Kontrak Perolehan Sukhoi Su-35 Oleh Indonesia Tidak Pernah Terbatal, “Masih Berjalan” – Duta Russia
“Kontrak (Su-35 dengan Indonesia) tidak pernah dibatalkan. Ia masih berjalan. Kita akan menyambung perundingan suatu hari nanti." -- Duta Russia ke Indonesia Sergei Tolchenov dalam temuramah dengan Jakarta Globe.
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Duta Russia ke Indonesia Sergei Tolchenov menegaskan bahawa kontrak membekalkan pesawat pejuang Su-35 kepada negara Asia Tenggara tidak terbatal dan “masih berjalan” seperti biasa.
“Kontrak (Su-35 dengan Indonesia) tidak pernah dibatalkan. Ia masih berjalan. Kita akan menyambung perundingan suatu hari nanti,” kata beliau dalam satu temuramah dengan media Indonesia, Jakarta Globe.
Mengenai Presiden Indonesia Prabowo Subianto yang mempunyai latarbelakang ketenteraan dan adakah ia akan mengeratkan lagi hubungan di antara Moscow dan Jakarta.
Duta Russia ke Jakarta itu berharap dibawah pentadbiran baru Presiden Indonesia Prabowo Subianto itu, hubungan dua hala di antara kedua-dua negara akan terus berkembang.
“Saya berharap hubungan pertahanan kita akan semakin kukuh kerana ia merupakan aspek penting dalam hubungan dua hala kita. Kami juga melihat bahawa tentera Indonesia menggunakan kelengkapan senjata buatan Rusia, dan ini membuktikan bahawa senjata kami benar-benar berkualiti tinggi. Jika Indonesia berminat, kami sedia untuk berunding,” kata Tolchenov.

Pada Februari 2018, Indonesia menandatangani kontrak perolehan 11 buah pesawat pejuang Su-35 “Flanker-E” bernilai US$1.14 billion (RM4.9 billion).
Bagaimanapun, pada Mac 2020, media-media antarabangsa menyatakan bahawa pihak berkuasa Indonesia memutuskan untuk membatalkan perlaksanaan kontrak bagi perolehan pesawat-pesawat pejuang Su-35 buatan Russia itu disebabkan faktor kewangan disebabkan pandemik Covid-19.
Selain, terdapat juga dakwaan menyatakan bahawa Amerika Syarikat mengancam untuk mengenakan sekatan terhadap Indonesia dibawah CAATSA Countering America’s Adversaries Through Sanctions Act (CAATSA) sekiranya ia meneruskan usahanya untuk memperolehi pesawat pejuang Su-35 itu daripada Russia itu.
Sejak “menangguhkan” perolehan 11 buah pesawat pejuang Su-35 dariipada Russia itu, Indonesia telah menandatangani kontrak untuk memperolehi 42 buah pesawat pejuang Rafale buatan syarikat Dassault Aviation daripada Perancis pada 2022.
Pada masa yang sama, Jakarta turut mengadakan rundingan dengan Amerika Syarikat untuk memperolehi sejumlah pesawat pejuang F-15EX.
Perolehan 42 buah pesawat Rafale oleh Jakarta itu dianggarkan menelan belanja RM32 bilion.
