Helikopter Pelbagai-Misi T625 “Gokbey” Dipasang Di Malaysia?
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Turkish Aerospace Industries (TAI) Prof. Temel Kotil ketika menghadiri DSA 2022 di Kuala Lumpur tahun lepas memberitahu media tempatan bahawa syarikat itu bersedia memasang helikopter T625 "Gokbey" di Malaysia, yang bakal menjadi kemudahan seumpamanya yang pertama di luar Turki.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kerajaan Negeri Sembilan berharap Memorandum Persefahamanya (MoU) dengan Turkish Aerospace Industries (TAI) yang ditandatanganinya tahun lepas untuk membangunkan Lembah Aeroangkasa Negeri Sembilan (NSAV)di negeri itu akan dapat direalisasikan pada akhir tahun ini.
Selain itu, terdapat juga perancangan oleh TAI untuk memasang helikopter dan pesawat ringan serta pesawat tanpa pemandu oleh syarikat Korea Selatan di NSAV.
“Sebelum ini kita menerima persetujuan daripada Turkish Aerospace Industries (TAI) untuk memasang helikopter dan sekarang ini dalam perbincangan dengan syarikat dari Korea Selatan untuk memasang light aircraft (pesawat ringan) dan dron.

“Kita akan melihat perkembangan tentang hasrat mereka itu untuk melabur di negeri ini dan pembangunan di NSAV berjalan sangat baik,” kata Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek kepada media tempatan baru-baru ini.
Menurutnya, seramai 100 jurutera tempatan sedang menjalani latihan di Ankara, Turkiye (berkemungkinan di kemudahaan TAI) sejak enam bulan lepas sebagai persiapan untuk menyediakan tenaga kerja yang dalam operasi berkaitan aeroangkasa.
Kajian kebolehlaksanaan kata Mohamad Rafie, menunjukkan NSAV akan dapat menarik pelaburan sebanyak RM104 bilion dan mewujudkan 32,000 peluang pekerjaan menjelang tahun 2039.
“Terdapat kawasan tanah luas yang berpotensi untuk dibangunkan sebagai hab aeroangkasa. Jumlah keluasan tanah adalah lebih kurang 6,474.9 hektar (16,000 ekar) yang 10 kali lebih besar dari Toulouse Aerospace Valley. NSAV juga disambungkan melalui lapangan terbang utama dan pelabuhan utama negara,” katanya.
Jikalau hasrat TAI untuk memasang helikopter di NSAV itu menjadi realiti, helikopter apakah yang dipasang di Malaysia itu?
Helikopter yang menjadi pilihan TAI untuk dipasang di Malaysia adalah helikopter pengangkut bersaiz sederhana (medium lift helicopter) pelbagai-misi (multi-mission) untuk operasi awam dan tentera dipanggil T625 “Gokbey”.
Malah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TAI Profesor Temel Kotil ketika menghadiri DSA 2022 tahun lepas menyatakan bahawa syarikat itu bersedia memasang helikopter T625 “Gokbey” di Malaysia, yang bakal menjadi kemudahan pemasangan seumpana yang pertamanya di luar Turki.
Comments are closed.