Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Greek Peroleh 20 Buah Pesawat F-35 Bernilai US$3.5 Billion, Turkiye “Ditekan” Pelbagai Sudut

Turkiye dilarang daripada membeli pesawat pejuang generasi kelima, F-35 buatan Amerika Syarikat kerana membeli sistem pertahanan udara S-400, tetapi “musuh tradisinya”, Greek ditawarkan membeli F-35 walaupun ia juga memiliki sistem pertahanan udara buatan Russia, S-300.

0 9,761

(DEFENCE SECURITY ASIA) –  Turkiye dilarang daripada membeli pesawat pejuang generasi kelima, F-35 buatan Amerika Syarikat kerana membeli sistem pertahanan udara S-400, tetapi “musuh tradisinya”, Greek ditawarkan membeli F-35 walaupun ia memiliki sistem pertahanan udara buatan Russia, S-300.

Menteri Pertahanan Greek Nikos Dendias dilaporkan telah meluluskan pembelian 20 buah pesawat pejuang F-35 bernilai US$3.5 billion (RM16.30 billion) untuk mewujudkan mewujudkan kuasa deterren yang kuat di rantau itu.

Surat persetujuan pembelian 20 buah pesawat pejuang generasi kelima itu buatan syarikat Lockheed Martin itu oleh Greek telah pun dihantar ke Amerika Syarikat.

Greek dijangka akan hanya memperolehi 20 buah pesawat pejuang F-35 itu pada tahun 2028, empat tahun selepas persetujuan pembeliannya dengan negara Mediterranean itu turut diberikan opsyen perolehan 20 buah pesawat pejuang F-35 itu.

Keseluruhannya, Amerika Syarikat menawarkan sejumlah 40 buah pesawat pejuang F-35 bernilai US$8.6 billion (RM40 billion) kepada Greek.

Pembelian pesawat pejuang generasi kelima F-35 itu bertujuan memperkuatkan lagi tentera udara negara itu, yang telah pun memperolehi pesawat-pesawat pejuang Rafale buatan Perancis beberapa tahun dahulu.

Turkiye
F-35

 

Sedang Amerika menekan dan menghalang Turkiye daripada membeli pesawat-pesawat pejuang moden seperti F-35 dan Eurofighter Typhoon,namun bagi Greek pula, ia dibantu segenap sudut untuk memodenkan tentera udaranya dengan pesawat-pesawat pejuang yang moden seperti F-35 dan F-16.

Turkiye kini terpaksa bergantung kepada pesawat pejuang generasi kelima dibangunkannya sendiri, “KAAN” untuk bersaing dengan F-35 buatan Amerika yang dibekal kepada Greek.  

Perolehan pesawat-pesawat pejuang F-35 dan Rafale oleh Greek itu menimbulkan dakwaan tentang layanan  “double standard” diamalkan oleh Amerika Syarikat terhadap Turkiye yang merupakan antara negara anggota NATO paling utama.

Turkiye juga menempatkan beberapa pangkalan tentera NATO di negara itu.

Negara Mediterranean itu bukan sahaja dilarang membeli pesawat pejuang F-35 itu, tetapi Turkiye juga dilarang membeli pesawat pejuang Eurofighter Typhoon, malahnya usahanya untuk membeli pesawat pejuang F-16 baru sahaja diluluskan selepas beberapa tahun tergendala akibat “permainan politik” Amerika Syarikat.

Washington hanya bersetuju untuk menjual 40 pesawat pejuang F-16 Block 70 dan 80 kit permodenan bernilai US$23 billion (RM107 billion)  kepada Turkiye pada Januari tahun ini, selepas menekan Ankara supaya bersetuju menerima kemasukan Sweden sebagai negara anggota NATO.  

F-35
F-35

 

Turkiye enggan meluluskan kemasukan Sweden ke dalam NATO disebabkan sikap negara Eropah itu yang memberikan perlindungan kepada pemimpin-pemimpin pertubuhan keganasan dan dikehendaki oleh pihak berkuasa Ankara.

Selain itu, Sweden juga enggan bertindak membanteras tindakan membakar kitab suci umat Islam, Al-Quran di negara terbabit.

Turkiye mula menyertai program pembangunan pesawat pejuang generasi kelima F-35 Lightning II seawal tahun 1999, dengan Ankara komited untuk membeli 100 buah varian F-35A pesawat keluaran syarikat Lockheed Martin itu.

Sebagai rakan pembangunan, Ankara telah membayar US$1.4 bilion (RM5.4 bilion) sebagai kos pembangunan pesawat pejuang itu, manakala syarikat-syarikatnya pula bertanggungjawab menghasilkan kira-kira 900 alat ganti dalam program perkongsian industri. 

Bagaimanapun pada 2019, Turkiye telah secara rasmi “ditendang” keluar daripada program pesawat pejuang F-35 oleh Washington kerana ia berkeras untuk meneruskan pembelian sistem pertahanan udara S-400 buatan Russia.

Pegawai-pegawai kanan di Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat dilaporkan berkata bahawa pesawat pejuang F-35 tidak boleh “hidup bersama” dengan sistem pertahanan udara, S-400 yang dikategorikan oleh Washington sebagai  “platform pengumpulan perisikan” Russia.

Russia
S-400 “Triumf”

 

Pegawai kanan Amerika Syarikat percaya Russia akan menggunakan sistem pertahanan udara S-400 untuk mempelajari kemampuan terkini pesawat pejuang F-35 itu.

“Kebanyakkan daripada kekuatan F-35 itu terletak kepada kemampuan halimunannya (stealth),  jadi kemampuan untuk mengesan aspek halimunan itu menjejaskan keselamatan jangka panjang program F-35 itu. Kami hanya mahu menjaga aspek keselamatan jangka panjang program pesawat pejuang itu, ” menurut seorang pegawai kanan Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat. 

Bagaimanapun, Washington tidak bertindak terhadap Greek yang turut mengoperasikan sistem pertahanan udara S-300 buatan Russia, malah ia menawarkan pesawat pejuang F-35 kepada Athens yang bertindak membelinya. — DSA

Comments
Loading...