Tentera Udara Filipina Sahkan Hanya 5 Pesawat FA-50 Miliknya “Boleh Terbang”
Timbalan Panglima Tentera Udara Filipina Mej Jen Arthur Cordura berkata tahap kesiapsiagaan (readiness) pesawat pejuang ringan FA-50 milik negara itu hanya berada pada tahap 40 peratus pada ketika ini.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – – Tentera Udara Filipina mengesahkan bahawa hanya lima daripada 12 buah pesawat pejuang ringan FA-50 miliknya “boleh terbang” pada masa ini manakala selebihnya tidak boleh beroperasi disebabkan oleh masalah perolehan alat ganti dan penyelenggaran berkala.
Timbalan Panglima Tentera Udara Filipina Mej Jen Arthur Cordura yang mengesahkan perkara itu pada sesi pendengaran Senat berkata hanya lima daripada 12 buah pesawat FA-50 miliknya boleh dikerah ke medan sekiranya diperlukan.
Beliau berkata tahap kesiapsiagaan (readiness) 12 buah pesawat pejuang ringan FA-50 milik negara itu hanya berada pada tahap 40 peratus pada ketika ini.
“Daripada tujuh buah pesawat FA-50 yang tidak boleh beroperasi pada ketika ini, dua daripadanya sedang menjalani penyelenggaraan berkala dan akan kembali beroperasi pada suku keempat pada tahun ini. Pesawat-pesawat lain sedang menunggu bekalan alat ganti.”
” Kesimpulannya, sekurang-kurangnya 10 pesawat FA-50 akan kembali beroperasi di dalam tempoh setahun, ” kata beliau.
Timbalan Panglima Tentera Udara Filipina itu menjelaskan bahawa pandemik COVID-19 telah menjejaskan jadual penghantaran bekalan alat ganti dan tahap kesiapsiagaan pesawat juga terjejas akibat ” cabaran-cabaran” di dalam perolehan serta penggunaan pesawat dalam krisis tidak dijangka seperti konflik di Marawi.
Pesawat pejuang ringan FA-50 disifatkan sebagai “game changers” ketika konflik di Marawi pada 2017 di antara tentera kerajaan dengan kumpulan militan Islamic State.
Pegawai-pegawai kanan keselamatan Filipina mengatakan bahawa konflik di Marawi itu berkemungkinan akan berlanjutan lebih lama sekiranya pesawat FA-50 tidak memberikan bantuan serangan udara terhadap kedudukan anggota militan terbabit.
Rakyat Filipina dapat melihat lima buah pesawat FA-50 yang masih beroperasi pada 25 Sept ketika mereka mengiringi kepulangan pesawat membawa presiden negara itu, Ferdinand Marcos Jr daripada menghadiri Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York.
Selain pesawat-pesawat pejuang ringan FA-50, Tentera Udara Filipina turut bercadang memperolehi 12 buah pesawat pejuang pelbagai guna (multi role combat aircraft) untuk operasi pertahanan udara dan pemintasan.
Filipina dijangka memilih di antara F-16 dengan Gripen untuk memenuhi keperluan pesawat pejuang pelbagai guna untuk tentera udaranya.
Kesemua 12 buah pesawat FA-50 milik Tentera Udara Filipina diperolehi ketika pemerintahan bekas Presiden Benigno Aquino, dengan penghantaran dilakukan diantara 2015 hingga 2017.
JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE
Filipina memperolehi pesawat itu untuk tujuan latihan juruterbang-juruterbang baru serta peralihan kepada pesawat yang lebih laju seperti pesawat pejuang pelbagai guna seperti F-16.
Beberapa hari lepas, jurucakap Tentera Udara Filipina Kolonel Maria Consuela Castillo mengakui masalah yang dihadapi telah menjejaskan operasi pertahanan udara tetapi memberi jaminan bahawa Tentera Udara masih menjalankan misi-misi yang telah ditetapkan. – – DSA
Jom!!!! follow Twitter, Telegram, Facebook dan download Apps Defence Security Asia di Google Playstore
Comments are closed.