Gambar Terkini FA-50M TUDM Didedahkan: Panglima Tentera Udara Lawat Kilang KAI Di Korea Selatan

Lawatan Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris ke fasiliti Korea Aerospace Industries di Sacheon memberi gambaran paling jelas setakat ini bahawa program perolehan pesawat FA-50M Malaysia sedang bergerak mengikut jadual, dengan integrasi sistem dan pembinaan pesawat kini memasuki peringkat akhir.

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris telah mengadakan lawatan kerja ke Korea Aerospace Industries (KAI) di Sacheon, Korea Selatan baru-baru ini bagi meninjau perkembangan projek perolehan pesawat FA-50M.

Menurut kenyataan media sosial TUDM, lawatan tersebut bertujuan menerima taklimat terkini berhubung status pelaksanaan projek serta kemajuan pembangunan pesawat FA-50M secara langsung daripada pasukan projek dan pihak pengeluar.

Kenyataan itu turut menyertakan beberapa keping gambar terkini pesawat FA-50M milik TUDM yang telah siap pembinaannya oleh KAI.

FA-50M
(kredit TUDM)

Taklimat yang diberikan oleh KAI itu merangkumi aspek pembangunan pesawat, integrasi sistem, serta perancangan jadual penghantaran bagi memastikan program perolehan dilaksanakan mengikut jadual yang telah ditetapkan.

“Sepanjang lawatan itu, Panglima Tentera Udara turut meninjau secara fizikal proses pemasangan pesawat dan integrasi sistem bagi pesawat FA-50M di fasiliti KAI.”

“Lawatan berkenaan memberi keyakinan terhadap tahap kemajuan projek serta komitmen pihak pengeluar untuk memastikan pesawat yang bakal diterima memenuhi keperluan operasi TUDM,” menurut kenyataan.

Panglima Tentera Udara juga mengadakan sesi perbincangan bersama pihak KAI berhubung potensi program naik taraf pesawat pada masa hadapan.

Perbincangan tersebut turut meneliti cabaran pelaksanaan projek serta langkah mitigasi yang perlu diambil bagi memastikan kelancaran program perolehan FA-50M.

Lawatan kerja ini mencerminkan komitmen berterusan Panglima Tentera Udara dalam memastikan setiap aspek pembangunan dan perolehan aset baharu TUDM dilaksanakan secara teliti, sistematik dan terancang.

Langkah itu juga selaras dengan Tonggak Pertama dan Kedua Perintah Ulung Panglima Tentera Udara, iaitu mencapai keupayaan serta kesiagaan tertinggi, di samping memastikan kemampanan aset pertahanan udara negara dalam menghadapi cabaran keselamatan semasa dan masa hadapan.

BACA: Malaysia Beri Fokus Program Perolehan FA-50M Fasa 2, Bakal Tambah Lagi 18 Buah FA-50M

Kementerian Pertahanan Malaysia dan KAI, syarikat pengeluar pesawat pejuang ringan FA-50 daripada Korea Selatan telah menandatangani perjanjian perolehan 18 buah FA-50M bernilai hampir RM4 bilion pada 2023.

TUDM bakal menerima kumpulan pertama enam buah pesawat pejuang ringan FA-50M pada akhir tahun ini, iaitu empat buah pada Oktober manakala dua buah lagi pada Disember, manakala 12 buah pesawat pejuang ringan buatan KAI itu akan diterima secara berperingkat pada tahun seterusnya.

FA-50M
(kredit TUDM)

Varian pesawat pejuang ringan FA-50M milik TUDM adalah yang paling moden dan berkeupayaan, berbanding dengan varian lain yang diperoleh negara lain termasuk Korea Selatan dan beberapa negara di Asia Tenggara.

Hanya varian pesawat pejuang ringan FA-50PL milik Poland adalah hampir sama dengan apa yang dimiliki oleh TUDM.

Antara perbezaan utama varian FA-50M milik Malaysia dengan varian FA-50 milik tentera-tentera udara negara lain adalah — pesawat pejuang ringan milik TUDM dan Tentera Udara Poland itu dilaporkan bakal dilengkapi dengan radar Active Electronically Scanned Array (AESA) “PhantomStrike” dan pelbagai komponen elektronik terkini serta peralatan mengisi minyak di udara.

Radar AESA PhantomStrike itu dibangunkan oleh firma pertahanan Amerika Syarikat, RTX.

Mengenai radar AESA yang menjadi pilihan pesawat pejuang ringan FA-50M TUDM itu, radar AESA PhantomStrike adalah memiliki kriteria Low Size, Weight and Power (SWaP).

Radar AESA itu direka untuk diintegrasikan kepada pelbagai platform termasuk pesawat pejuang ringan, pesawat berkepak, sistem pesawat tanpa pemandu dan menara-menara bagi memberikan kemampuan pengesanan dan penjejakan ancaman jarak jauh.

Radar AESA PhantomStrike menggunakan kuasa gallium nitride (GaN), digital beamforming dan steering, digital receiver/exciter, processor dipanggil Chirp yang telah dibangunkan oleh Raytheon Missiles & Defense.

RTX mendakwa bahawa radar AESA PhantomStrike memberikan keupayaan tinggi kepada penggunanya bagi membolehkan mereka tahap kesedaran yang tinggi terhadap apa yang berlaku di medan peperangan pada sebahagian daripada kos sistem radar tradisional.

Varian FA-50M yang bakal dimiliki oleh TUDM itu juga akan dilengkapi dengan kemampuan untuk melancarkan peluru berpandu dan bom berketepatan tinggi.

Pesawat FA-50M milik Malaysia juga akan dilengkapi dengan pod sasaran Sniper Advanced Targeting Pod (ATP) yang dibangunkan oleh firma pertahanan Amerika Syarikat, Lockheed Martin.

Pod sasaran Sniper ATP seberat kira-kira 200kg itu memberikan penggunanya kemampuan yang telah dinaiktaraf untuk mengesan dan mengenalpasti sasaran serta pengawasan berterusan untuk semua misi dilaksanakan termasuk bantuan rapat untuk pasukan-pasukan darat.

Sistem Sniper ATP merupakan pod sasaran yang telah terbukti kemampuannya di medan-medan peperangan yang disertai oleh Amerika Syarikat serta pelanggan luar termasuk pesawat-pesawat F-15E, F-16 (kesemua Blok), B-1, A-10C, Harrier GR7/9 dan F/A-18.

Kemampuan Sniper ATP untuk “plug and play” membolehkan ia digunakan oleh pelbagai platform tanpa perlu menukar software.

Antara kemampuan pod sasaran Sniper ATP termasuklah mid-wave Forward Looking Infrared (FLIR) definisi tinggi, HDTV, dual-mode laser, laser spot tracker, laser marker, video data link, digital data recorder.

Pod sasaran keluaran syarikat Lockheed Martin itu juga memiliki kemampuan untuk menjejak sasaran taktikal menerusi imagery real-time yang disalurkan kepada paparan di kokpit.

TUDM
(kredit TUDM)

Sniper ATP juga adalah sesuai untuk digandingkan dengan bom-bom “J-Series” yang terkini untuk digunakan terhadap sasaran bergerak dan sasaran kekal.

Penggunaan Sniper ATP oleh pesawat-pesawat FA-50M TUDM juga adalah baik untuk atas dasar Commonality dengan pesawat-pesawat F/A-18D Hornet milik negara yang juga akan dilengkapkan dengan pod sasaran Sniper ATP itu.

Januari lalu, Kementerian Pertahanan menyatakan ia akan memberikan fokus kepada perolehan lebih banyak pesawat pejuang ringan FA-50M dibawah program “FLIT-LCA (Fighter Lead-In Trainer-Light Combat Aircraft) Fasa 2, sebagai sebahagian daripada langkah permodenan armada tempur TUDM.

Dalam jawapan lisan Parlimen pada 22 Januari lalu kepada pertanyaan Onn Abu Bakar (Batu Pahat), Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah perolehan FLIT-LCA Fasa 2 adalah sebahagian daripada usaha untuk memastikan keperluan operasi jangka sederhana dan jangka panjang supaya Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dapat dipenuhi secara berperingkat dan terancang.

“Pendekatan yang sedang diberi perhatian termasuk mempercepatkan perancangan perolehan pesawat MRCA (Multi Role Combat Aircraft), iaitu pesawat pejuang serba guna yang boleh menjalankan pelbagai misi, dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13), serta memberi fokus kepada perolehan pesawat FLIT– LCA (Fighter Lead-In Trainer – Light Combat Aircraft) Fasa 2,” kata beliau dalam jawapan lisan itu.

Jawapan oleh Menteri Pertahanan itu seakan memberikan pengesahan bahawa negara akan meneruskan usaha menambah pesawat pejuang ringan FA-50, pada ketika terdapat spekulasi menyatakan bahawa TUDM dan KAI telah pun memulakan rundingan awal bagi melaksanakan program perolehan FA-50 Fasa 2.

BACA: KAI Berikan Komitmen Enam FA-50M Diserah Akhir Tahun Depan – Panglima TUDM

Dibawah Fasa 2, Kementerian Pertahanan dijangka memperolehi 18 buah lagi FA-50M untuk operasi TUDM membawa bilangan keseluruhan pesawat pejuang ringan buatan Korea Selatan itu kepada 36 buah.

Menurut Menteri Pertahanan, permodenan armada tempur TUDM dilaksanakan secara berperingkat melalui Pelan Pembangunan Keupayaan 2055 (CAP55) yang menjadi kerangka jangka panjang bagi menggantikan pesawat pejuang sedia ada.

Pihak TUDM katanya, turut mengenal pasti rancangan alternatif bagi memastikan kesinambungan keupayaan pertahanan udara negara tidak terjejas.

 

Leave a Reply