terdekat ini,  berkemungkinan besar akan ditempatkan di Pangkalan Udara Hamadan sebagaimana dispekulasikan sebelum ini.
Keenam-enam pesawat pejuang generasi 4.5 yang diberikan gelaran “Super Sukhoi” itu akan diterbangkan oleh juruterbang Russia ke pangkalan tentera udara Iran itu, sebagaimana maklumat di dalam platform media sosial.
Enam buah pesawat pejuang Su-35 itu dipercayai adalah daripada kumpulan pertama daripada beberapa kumpulan pesawat pejuang Su-35 yang berkemungkinan besar akan dihantar oleh Russia kepada Iran di dalam tempoh bulan-bulan dan tahun mendatang ini.
Kehadiran pesawat-pesawat pejuang Sukhoi Su-35 di Pangkalan Udara Hamadan itu adalah selari dengan kerja-kerja pembinaan beberapa kubu penempatan pesawat yang sedang rancak dilakukan di Pangkalan Tentera Udara Iran di Hamadan itu.
Baru-baru ini, laporan media pertahanan antarabangsa hasil pengamatan gambar-gambar satelit menyatakan saiz kubu-kubu penempatan pesawat yang sedang dibina di Pangkalan Udara Hamadan itu bersaiz besar, membawa kemungkinan ia adalah untuk menempatkan pesawat-pesawat pejuang yang lebih besar dan lebih canggih.
Penganalisis pertahanan menyatakan bahawa terdapat kemungkinan kubu-kubu yang sedang dibina itu adalah untuk menempatkan pesawat pejuang Sukhoi Su-35 yang bakal diterima oleh Iran daripada Russia di dalam tempoh terdekat.
Su-35
Su-35
Ringkasan Artikel:
Iran dijangka menerima enam pesawat pejuang Sukhoi Su-35 generasi 4.5 daripada Russia dalam masa terdekat, yang kemungkinan besar akan ditempatkan di Pangkalan Udara Hamadan. Kehadiran pesawat ini sejajar dengan pembinaan kubu-kubu perlindungan pesawat di pangkalan tersebut, dipercayai untuk menempatkan jet pejuang canggih seperti Su-35.
Iran juga dilaporkan mendapat kebenaran untuk memasang pesawat Sukhoi Su-35 dan Su-30 secara berlesen, yang berpotensi meningkatkan jumlah pesawat pejuangnya melebihi 100 unit dalam masa terdekat. Langkah ini dilihat mampu meningkatkan kekuatan udara Iran, yang selama ini dianggap ketinggalan berbanding cabang ketenteraan lain.
Kerjasama ini menimbulkan kebimbangan di kalangan negara pro-Amerika Syarikat di Timur Tengah, kerana dominasi kekuatan udara mereka bakal dicabar. Pesawat Su-35 dijual kepada Iran selepas Mesir membatalkan pembeliannya akibat tekanan ekonomi dari AS.
Penghantaran Su-35 ini mungkin juga sebagai balasan kepada sokongan ketenteraan Iran kepada Russia dalam konflik Ukraine, termasuk pembekalan dron Shahed-136 dan peluru berpandu balistik.
Su-35
“Su-35 Flanker-E”
Ia juga menyatakan bahawa usaha Iran untuk memperolehi pesawat pejuang generasi 4.5 daripada Russia itu masih berjalan dengan baik, walaupun laporan sebelum ini menyatakan usaha Teheran untuk mendapatkan pesawat pejuang berhadapan dengan jalan sukar.
Baru-baru ini, media antarabangsa melaporkan bahawa Iran telah diberikan kebenaran oleh Russia untuk memasang pesawat-pesawat pejuang Su-35 dan Su-30 secara berlesen di dalam negara Parsi.
Jika laporan itu terbukti benar, langkah pemasangan pesawat-pesawat pejuang Su-35 dan Su-30 buatan Russia itu bakal meningkatkan lagi kemampuan udara Teheran yang dilihat “terbelakang” berbanding cabang-cabang ketenteraannya yang lain.
Menurut pemerhati, dengan pemasangan dalam negara, bilangan pesawat-pesawat pejuang Su-35 dan Su-30 yang bakal dimiliki oleh Tentera Udara Iran boleh mencecah lebih daripada 100 buah pesawat dalam tempoh terdekat.
Kerjasama di antara Iran dan Russia berkenaan pemasangan pesawat-pesawat pejuang Su-35 dan Su-30 dalam negara itu merupakan suatu “berita buruk” kepada beberapa negara pro-Amerika Syarikat di Timur Tengah, kerana kekuatan udara yang selama didominasi mereka kini bakal dicabar oleh Teheran.
Iran
Gambar satelit Pangkalan Udara Hamadan di Iran
Iran
Laporan sebelum ini menyatakan bahawa Russia bertindak menjual pesawat-pesawat pejuang Su-35 selepas Mesir membatalkan pembelian 24 buah pesawat pejuang itu disebabkan tekanan oleh Amerika Syarikat.
Mesir telah menandatangani perjanjian dengan Russia untuk memperolehi 24 buah pesawat pejuang Su-35, tetapi Kaherah membatalkan pembelian pesawat pejuang itu selepas ia diancam oleh Amerika Syarikat untuk dikenakan sekatan ekonomi dibawah CAATSA sekiranya ia meneruskan pembelian pesawat Russia itu.
Penerimaan pesawat pejuang generasi 4.5 buatan Russia, Su-35 “Flanker E” itu juga berkemungkinan adalah sebahagian daripada “habuan” terhadap bantuan ketenteraan yang diberikan oleh Iran kepada Russia bagi membantu kempen ketenteraannya di Ukraine.
Teheran telah membekalkan ribuan dron-dron berani mati “Shahed-136” dan terkini, peluru-peluru berpandu ballistik kepada Russia yang menggunakannya untuk membedil infrastruktur dan kedudukan tentera Ukraine. — DSA

 

Comments
Loading...