TUDM Beri “Petunjuk” Ia Mahukan Pesawat FA-50, Dakwa Laman Web
Laporan laman web perniagaan itu telah menimbulkan persoalan tentang dakwaan syarikat pembuat pesawat “Tejas”, Hindustan Aeronautics Ltd (HAL) bahawa pesawat miliknya itu bakal dipilih oleh TUDM.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sebuah laman web perniagaan, “Global Business Press (GBP)” mendakwa Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah memberikan “petunjuk” bahawa Malaysia berkemungkinan memilih pesawat FA-50 yang dibangunkan oleh Korea Aerospace Industries (KAI) bagi memenuhi keperluan bagi pesawat latihan lanjutan dan pejuang ringan untuknya.
Ia sekaligus menafikan dakwaan oleh syarikat pembuat pesawat “Tejas”, Hindustan Aeronautics Ltd (HAL) baru-baru ini bahawa pesawat miliknya itu bakal dipilih oleh TUDM untuk memenuhi keperluan FLIT/LCA (Fighter Lead-In Trainer/Light Combat Aircraft).
Media-media India juga mendakwa bahawa Malaysia hampir untuk memilih “Tejas” sebagai pesawat FLIT/LCA pilihannya disebabkan faktor harga, kecanggihan serta komitmen HAL untuk membantu membekalkan alat ganti bagi pesawat-pesawat Su-30MKM TUDM.
“Panglima TUDM Jeneral Asghar Khan Goriman Khan telah menunjukkan minat yang mendalam terhadap pesawat FA-50 berbanding pesawat-pesawat lain (yang bersaing) kerana ia adalah mampu milik dan pesawat moden supersonic yang berkesan,” menurut seorang pegawai TUDM yang enggan dikenali kepada laman web perniagaan itu.
Perjanjian pembelian pesawat FA-50 dijangka bakal direalisasikan sekiranya kerajaan yang memerintah Malaysia pada ketika ini dipilih semula pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang ini.
Kerajaan dijangka membubarkan Parlimen untuk mengadakan PRU ke-15 pada bila-bila masa sebelum tempoh lima tahun berakhir pada Julai tahun depan.
Laman web perniagaan itu juga mendakwa bahawa Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein dilihat berminat untuk memperolehi pesawat pejuang buatan Korea Selatan selepas beliau menyifatkan pesawat itu sebagai “platform yang boleh diharap berdasarkan kepada reputasinya yang baik.”
Sementara itu seorang pegawai kanan syarikat KAI yang enggan mendedahkan identitinya pula dipetik sebagai berkata oleh laman web perniagaan itu bahawa Malaysia dan syarikat aeroangkasa Korea Selatan sedang mengadakan perbincangan mengenai perolehan pesawat itu.
“Malaysia sedang mengadakan perbincangan lanjutan dengan kita (Korea Selatan). Kedua-dua negara percaya bahawa kerjasama dua hala di dalam bidang industri pertahanan boleh menjadi simbol kepada kepercayaan di antara satu sama lain dan kerjasama strategik yang utuh.”
Menteri Pertahanan kedua-dua negara, Hishammuddin dan Suh Wook bertemu secara maya pada April lepas dengan Kementerian Pertahanan Malaysia dan Korea Selatan turut menandatangi memorandum persefahaman dalam bidang pertahanan.
Menteri Pertahanan Korea Selatan itu menurut laman web berkenaan turut tidak melepaskan peluang untuk mempromosi pesawat FA-50 kepada rakan sejawatnya daripada Malaysia itu.
“Pesawat FA-50 sememangnya akan memberikan kelebihan kepada Malaysia,” menurut pegawai kanan syarikat KAI itu.
Pesawat FA-50 yang dibangunkan dalam negara oleh KAI bakal menggantikan pesawat F-5 dan Phantom milik Tentera Udara Korea Selatan yang telah berusia.
Pesawat FA-50/T-50 yang dibangunkan oleh KAI itu turut digunakan oleh beberapa negara serantau seperti Thailand, Indonesia, Thailand serta Iraq dan Tentera Udara Korea Selatan sendiri.
Laporan oleh Defence Security Asia sebelum ini menyatakan bahawa KAI telah menawarkan varian terkini dan paling berkemampuan iaitu FA-50 Block 20 kepada Malaysia.
Pesawat FA-50 Block 20 yang ditawarkan oleh KAI kepada Malaysia secara amnya dilengkapi dengan pelbagai kelengkapan canggih seperti “Sniper Advance Targeting Pod,” 20mm gun, kemampuan melancarkan peluru berpandu udara-ke-udara AIM-9, GBU-12 LGB Integration, GBU-38 JDAM (Joint Direct Attack Munitions) dan peluru berpandu AGM-65 Maverick.
Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store:
Selain itu, pesawat FA-50 Block 20 itu juga akan dilengkapi dengan kemudahan Air-To-Air Refuelling Probe (AAR Probe) untuk melakukan pengisian minyak di udara dan Link 16 Block Upgrade 2.
Kemudahan AAR Probe itu akan memastikan pesawat FA-50 Block 20 itu berkemampuan beroperasi pada jarak yang lebih jauh dan lebih lama.
Selain itu katanya, terdapat juga opsyen untuk kerja-kerja menaiktaraf yang boleh dilakukan pada masa depan kerana perkara yang akan dinaiktaraf itu masih di dalam proses pembangunan pada ketika ini oleh KAI.
Antaranya, termasuklah 300 gelen External Fuel Tanks dan kemampuan Beyond Visual Range (BVR) dalam bentuk peluru berpandu udara-ke-udara AIM-120 (AMRAAM).
Selain itu KAI juga menawarkan untuk mewujudkan kemudahan pemasangan akhir pesawat-pesawat FA-50 di Malaysia sekiranya negara menjadikan pesawat FLIT/LCA sebagai pilihannya. — DSA
Comments are closed.