Malaysia Beri Fokus Program Perolehan FA-50M Fasa 2, Bakal Tambah Lagi 18 Buah FA-50M

Kenyataan Menteri Pertahanan di Parlimen mengesahkan fokus FLIT-LCA Fasa 2, mempercepat permodenan TUDM di tengah ketidaktentuan MRCA dan isu F/A-18C/D Kuwait

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kementerian Pertahanan akan memberikan fokus kepada perolehan lebih banyak pesawat pejuang ringan FA-50M dibawah program “FLIT-LCA (Fighter Lead-In Trainer-Light Combat Aircraft) Fasa 2, sebagai sebahagian daripada langkah permodenan armada tempur Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Kementerian Pertahanan dan Korea Aerospace Industries (KAI), syarikat pengeluar pesawat pejuang ringan FA-50 daripada Korea Selatan telah menandatangani perjanjian perolehan 18 buah FA-50 bernilai hampir RM4 bilion pada 2023.

TUDM bakal menerima kumpulan pertama enam buah pesawat pejuang ringan FA-50M pada akhir tahun ini, iaitu empat buah pada Oktober manakala dua buah lagi pada Disember, manakala 12 buah pesawat pejuang ringan buatan KAI itu akan diterima secara berperingkat pada tahun seterusnya.

FA-50
FA-50

Dalam jawapan lisan Parlimen pada 22 Januari lalu kepada pertanyaan Onn Abu Bakar (Batu Pahat), Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah perolehan FLIT-LCA Fasa 2 adalah sebahagian daripada usaha untuk memastikan keperluan operasi jangka sederhana dan jangka panjang supaya Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dapat dipenuhi secara berperingkat dan terancang.

“Pendekatan yang sedang diberi perhatian termasuk mempercepatkan perancangan perolehan pesawat MRCA (Multi Role Combat Aircraft), iaitu pesawat pejuang serba guna yang boleh menjalankan pelbagai misi, dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13), serta memberi fokus kepada perolehan pesawat FLIT– LCA (Fighter Lead-In Trainer – Light Combat Aircraft) Fasa 2,” kata beliau dalam jawapan lisan itu.

Jawapan oleh Menteri Pertahanan itu seakan memberikan pengesahan bahawa negara akan meneruskan usaha menambah pesawat pejuang ringan FA-50, pada ketika terdapat spekulasi menyatakan bahawa TUDM dan KAI telah pun memulakan rundingan awal bagi melaksanakan program perolehan FA-50 Fasa 2.

Dibawah Fasa 2, Kementerian Pertahanan dijangka memperolehi 18 buah lagi FA-50M untuk operasi TUDM membawa bilangan keseluruhan pesawat pejuang ringan buatan Korea Selatan itu kepada 36 buah.

Menurut Menteri Pertahanan, permodenan armada tempur TUDM dilaksanakan secara berperingkat melalui Pelan Pembangunan Keupayaan 2055 (CAP55) yang menjadi kerangka jangka panjang bagi menggantikan pesawat pejuang sedia ada.

Pihak TUDM katanya, turut mengenal pasti rancangan alternatif bagi memastikan kesinambungan keupayaan pertahanan udara negara tidak terjejas.

Mohamed Khaled berkata, perolehan pesawat Hornet F/A-18C/D terpakai dari Kuwait pernah dirancang sebagai langkah interim, namun ia kini berdepan ketidaktentuan berikutan isu tempoh penyerahan dan kesiapsiagaan teknikal.

“Sehubungan itu, Kementerian sedang menilai alternatif lain termasuk mempercepat penerimaan pesawat FA-50M serta merangka perancangan jangka panjang perolehan pesawat tempur generasi baharu bagi memastikan keupayaan pertahanan udara negara kekal berkesan dan berdaya saing,” katanya.

Varian pesawat pejuang ringan FA-50M milik TUDM adalah yang paling moden dan berkeupayaan, berbanding dengan varian lain yang diperoleh negara lain termasuk Korea Selatan dan beberapa negara di Asia Tenggara.

Hanya varian pesawat pejuang ringan FA-50PL milik Poland adalah hampir sama dengan apa yang dimiliki oleh TUDM.

Antara perbezaan utama varian FA-50M milik Malaysia dengan varian FA-50 milik tentera-tentera udara negara lain adalah — pesawat pejuang ringan milik TUDM dan Tentera Udara Poland itu dilaporkan bakal dilengkapi dengan radar Active Electronically Scanned Array (AESA) “PhantomStrike” dan pelbagai komponen elektronik terkini serta peralatan mengisi minyak di udara.

Radar AESA PhantomStrike itu dibangunkan oleh firma pertahanan Amerika Syarikat, RTX.

Mengenai radar AESA yang menjadi pilihan pesawat pejuang ringan FA-50M TUDM itu, radar AESA PhantomStrike adalah memiliki kriteria Low Size, Weight and Power (SWaP).

Radar AESA itu direka untuk diintegrasikan kepada pelbagai platform termasuk pesawat pejuang ringan, pesawat berkepak, sistem pesawat tanpa pemandu dan menara-menara bagi memberikan kemampuan pengesanan dan penjejakan ancaman jarak jauh.

Radar AESA PhantomStrike menggunakan kuasa gallium nitride (GaN), digital beamforming dan steering, digital receiver/exciter, processor dipanggil Chirp yang telah dibangunkan oleh Raytheon Missiles & Defense.

RTX mendakwa bahawa radar AESA PhantomStrike memberikan keupayaan tinggi kepada penggunanya bagi membolehkan mereka tahap kesedaran yang tinggi terhadap apa yang berlaku di medan peperangan pada sebahagian daripada kos sistem radar tradisional.

Varian FA-50M yang bakal dimiliki oleh TUDM itu juga akan dilengkapi dengan kemampuan untuk melancarkan peluru berpandu dan bom berketepatan tinggi.

Pesawat FA-50M milik Malaysia juga akan dilengkapi dengan pod sasaran Sniper Advanced Targeting Pod (ATP) yang dibangunkan oleh firma pertahanan Amerika Syarikat, Lockheed Martin.

Pod sasaran Sniper ATP seberat kira-kira 200kg itu memberikan penggunanya kemampuan yang telah dinaiktaraf untuk mengesan dan mengenalpasti sasaran serta pengawasan berterusan untuk semua misi dilaksanakan termasuk bantuan rapat untuk pasukan-pasukan darat.

Sistem Sniper ATP merupakan pod sasaran yang telah terbukti kemampuannya di medan-medan peperangan yang disertai oleh Amerika Syarikat serta pelanggan luar termasuk pesawat-pesawat F-15E, F-16 (kesemua Blok), B-1, A-10C, Harrier GR7/9 dan F/A-18.

Kemampuan Sniper ATP untuk “plug and play” membolehkan ia digunakan oleh pelbagai platform tanpa perlu menukar software.

Antara kemampuan pod sasaran Sniper ATP termasuklah mid-wave Forward Looking Infrared (FLIR) definisi tinggi, HDTV, dual-mode laser, laser spot tracker, laser marker, video data link, digital data recorder.

Pod sasaran keluaran syarikat Lockheed Martin itu juga memiliki kemampuan untuk menjejak sasaran taktikal menerusi imagery real-time yang disalurkan kepada paparan di kokpit.

Sniper ATP juga adalah sesuai untuk digandingkan dengan bom-bom “J-Series” yang terkini untuk digunakan terhadap sasaran bergerak dan sasaran kekal.

Penggunaan Sniper ATP oleh pesawat-pesawat FA-50M TUDM juga adalah baik untuk atas dasar Commonality dengan pesawat-pesawat F/A-18D Hornet milik negara yang juga akan dilengkapkan dengan pod sasaran Sniper ATP itu.

Sementara itu, hasrat Malaysia untuk memperoleh F/A-18C/D Hornet terpakai Kuwait pada asalnya dilihat sebagai satu peluang strategik yang jarang muncul, memandangkan pesawat tersebut masih mempunyai baki hayat operasi yang signifikan serta keserasian logistik yang tinggi dengan armada F/A-18D Hornet sedia ada TUDM.

Namun begitu, “peluang” ini semakin mengecil apabila Kuwait sendiri berdepan kelewatan ketara dalam proses peralihan kepada pesawat F/A-18E/F Super Hornet.

Menurut Panglima TUDM Datuk Seri Muhammad Norazlan Aris sebelum ini, ketetapan awal Kuwait adalah untuk hanya mempertimbangkan penjualan Hornet C/D selepas 12 hingga 18 bulan mereka menerima pesawat Super Hornet baharu, satu garis masa yang kini menjadi semakin kabur.

Sehingga hari ini, Kuwait masih belum menerima tarikh muktamad penyerahan pesawat Super Hornet mereka, sekali gus menyebabkan sebarang perancangan pelepasan F/A-18C/D terpakai tergantung tanpa kepastian.

Kelewatan ini berpunca daripada beberapa faktor utama termasuk penaiktarafan infrastruktur Pangkalan Udara Ahmed Al-Jaber, penyediaan ekosistem logistik baharu, serta latihan juruterbang dan kru penyelenggaraan untuk platform generasi lebih moden itu.

Kesemua 28 pesawat Super Hornet Kuwait—terdiri daripada 22 F/A-18E satu tempat duduk dan enam F/A-18F dua tempat duduk—sebenarnya telah siap dibina dan kini ditempatkan sementara di bawah jagaan Tentera Laut Amerika Syarikat.

Namun, ketiadaan kesediaan operasi di pihak Kuwait menjadikan pesawat tersebut sekadar “aset beku” yang tidak dapat diserahkan, sekali gus menangguhkan keseluruhan rantaian peralihan generasi kuasa udara negara Teluk itu.

Bagi Malaysia, kelewatan ini membawa implikasi langsung kerana selagi Kuwait belum menerima Super Hornet mereka, pelepasan pesawat F/A-18C/D tidak boleh dimuktamadkan dari segi undang-undang, operasi dan komitmen keselamatan serantau.

Selain faktor kelewatan di pihak Kuwait, TUDM turut berdepan kekangan yang lebih sensitif dan strategik daripada negara pengeluar pesawat itu sendiri, iaitu Amerika Syarikat.

Panglima TUDM mendedahkan bahawa Malaysia telah menerima surat rasmi daripada Kedutaan Amerika Syarikat yang menjelaskan bahawa meskipun pesawat F/A-18C/D Kuwait diterima secara fizikal, TUDM tidak dibenarkan menerbangkan pesawat tersebut tanpa pengubahsuaian peralatan tertentu.

Keperluan ini berpunca daripada peraturan kawalan eksport pertahanan Amerika Syarikat yang menetapkan konfigurasi avionik, sistem komunikasi, perisian misi dan peralatan kriptografi mesti mematuhi spesifikasi tertentu sebelum pesawat boleh dioperasikan oleh negara penerima baharu.

Proses pengubahsuaian ini bukan sahaja rumit dari segi teknikal, malah memerlukan tempoh tambahan sekitar 15 bulan sebelum pesawat tersebut boleh mencapai status operasi awal.

Dalam konteks keselamatan udara negara, tempoh menunggu yang panjang ini secara efektif menafikan nilai strategik pesawat terpakai sebagai penyelesaian segera kepada jurang keupayaan TUDM.

Lebih membimbangkan, kos tersembunyi yang terlibat dalam proses integrasi semula, pensijilan, latihan juruterbang dan sokongan logistik berpotensi menjadikan pesawat terpakai jauh lebih mahal daripada jangkaan asal.

Hakikat ini menimbulkan persoalan kritikal sama ada pelaburan masa, sumber dan kewangan dalam platform yang bakal ditamatkan perkhidmatannya dalam tempoh satu dekad benar-benar memberikan pulangan strategik yang wajar.

TUDM kini beroperasi dalam satu perlumbaan melawan masa yang semakin sempit apabila dua tulang belakang utama kuasa tempurnya menghampiri penghujung hayat perkhidmatan.

Di bawah Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (CAP55), pesawat F/A-18D Hornet milik TUDM dijadualkan untuk ditamatkan perkhidmatan sekitar tahun 2035, manakala pesawat Sukhoi Su-30MKM akan menyusul pada sekitar 2040.

Kedua-dua platform ini merupakan aset strategik utama yang menyokong keupayaan penguasaan udara, serangan maritim dan pertahanan ruang udara negara selama lebih dua dekad.

Sebarang kelewatan atau kegagalan menggantikan pesawat-pesawat ini tepat pada masanya akan membuka jurang keupayaan yang berisiko tinggi dalam persekitaran keselamatan serantau yang semakin tidak menentu.

Ancaman bukan tradisional seperti pencerobohan ruang udara, aktiviti kelabu di Laut China Selatan, serta kehadiran kuasa udara asing yang semakin sofistikated memerlukan TUDM mengekalkan keupayaan tindak balas pantas dan kredibiliti cegah rintang yang berterusan.

Menyedari realiti ini, TUDM dilaporkan sedang meneliti pilihan pesawat pejuang Multi-Role Combat Aircraft (MRCA) generasi kelima daripada beberapa negara termasuk Amerika Syarikat, Perancis, Rusia dan pihak lain.

Perkara ini telah disahkan oleh Menteri Pertahanan di Parlimen beberapa bulan lalu , yang menyatakan bahawa proses evaluasi MRCA akan mengambil masa yang panjang dan keputusan muktamad hanya dijangka sekitar tahun 2034, dengan pengoperasian penuh pada sekitar 2040.

Garis masa ini mencerminkan skala dan kompleksiti perolehan pesawat generasi kelima yang bukan sahaja melibatkan kos perolehan yang tinggi, tetapi juga transformasi menyeluruh terhadap doktrin, infrastruktur, latihan dan ekosistem sokongan TUDM.

MRCA generasi kelima bukan sekadar pesawat pejuang, sebaliknya nod utama dalam seni bina peperangan rangkaian (network-centric warfare) yang menggabungkan sensor, data, sistem tanpa pemandu dan aset pelbagai domain.

DEFENCE SECURITY ASIA

Leave a Reply