Pesawat FA-50 Dengan Peluru Berpandu Kruis “Mini Taurus”
Kejayaan mengintegrasikan peluru berpandu cruise “Mini Taurus” kepada pesawat FA-50 "Fighting Eagle" bakal memberikan kemampuan stand-off kepada pesawat pejuang ringan yang sedang ditawarkan kepada Tentera Udara Diraja Malaysia bagi program perolehan pesawat FLIT/LCA.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Beberapa tahun lepas, media-media di Korea Selatan melaporkan bahawa Tentera Udara Korea Selatan sedang mengkaji tentang kemungkinan untuk mengoperasi varian peluru berpandu cruise dipanggil “Taurus KEPD” pada pesawat FA-50 Fighting Eagle yang digunakan oleh tentera udara negara itu.
Sebagaimana yang kita tahu, pesawat FA-50 yang dibangunkan oleh Korea Aerospace Industries (KAI) turut merupakan salah satu pesaing dalam tender Kementerian Pertahanan untuk 18 buah pesawat Fighter Lead-In Trainer/Light Combat Aircraft (FLIT/LCA) bagi TUDM.
Untuk lebih tepat, KAI menawarkan varian pesawat FA-50 Block 20 kepada TUDM.
Korea Selatan telah pun memperolehi kira-kira 180 buah peluru berpandu cruise “Taurus KEPD” yang dibangunkan secara bersama oleh firma pertahanan Jerman, Taurus Systems dan Saab Group daripada Sweden.
Hasil daripada perolehan “Taurus KEPD” itu, maka Korea Selatan turut memperolehi beberapa teknologi peluru berpandu itu yang membolehkannya membangunkan varian peluru berpandu itu untuk digunakan oleh pesawat FA-50 miliknya serta pesawat-pesawat pejuang lain.
Tentera Udara Korea Selatan menggunakan “Taurus KEPD” untuk pesawat-pesawat pejuang F-15, F-16 dan KF-21 “Boramae” miliknya.
Untuk memastikan pesawat FA-50 miliknya yang saiznya lebih kecil dapat menggunakan peluru berpandu cruise itu, Korea Selatan hasil pemindahan teknologi telah mengubahsuai untuk membangunkan peluru berpandu cruise berasaskan kepada “Taurus KEPD” yang dipanggil “Mini Taurus.”
Peluru berpandu ‘’Mini Taurus” atau designasi teknikalnya, “Taurus 350K-2” adalah kira-kira 0.7 meter pendek dan 300kg lebih ringan berbanding “Taurus KEPD”
Namun, walaupun lebih kecil dan lebih ringan tetapi peluru berpandu cruise “Mini Taurus” masih boleh membedil sasaran sejauh 400km dengan mengekalkan kelajuan sebagaimana peluru berpandu “Taurus KEPD.”
Kejayaan mengintegrasikan peluru berpandu cruise “Mini Taurus” kepada pesawat FA-50 “Fighting Eagle” bakal memberikan kemampuan stand-off kepada pesawat pejuang ringan yang sedang ditawarkan kepada Tentera Udara Diraja Malaysia bagi program perolehan pesawat FLIT/LCA.
Setiap sebuah pesawat FA-50 mampu membawa dua buah peluru berpandu “Mini Taurus.”
Bagaimanapun peluru berpandu “Mini Taurus” ini difahamkan masih lagi di dalam proses pembangunan dan dijangka akan hanya dioperasikan oleh Tentera Udara Korea Selatan dalam pertengahan tahun ini.
Comments are closed.