Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Perdana Menteri Lawat P.T Pindad, Tinjau Peluang Kerjasama Pertahanan

Lawatan itu merupakan agenda terakhir Ismail Sabri yang berada dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke Indonesia.

0 1,302

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melawat fasiliti pengeluaran produk ketenteraan dan komersial Indonesia milik PT Pindad, yang terlibat dalam industri pertahanan sejak 1983.

Lawatan itu merupakan agenda terakhir Ismail Sabri yang berada dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke Indonesia.

Syarikat milik kerajaan Indonesia itu menghasilkan produk ketenteraan dan komersial antaranya pistol, senapang, peluru, kenderaan khusus termasuk kereta perisai, produk pyroteknik, bahan peledak, produk mekanikal, elektrikal optikal dan opto elektronik.

Syarikat itu adalah pembekal utama persenjataan dan peluru untuk Tentara Nasional Indonesia dan badan beruniform lain bagi menyokong keupayaan pertahanan dan keselamatan Indonesia.

PT Pindad turut menjalankan aktiviti reka bentuk, pembangunan, kejuruteraan dan fabrikasi serta penyelenggaraan.

PT Pindad

Fasiliti pengeluaran di Bandung itu berkeluasan 66 hektar dengan fasiliti terbesarnya di Malang, di Jawa Timur, berkeluasan 166 hektar.

Bercakap kepada media selepas lawatan itu, Perdana Menteri berkata dasar industri pertahanan dan keselamatan negara dijangka dilancarkan dalam tempoh satu atau dua bulan lagi.

Beliau berkata, pelancaran dasar itu akan memperkasakan industri pertahanan negara yang merupakan salah satu fokus utama Kementerian Pertahanan.

“Jadi bertepatanlah lawatan ini untuk kita lihat daripada segi kerjasama dengan pihak Indonesia,” katanya dan menambah, objektif lawatan ke PT Pindad adalah untuk melihat perkembangan industri pertahanan di Indonesia.

“Mungkin selepas ini kita akan lihat dari segi opportunity atau peluang bagaimana kita boleh mengadakan kerjasama di antara Malaysia dan Indonesia,” katanya.

P.T Pindad

Dasar industri pertahanan dan keselamatan negara yang sedang digubal akan menyediakan hala tuju menyeluruh dalam mengurangkan kebergantungan terhadap aset dan peralatan dari luar negara.

Menurut dokumen Rancangan Malaysia Ke-12 yang dikeluarkan Unit Perancang Ekonomi pada September lalu, dasar itu antara lain memberi tumpuan berhubung pembangunan produk dan perkhidmatan serta pembangunan bakat.

DEFENCE SECURITY ASIA

 

Jom folo Defence Security Asia di Telegram,Facebook dan Twitter untuk perkembangan terkini dunia pertahanan dan keselamatan.

Comments
Loading...