Apa Perkembangan Cadangan Perolehan Hornet Kuwait? Masih Tak Habis Kajian?
Apa perkembangan terkini mengenai cadangan Kementerian Pertahanan yang dinyatakannya di Parlimen tahun lepas untuk memperolehi 33 pesawat pejuang Hornet milik Tentera Udara Kuwait secara "lock, stock and barrel." Diibaratkan "sunyi tanpa ada sebarang khabar berita" atau masih dalam kajian.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Nampaknya cadangan perolehan pesawat F/A-18C/D Hornet milik Tentera Udara Kuwait yang bakal ditamatkan perkhidmatannya masih belum terungkai dengan Kementerian Pertahanan masih belum memberikan sebarang kata putus, walaupun pada tahun lepas di Dewan Rakyat ia memaklumkan mahu mendapatkan 33 buah pesawat Hornet Kuwait itu secara “lock, stock and barrel.”
Itulah yang dapat disimpulkan daripada temuramah Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Jeneral Datuk Seri Mohd Asghar Khan Goriman Khan dengan majalah pertahanan berbahasa Melayu, Perajurit baru-baru ini.
“TUDM telah memajukan perancangan ini ke peringkat Kementerian Pertahanan dan menunggu keputusan.”

“Pada masa ini, TUDM terus mengoperasikan pesawat FA-18D yang sedia ada sehingga 2035.Penggantian pesawat MRCA hanya akan diimplementasikan pada RMKe-14 bagi penggantian pesawat FA-18D.”
“Penggantian pesawat SU-30MKM hanya akan diimplementasikan pada RMKe-15,” kata beliau di dalam temuramah itu.
Nampaknya, TUDM telah memajukan cadangan berkenaan perolehan pesawat Hornet itu tetapi setakat ini tiada maklum balas daripada Kementerian Pertahanan.
Mengapa Kementerian Pertahanan tidak memberikan maklum balas?
Harap kita tidak terlepas peluang untuk mendapatkan pesawat Legacy Hornet milik Tentera Udara Kuwait itu dan akhirnya peluang itu disambar oleh pihak lain pula, yang telah pun menunjukkan minat sama seperti kita.
Baru-baru ini, Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein telah bertemu dengan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat Lloyd Austin sempena Shangri-La Dialogue di Singapura, tetapi tidak pasti sama ada isu mengenai perolehan pesawat Hornet Kuwait itu turut disentuh.
Bagaimanapun kita faham bahawa isu pembelian pesawat terpakai F/A-18C/D Hornet milik Tentera Udara Kuwait itu agak kompleks kerana walaupun ia dimiliki oleh negara Timur Tengah itu tetapi keputusan akhir sama ada penjualan itu dapat direalisasikan atau tidak sebenarnya bergantung kepada negara pembuat pesawat pejuang itu iaitu Amerika Syarikat.
Comments are closed.