Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Iran Akan Mula Terima Pesawat Pejuang Su-35 Dari Russia Mulai Minggu Depan – Laporan

Penerimaan pesawat-pesawat Su-35 "Flanker E" yang merupakan pesawat pejuang generasi 4.5 daripada Russia itu akan meningkatkan kemampuan Tentera Udara Iran dengan mendadak, yang selama ini terpaksa bergantung kepada pesawat—pesawat pejuang berusia dalam mempertahankan ruang udaranya.

0 16,904

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Iran dilaporkan akan mula menerima kumpulan pertama pesawat-pesawat Sukhoi Su-35 daripada Russia pada minggu depan, sekaligus meningkatkan lagi kemampuannya tentera udaranya dalam menangani potensi serangan udara daripada “musuh-musuhnya” seperti Israel dan Amerika Syarikat.

Agensi berita negara itu, Student News Network (SNN) dalam laporannya hari ini berkata Teheran akan menerima pesawat pertama daripada 24 buah pesawat Su-35 “Flanker-E” daripada Russia pada minggu depan.

Penerimaan pesawat-pesawat Su-35 “Flanker E” yang merupakan pesawat pejuang generasi 4.5 daripada Russia itu akan meningkatkan kemampuan Tentera Udara Iran dengan mendadak, yang selama ini terpaksa bergantung kepada pesawat—pesawat pejuang berusia dalam mempertahankan ruang udaranya.

Selain pesawat pejuang seperti MiG-29, Tentera Udara Iran masih lagi menggunakan pesawat-pesawat pejuang buatan Amerika Syarikat seperti F-5, F-4 Phantom dan F-14 Tomcat yang diperolehi oleh negara itu ketika ia diperintah oleh Shah Iran sebelum tercetusnya Revolusi Islam pada 1979.

Minggu lepas, media Amerika Syarikat “The Washington Post” yang memetik sumber-sumber perisikan menyatakan bahawa Russia akan memindahkan kepada kepada Iran sistem-sistem pertahanan udara yang lebih canggih seperti S-400 “Triumf” kepada Iran.

Su-35
Pesawat pejuang Su-35

 

Moscow sebagaimana dinyatakan oleh media berpengaruh Amerika Syarikat itu juga akan mula menghantar pesawat-pesawat pejuang Su-35 kepada Iran tidak lama lagi.

Kedua-dua usahanya ini adalah usaha Russia untuk membantu Iran meningkatkan lagi sistem pertahanan udaranya bagi berhadapan dengan kemungkinan serangan-serangan udara oleh Amerika Syarikat dan Israel.

 Beberapa hari lalu, Defence Security Asia melaporkan bahawa Russia telah menawarkan kepada Teheran sistem pertahanan udara canggih, S-400 “Triumf” yang berkemampuan meningkatkan keupayaan negara Parsi itu untuk mengekang serangan udara daripada Israel dan Amerika Syarikat.

Moscow dilaporkan telah menjemput delegasi daripada Iran pada bulan lepas untuk melawat pelbagai kemudahan pembuatan senjatanya termasuk kemudahan syarikat yang membina beberapa komponen penting sistem pertahanan udara S-400.

Delegasi yang terdiri daripada 17 orang pegawai kanan Iran itu telah dibawa melawat kemudahan milik syarikat START NPP yang terletak di bandar Yekaterinburg yang terlibat dalam pembuatan komponen-komponen kritikal untuk sistem pertahanan udara S-400.

Iran
F-4 Phantom milik Iran

 

Sistem pertahanan udara S-400 sememangnya amat digeruni oleh dunia Barat kerana kemampuannya untuknya untuk mengesan dan memusnahkan sasaran udara termasuk pesawat-pesawat pejuang yang dikategorikan sebagai halimunan seperti F-35.

Sistem pertahanan udara S-400 itu berkemampuan menembak jatuh sasaran udara sejauh 400km.

Beberapa varian sistem pertahanan udara S-400 itu dilengkapi dengan radar berkuasa tinggi yang boleh menewaskan teknologi halimunan yang digunakan oleh pesawat-pesawat pejuang seperti F-35 serta pesawat pengebom.

 Timbalan Menteri Pertahanan Iran Brig Jen Mahdi Farahi dilaporkan berkata pada November tahun lepas bahawa negara itu telah memuktamadkan perjanjian dengan Russia untuk memperolehi pesawat pejuang Su-35 dan helikopter tempur Mil Mi-28 “Havoc”.

Iran telah pun memperolehi pesawat pejuang ringan merangkap pesawat FLIT (Fighter Lead-In Trainer) Yak-130 “Mitten” buatan Russia pada September tahun lepas.

S-400
S-400 “Triumf”

 

Pesawat latihan Yak-130 “Mitten” itu akan membolehkan Iran melatih juruterbang-juruterbangnya mengendalikan pesawat pejuang generasi 4+++ seperti Su-35 dan juga pesawat pejuang generasi kelima seperti Su-57 “Felon.”

Pada mulanya, kesemua 24 buah pesawat pejuang Su-35 sepatutnya dimiliki oleh Mesir, tetapi Kaherah membatalkan pembelian pesawat pejuang itu selepas ia diancam oleh Amerika Syarikat akan dikenakan sekatan ekonomi dibawah CAATSA sekiranya ia meneruskan pembelian pesawat Russia itu.

Selepas Mesir membatalkan pembelian pesawat Su-35 itu, Russia bertindak menjual pesawat itu kepada Iran.

Penerimaan pesawat pejuang generasi 4.5 buatan Russia, Su-35 “Flanker E” itu berkemungkinan adalah sebahagian daripada “habuan” terhadap bantuan ketenteraan yang diberikan oleh Iran kepada Russia bagi membantu kempen ketenteraannya di Ukraine.

Teheran telah membekalkan ribuan dron-dron berani mati “Shahed-136” dan terkini, peluru-peluru berpandu ballistik kepada Russia yang menggunakannya untuk membedil infrastruktur dan kedudukan tentera Ukraine.

Iran
Pesawat latihan lanjutan Yak-130 “Mitten” milik Iran

 

Menurut pemerhati ketenteraan di Timur Tengah, penerimaan pesawat-pesawat Su-35 oleh Iran itu dijangka akan membantu sedikit-sebanyak usaha Teheran untuk membangunkan tentera udaranya yang pada masa ini terpaksa bergantung kepada pesawat-pesawat pejuang yang telah berusia.

Pada ketika ini, Tentera Udara Iran masih lagi bergantung kepada pesawat-pesawat lama buatan Amerika Syarikat seperti F-4 Phantom, F-14 Tomcat dan F-5 yang diperolehi ketika Iran masih berada di bawah pemerintahan Shah Iran yang pro-Barat.

Pemerintahan Shah Iran tumbang dalam satu revolusi pada 1979 dan diambilalih oleh Ayatollah Khomeini.

Selain pesawat-pesawat buatan Russia dan Amerika Syarikat, Tentera Udara Iran turut mengoperasi pesawat-pesawat pejuang lama buatan Perancis dan China. — DSA

Iklan

 

Comments
Loading...