Adakah Pesawat FA-50M TUDM Dilengkapi Peluru Berpandu AMRAAM?
Salah satu persoalan yang kerap ditanya adalah – adakah pesawat FA-50 Block 20 yang bakal dimiliki oleh TUDM itu akan dilengkapkan dengan peluru berpandu udara-ke-udara Beyond Visual Range (BVR) AIM-120 AMRAAM yang dibangunkan oleh syarikat Raytheon?
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sebagaimana yang telah pun diumumkan sebelum ini, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan memiliki 18 buah pesawat pejuang ringan (Light Combat Aircraft) FA-50 Block 20 yang dibangunkan oleh Korea Aerospace Industries (KAI).
TUDM dijangka mula menerima kumpulan pertama empat buah pesawat itu pada akhir 2026 manakala selebih akan diterima secara berperingkat selepas itu.
Kesemua pesawat FA-50 Block 20 milik TUDM akan ditempatkan di Pangkalan Udara TUDM di Kuantan.
Salah satu persoalan yang kerap ditanya adalah – adakah pesawat FA-50 Block 20 yang bakal dimiliki oleh TUDM itu akan dilengkapkan dengan peluru berpandu udara-ke-udara Beyond Visual Range (BVR) AIM-120 AMRAAM yang dibangunkan oleh syarikat Raytheon?
Jawapannya adalah, pesawat pejuang ringan yang bakal dimiliki oleh Malaysia itu akan dilengkapkan dengan kemampuan untuk mengadaptasi peluru berpandu udara-ke-udara BVR seperti AIM-120 AMRAAM menerusi radar AESA dan Mission Computer miliknya yang baru.
Bagaimanapun perolehan pesawat FA-50 Block 20 itu tidak datang sekali dengan peluru berpandu udara-ke-udara yang berkeupayaan tinggi itu.
FA-50 Block 20 yang akan digunakan oleh TUDM, akan dilengkapi dengan radar AESA “PhantomStrike” keluaran firma pertahanan Raytheon Intelligence & Space daripada Amerika Syarikat.
Sebagaimana yang dilakukan oleh Poland, kerajaan perlu memohon dengan Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat untuk memperolehi peluru berpandu udara-ke-udara AMRAAM bagi dilengkapkan pada pesawat FA-50 Block 20 milik negara itu.
Hanya apabila Kongres Amerika Syarikat memberikan lampu hijau, barulah Jabatan Pertahanan negara itu boleh menjual peluru berpandu udara-ke-udara itu kepada kita.
Poland yang turut menempah varian FA-50 Block juga dikatakan sedang berusaha untuk mendapatkan kelulusan daripada Kongres Amerika Syarikat bagi memastikan pesawat pejuang mereka itu dilengkapkan dengan peluru berpandu udara-ke-udara AMRAAM.
Hanya apabila kita telah mendapat kelulusan untuk memperolehi peluru berpandu itu dan memperolehinya, barulah kita boleh memasang peluru berpandu AMRAAM itu di pesawat pejuang FA-50 Block 20 untuk misi-misi “air policing”.
Bagaimanapun, memandangkan TUDM telah pun memiliki peluru berpandu udara-ke-udara AMRAAM yang dilengkapkan pada pesawat pejuang F/A-18D, maka diharapkan usaha untuk memperolehinya bagi keperluan FA-50 Block 20 menjadi lebih mudah.
Kelulusan untuk memperoleh AMRAAM bagi dilengkapkan pada pesawat F/A-18D Hornet telah pun diperolehi beberapa tahun yang lalu,maka apa yang perlu dilakukan adalah dengan “memanjangkan” (extend) kelulusan itu untuk turut meliputi pesawat FA-50 Block 20 negara.
Kalau tak dapat AMRAAM, boleh juga pertimbangkan untuk mendapatkan peluru berpandu udara-ke-udara BVR yang lain seperti METEOR dibangunkan oleh MBDA, yang jarak maksimum mencecah 200km (110 Batu Nautika).
METEOR juga digunakan oleh pesawat pejuang Rafale dan Gripen.
Bagi keperluan peluru berpandu udara-ke-udara (jarak dekat), pesawat FA-50 Block 20 yang bakal dikenali juga sebagai FA-50M (untuk Malaysia) dijangka mengikut jejak langkah pesawat FA-50PL yang akan dilengkapi dengan peluru berpandu udara-ke-udara (jarak dekat) AIM-9L/M serta AIM-9X untuk misi-misi Air Policing jarak dekat.
Selain itu, laporan media antarabangsa juga menyatakan bahawa Poland akan turut dilengkapkan dengan “Korea GPS Guided Bomb” (KGGB) yang merupakan kit panduan glide udara-ke-darat yang dipasang pada bom general purpose Mk-82.
Kit itu telah dibangun oleh Agency for Defense Development dan syarikat Korea Selatan LIG Nex1.
Dengan pemasangan kit KGGB pada bom Mk-82 akan membolehkan ia bertukar kepada bom panduan GPS untuk membedil sasaran sejauh 103km.
Adakah TUDM juga akan melengkapkan pesawat FA-50M milik mereka itu bom KGGB, selain daripada JDAM? — DSA
DOWNLOAD APPS DEFENCE SECURITY ASIA
Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: [email protected]
Comments are closed.