Greek Mahu Bangunkan Sistem “Iron Dome”. Bimbang Keupayaan Roket dan Dron Turkiye?
Bimbang terhadap ancaman serangan roket dan dron-dron daripada jiran terdekatnya Turkiye, kerajaan Greek bercadang membangunkan sistem pertahanan udara yang sama seperti “Iron Dome” dibangunkan oleh Israel.
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Bimbang terhadap ancaman serangan roket dan dron-dron daripada jiran terdekatnya Turkiye, kerajaan Greek bercadang membangunkan sistem pertahanan udara yang sama seperti “Iron Dome” dibangunkan oleh Israel.
Usaha membangunkan sistem pertahanan udara sama seperti “Iron Dome” itu telah dinyatakan oleh Menteri Pertahanannya Nikos Dendias baru-baru ini.
Mengambil inspirasi daripada konflik antara Israel dan Palestin serta di Ukraine, beliau berkata Greek memerlukan sistem pertahanan udara moden yang dapat mempertahankan ruang udaranya dairpada sebarang ancaman terutamanya pesawat dan dron.
Ukraine juga memohon supaya dibekalkan sistem pertahanan udara “Iron Dome” itu tetapi Israel enggan membekalkannya kerana mahu menjaga hubungan baik dengan Russia.
Greek memandang tinggi kemampuan sistem pertahanan udara “Iron Dome” yang menurutnya, berjaya mematahkan serangan-serangan roket serta dron berani mati yang dilancarkan oleh pejuang-pejuang Palestin dan Hezbollah.
“Negara (Greek) perlu melindungi dirinya sendiri, mengambilkira daripada konflik terkini, adalah satu keperluan untuk membangunkan sistem pertahanan udara anti-pesawat dan anti-dron,” kata beliau.
Keupayaan industri pertahanan Turkiye membangunkan pelbagai jenis dron nampaknya membimbangkan Greek yang kini berusaha bersungguh-sungguh untuk hendak membangunkan sistem pertahanan udara bagi menangani dron-dron itu.
Industri pertahanan Turkiye diperakui sebagai antara negara paling berjaya dalam pembangunan dron, dengan dron-dron keluarannya terbukti “battle-proven” dan berkesan di medan peperangan.
Dron-dron keluaran Turkiye seperti Bayraktar TB2 dan Anka serta dron-dron berani mati telah membuktikan keberkesanannya di medan peperangan.
Bukan sahaja dron, tetapi industri pertahanan negara Mediterranean itu turut membangunkan pelbagai jenis roket dan juga peluru berpandu ballistik jarak dekat (Short Range Ballistic Missile – SRBM) dipanggil “Tayfun.”
Ketika Turkiye melakukan ujian pelancaran pertama “Tayfun” pada Oktober 2022, ia telah menimbulkan kebimbangan dikalangan penganalisis tentera dan media-media Greek.
“Tayfun” boleh membedil sasaran sejauh 560km.
Mula digunakan oleh tentera Israel pada 2011, sistem pertahanan udara Iron Dome yang berkemampuan menembak jatuh sasaran udara pada jarak di antara 4km hingga 70km itu dibangunkan oleh syarikat pertahanan negara itu, Rafael.
Setiap satu bateri sistem pertahanan udara “Iron Dome” itu terdiri daripada tiga komponen iaitu radar yang mengesan kedatangan roket-roket musuh, keduanya adalah peluru berpandu (interceptor) “Tamir” yang akan menembak jatuh roket-roket musuh itu.
Komponen ketiga sistem pertahanan udara “Iron Dome” itu adalah sistem kawalan dan pemerintahannya yang disifatkan sebagai “otak” kepada sistem pertahanan udara itu dengan menghantar mesej daripada radar kepada peluru berpandu “Tamir” itu.
Tentera Israel mendakwa sistem pertahanan udara “Iron Dome” itu amat berkesan dengan kejayaan memintas 90 peratus daripada roket-roket yang dilancarkan terhadap bandar-bandar utama Israel sejak sistem itu diperkenalkan pada 2011 itu.
Namun sistem pertahanan udara “Iron Dome” itu bukanlah sistem yang murah untuk dioperasikan memandangkan sebutir peluru berpandu “Tamir” itu dipercayai berharga US$50,000 (RM239,000).
Oleh kerana sistem pertahanan udara “Iron Dome” itu adalah amat mahal, maka kerajaan Israel telah meminta Amerika Syarikat untuk membiayai sebahagian daripada kos pembangunan sistem pertahanan udara itu.
Laporan daripada pihak Kongres Amerika Syarikat menyatakan bahawa negara itu telah membelanjakan US$3 billion (RM14.3 bilion) kepada pembangunan bateri Iron Dome, peluru berpandunya, kos produksi bersama dan penyelenggaran. — DSA