Lapan Tahun Tiada Pembeli, Bos Gripen Kecewa
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat terkenal Sweden itu, Micael Johansson memberitahu wartawan negara itu tentang “kekecewaannya” berhubung kegagalan pesawat pejuang menarik minat sebarang pembeli selama lapan tahun.

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Apa sudah jadi dengan pesawat pejuang Gripen yang dibangunkan oleh syarikat Saab Group daripada Sweden? Sudah lapan tahun ia gagal menarik sebarang pembeli.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat terkenal Sweden itu Micael Johansson memberitahu wartawan negara itu tentang “kekecewaannya” berhubung kegagalan pesawat pejuang menarik minat pembeli-pembeli selain daripada Sweden.
Bercakap kepada media negara itu di ibu pejabat Saab di Stockholm, beliau berkata pesawat pejuang Gripen gagal menepati sasarannya dalam pasaran eksport dan menyalahkan faktor-faktor politik sebagai punca disebalik kegagalan itu.

Kali terakhir pesawat pejuang Gripen berjaya memenangi persaingan membekalkan pesawat kepada negara asing adalah pada 2014 apabila ia berjaya menambat hati Brazil yang bersetuju membeli 36 buah pesawat pejuang buatan Sweden itu bernilai US$5.4 bilion (RM21.6 bilion).
Daripada segi prestasi dan kemampuan pesawat pejuang itu, Johansson berkata, tiada apa yang membezakan di antara Gripen dengan pesawat-pesawat pejuang yang setanding dengannya.
Pesawat pejuang Gripen ini terletak di dalam kategori pesawat generasi 4 +++ .
Gripen ini menurut para pemerhati, terletak di dalam kategori yang setanding dengan pesawat pejuang seperti Tejas daripada India dan JF-17 yang dibangunkan oleh Pakistan serta China.
Pesawat pejuang kebanggaan industri pertahanan Sweden itu menggunakan enjin F404 sebagaimana yang digunakan oleh Tejas.

Enjin F404 oleh General Electric itu pada mulanya dibangunkan untuk kegunaan pesawat F-18 Hornet, manakala pesawat JF-17 pula menggunakan enjin RD-33 yang turut digunakan untuk pesawat pejuang MiG-29.
Menurut para pemerhati, Gripen dan pesawat pejuang yang seangkatan dengannya mempunyai prestasi penerbangan yang kurang memuaskan berbanding pesawat pejuang yang lebih berat.
Comments are closed.