Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

India Mahu Hubungan,Kerjasama Pertahanan Lebih Erat Dengan Malaysia

“Kolaborasi dan kerjasama di antara kedua-dua negara (Malaysia dan India) amat berfaedah kerana Angkatan Tentera Malaysia dan India mengoperasikan aset-aset ketenteraan yang sama seperti pesawat pejuang Sukhoi Su-30 dan kapal selam Scorpene,” kata Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia B.N Reddy sebagaimana dipetik oleh agensi berita nasional, BERNAMA.

0 10,441

(DEFENCE SECURITY ASIA) – India mahu mengeratkan hubungan pertahanannya dengan Malaysia terutama membabitkan industri pertahanan yang berpotensi besar kerana kedua-dua angkatan tentera menggunakan aset-aset pertahanan yang sama.

Bercakap dalam satu simposium yang diadakan di Kuala Lumpur hari ini, Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia B.N Reddy memberi contoh pesawat pejuang Sukhoi Su-30 dan kapal selam Scorpene yang digunakan oleh tentera udara dan tentera laut kedua-dua negara.

“Kolaborasi dan kerjasama di antara kedua-dua negara (Malaysia dan India) amat berfaedah kerana Angkatan Tentera Malaysia dan India mengoperasikan aset-aset ketenteraan yang sama seperti pesawat pejuang Sukhoi Su-30 dan kapal selam Scorpene,” kata beliau sebagaimana dipetik oleh agensi berita nasional, BERNAMA.

Katanya lagi, pada ketika ini Mazagon Dock Shipbuilder Ltd telah membina enam buah kapal selam Scorpene manakala gergasi aeroangkasa India, Hindustan Aeronautics Ltd (HAL) telah membina 280 buah pesawat pejuang Sukhoi Su-30.

Kedua-dua aset itu digunakan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TUDM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta Tentera Udara India dan Tentera Laut India.

Su-30MKM
Pesawat Su-30MKM melancarkan peluru berpandu pada Eksesais ABABIL 2021. (gambar TUDM)

 

Pesuruhjaya India ke Malaysia itu menyatakan bahawa sudah tiba masanya untuk New Delhi-Kuala Lumpur mengukuhkan lagi hubungan pertahanan di antara kedua-dua negara itu dan ia kini perlu melibatkan industri pertahanan pula.

“Di dalam tempoh lapan hingga sembilan tahun, industri pertahanan India telah berkembang dengan pesat.Sebelum ini industri pertahanan India hanya menghasilkan produk untuk kegunaan Angkatan Tentera India tetapi kini kapasiti dan kemampuannya sudah berkembang dan produk-produknya kini dieksport,”kata beliau.

Pada ketika ini, TUDM mengoperasikan 18 buah pesawat pejuang Su-30MKM manakala IAF pula menggunakan 280 buah pesawat pejuang Su-30MKI, manakala TLDM pula memiliki dua buah kapal selam Scorpene berbanding Tentera Laut India yang mempunyai enam buah kapal selam buatan Perancis itu.

Sebahagian besar daripada pesawat-pesawat pejuang Su-30MKI dan kapal selam Scorpene itu dibina sendiri dalam negara oleh industri pertahanan India hasil kerjasama dengan Perancis dan Russia.

Sukhoi
Pesawat Su-30MKI India.

 

Kerjasama antara Malaysia dan India terutamanya berkait-rapat dengan alat-alat ganti pesawat pejuang Su-30MKM yang digunakan oleh TUDM itu menjadi semakin penting berikutan sekatan ekonomi dan senjata yang dihadapi oleh Russia berikutan pencerobohannya terhadap Ukraine.

Sekatan ekonomi dan senjata yang dikenakan terhadap Russia itu memberikan kesan terhadap Malaysia kerana ia menyukarkan negara untuk memperolehi alat-alat ganti untuk pesawat-pesawat pejuang Su-30MKM miliknya.

Ia terpaksa melihat kepada India untuk mendapatkan alat-alat ganti pesawat pejuang Su-30MKM.

Selain India, terdapat juga cadangan agar Kementerian Pertahanan melihat kepada China yang turut menggunakan varian pesawat pejuang Su-30.

scorpene
Kapal selam Scorpene kelas-Perdana Menteri milik TLDM.
Scorpene
Kapal selam Scorpene Tentera Laut India

 

India mahu mengeratkan hubungan pertahanannya dengan Malaysia terutama membabitkan industri pertahanan yang berpotensi besar kerana kedua-dua angkatan tentera menggunakan aset-aset pertahanan yang sama.

Bekas Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein pernah berkata bahawa pihaknya akan memperluaskan perolehan alat-alat ganti pesawat yang digunakan oleh TUDM daripada negara yang menggunakan pesawat yang sama seperti India.

India adalah antara pengguna terbesar pesawat pejuang Sukhoi Su-30 dengan lebih daripada 250 varian pesawat Su-30MKI yang sebahagian besarnya dibuat secara berlesen oleh syarikat tempatan India. — DSA

(LAGI BERITA TENTANG KERJASAMA PERTAHANAN MALAYSIA-INDIA)

Notis

Comments
Loading...