Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

150 Ribu Roket Dalam Simpanan, Hezbollah Buat Israel “Gerun”

Israel dilihat lebih berhati-hati dalam tindakbalas terhadap serangan roket dari selatan Lubnan ke utara negara itu kerana ia tidak mahu mencetuskan konflik yang lebih buruk sehingga memaksa ia berhadapan dengan musuh ketatnya, Hezbollah yang dilaporkan kini lebih berkeupayaan dengan pemilikan sehingga 150,000 buah roket dalam simpanannya serta pegangan pelbagai sistem persenjataan lain.

0 2,353

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Walaupun pesawat-pesawat pejuang dan meriam tentera Israel melakukan serangan terhadap lokasi-lokasi pelancaran roket kumpulan militan di selatan Lubnan, namun Tel Aviv dilihat lebih berhati-hati dalam responsnya kali ini.

Menurut penganalisis, Israel dilihat lebih berhati-hati dalam responsnya terhadap kumpulan militan di Lubnan terutamanya Hezbollah berbanding tindakbalas terhadap Hamas dan kumpulan bersenjata lain Gaza.

Walaupun melakukan serangan balas terhadap serangan roket daripada selatan Lubnan, tetapi Israel enggan terlalu “keras” dalam tindakannya supaya ia tidak mencetuskan konflik yang lebih besar, sehingga memaksanya berdepan dengan seterunya iaitu Hezbollah.

Hezbollah
Anggota Hezbollah

 

Mengapa ia lebih berhati-hati dalam tindakannya di Lubnan kali ini?

Salah satu sebabnya adalah, Hezbollah yang bakal dihadapinya sekira keadaan pada ketika ini menjadi lebih buruk, bukanlah Hezbollah yang ia cuba tewaskan dalam konflik bersenjata terakhir antara mereka pada tahun 2006 yang juga dipanggai “The Second Lebanon War 2006”.

Menurut badan pemikir,Center for Strategic and International Studies (CSIS), tidak dapat dinafikan Hezbollah adalah kumpulan bersenjata (non-state actor) paling lengkap di dunia pada ketika ini.

“Mereka (Hezbollah) bukan seperti kumpulan-kumpulan militia sembarangan kerana dilatih dan dilengkapi seperti sebuah angkatan tentera sesebuah negara.”

Kekuatan utama Hezbollah terdiri daripada sistem roket darat-ke-darat.

Hezbollah
Roket Zelzal-1 turut dimiliki oleh Hezbollah.

 

Walaupun sistem roket dimiliki oleh oleh kumpulan militan pro-Iran itu tidak berapa tepat,namun disebabkan bilangan roket yang dimiliknya adalah amat besar,  ia menjadikan senjata yang menggerunkan Israel dan rakyatnya berkemungkinan menjadi sasaran.

Menurut laporan-laporan perisikan dan media Israel, ketika konflik bersenjata antara Israel dan Hezbollah pada 2016, kumpulan bersenjata itu dipercayai memiliki sekitar 15,000 roket dan peluru berpandu.

Sepanjang 34 hari konflik pada 2006 itu, Hezbollah telah melancarkan 4,000 roket terhadap Israel .

“Bagaimanapun sejak berakhirnya konflik pada 2006 itu, Hezbollah telah mempertingkatkan kekuatannya terutamanya pemilikan roket-roket yang semakin canggih dan kini dipercayai memiliki di antara 130,000 hingga 150,000 buah roket pelbagai jenis dalam simpannya,” kata badan penyelidik itu.

Antara jenis-jenis roket yang dimiliki oleh Hezbollah termasuklah Katyusha, Fajr-1, Falaq 1,Falaq 2, Shahin-1, Type-81, Fajr-3,Fajir-5, Raad-2,Raad-3, Khaibar-1, Zelzal-1, Zelzal-2, Fateh-110 dan Scud B, C, D.

Hezbollah

Menurut CSIS lagi, pelancaran roket-roket menggunakan sistem pelancar bergerak daripada celah-celah bangunan atau semak-samun di selatan Lubnan terhadap penempatan penduduk Israel di utara negara itu menyukarkan tindakan tentera Israel itu yang bergantung kepada kekuatan udaranya.

Ketidakupayaan memusnah infrastruktur ketenteraan Hezbollah menerusi serangan udara semata-mata memaksa tentera Israel menggunakan tentera daratnya untuk cuba memusnahkan “infrastruktur keganasan” kumpulan pimpinan Hassan Nasrallah di selatan Lubnan itu dan senario serangan darat yang sememangnya dimahukan oleh kumpulan bersenjata terbabit.

Sebagaimana yang telah pun dibuktikan oleh Hezbollah pada 2006, walaupun memiliki pasukan armor yang jitu, namun Israel berhadapan dengan kesukaran untuk menumpaskan Hezbollah dalam pertempuran di darat.

Di darat, unit-unit kecil anggota Hezbollah yang menunggang motosikal atau kenderaan pikap dan dilengkapi dengan dengan senjata anti-kereta kebal seperti Kornet-E, Metis-M atau RPG-29 “Vampir” bersedia memburu kereta-kereta kebal dan perisai tentera Israel sebaik sahaja mereka menyeberangi sempadan.

Senjata anti-kereta kebal Hezbollah yang lain termasuklah AT-3 “Sagger”,AT-4 “Spigot” dan AT-5 “Spandrel.”

Hezbollah

Jikalau di udara, tentera Israel menjadi “pemburu” tetapi di darat, mereka pula diburu oleh anggota Hezbollah.

Tentera Israel tidak mempunyai jawapan kepada taktik peperangan tidak simetri yang digunakan oleh Hezbollah, menggunakan pengetahuan mendalam mereka tentang keadaan persekitaran di selatan Lubnan sebagai kelebihan dan kekuatan mereka.

Menurut komander-komander kereta kebal Israel pada konflik 2006, unit-unit peluru berpandu anti-kereta kebal Hezbollah berjaya menyebabkan kerosakan dan kemusnahan kira-kira 20 peratus daripada serangan dilakukan oleh kumpulan bersenjata itu.

Serangan pejuang Hezbollah berjaya mengenai 50 kereta kebal Merkava Israel, dengan 21 daripada daripada kereta kebal yang dikatakan terbaik di di dunia itu musnah dibedil.

“Hezbollah juga menggunakan peluru-peluru berpandu anti-kereta kebal untuk memusnahkan bangunan dan kubu-kubu menempatkan anggota tentera Israel pada konflik bersenjata yang berlaku pada 2006 itu,” kata CSIS.

Hezbollah
Kereta kebal “Merkava” musnah selepas dibedil oleh Hezbollah.

 

Menurut penganalisis, lebih banyak anggota tentera darat Israel terbunuh akibat serangan peluru berpandu Hezbollah daripada pertempuran-pertempuran lain.

Semasa di bertempur dengan kumpulan pengganas ISIS di Syria dan Iraq, Hezbollah juga telah menggunakan peluru berpandu anti-kereta kebal dengan jayanya untuk menangani kenderaan-kenderaan dilengkapi bahan letupan yang digunakan oleh kumpulan pengganas itu.  

Selain peluru berpandu anti-kereta kebal,Hezbollah juga dilengkapi dengan sistem peluru berpandu anti-kapal C-802 dan Yakhont.

Hezbollah juga dikatakan memiliki sistem pertahanan udara terutamanya sistem MANPADS seperti SA-7 Grail (Strela) dan SA-16 Gimlet (Igla), tetapi terdapat juga laporan mendakwa kumpulan bersenjata itu kini dilengkapi dengan sistem pertahanan udara BUK-M2 dan juga Pantsir untuk pertahana udara jarak sederhana.

Hezbollah
Kereta kebal “Merkava” ketika konflik 2006.

 

Jikalau benar bahawa Hezbollah kini memiliki sistem pertahanan udara jarak sederhana, ini akan membuatkan pesawat-pesawat pejuang Israel untuk terbang lagi tinggi, menyukarkan lagi kempen udaranya untuk memusnahkan kumpulan bersenjata itu.

Jikalau itulah senarionya, maka mahu tidak mahu Israel terpaksa menghantar tentera daratnya ke selatan Lubnan untuk berhadapan dengan Hezbollah, suatu prospek yang Tel Aviv mahu elakkan kerana ia sedar lawannya itu kini semakin berkeupayaan dan jauh lebih sukar untuk ditundukkan berbanding 2006.

Laporan daripada Tel Aviv juga menyatakan bahawa terdapat “pertelingkahan pendapat” di antara agensi perisikan Israel, Mossad dengan tentera Israel mengenai respons mereka terhadap Hezbollah.

Mossad mahu tindakan ketenteraan yang lebih keras dikenakan terhadap Hezbollah, tetapi perkara itu dibantah oleh tentera Israel.– DSA

apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...